Now Reading
TMJ Gesa Siasatan Menyeluruh Dilakukan Berhubung Kes Pemandu E-Hailing OKU Dipukul

TMJ Gesa Siasatan Menyeluruh Dilakukan Berhubung Kes Pemandu E-Hailing OKU Dipukul

TMJ dalam pada sama berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang serta memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sebelum ini, seorang pemandu e-hailing mendakwa dirinya dipukul oleh seorang pengiring keselamatan kenamaan di sebuah hotel lima bintang yang terletak di Brickfields, Kuala Lumpur pada 28 Mei.

Pemandu yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) itu juga dilaporkan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur sebelum membuat laporan polis.

Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan mengenai kes dan ia disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Walau bagaimanapun, pada hari sama pemandu yang berusia 46 tahun berkenaan telah membuat satu lagi laporan polis pada 9.59 malam.

Pemandu Grab itu memaklumkan kes sudah diselesaikan secara baik serta tidak mahu memanjangkan lagi kes terbabit.

Baca artikel berkaitan: Pemandu Grab Dakwa Dipukul Pengiring VVIP Buat Laporan Kedua, Dedah Sudah Selesai Secara Baik

Baca artikel berkaitan: Polis Siasat Dakwaan Pengawal Peribadi VVIP Pukul Pemandu OKU

TMJ gesa pihak berkuasa jalankan siasatan menyeluruh

Sehubungan itu Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Iskandar mengesa pihak berkuasa untuk melakukan siasatan menyeluruh berhubung kes tersebut.

Malah baginda turut berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang serta memberikan keadilan yang sewajarnya kepada pemandu terbabit.

“Merujuk kepada kejadian yang berlaku di St Regis Hotel Kuala Lumpur pada 28 Mei, saya telah dimaklumkan pada hari berikutnya dan dengan segera saya menggesa pasukan pengiring keselamatan PDRM untuk bekerjasama dengan pihat penyiasatan.

“Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang. Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya.

“Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa,” titahnya dalam satu hantaran di laman X.

Sedar ada gerakan heret institusi diraja dengan kes

Baginda dalam masa sama turut meminta semua pihak untuk membenarkan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.

Titahnya lagi, baginda sedar terdapat gerakan mengheret institusi diraja dengan insiden berkenaan.

“Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar,” kata baginda lagi.

PDRM panggil anggota terlibat

Dalam pada itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil semua pegawai polis yang terlibat dalam insiden seorang anggota pengiring memukul pemandu e-hailing berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) di Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu.

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, ia bagi memastikan siasatan menyeluruh dapat dilakukan dan semua pihak terlibat dapat memberi keterangan.

“Pegawai-pegawai terbabit dalam insiden ini akan dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan.

“Langkah ini diambil untuk memastikan penyiasatan dilakukan secara menyeluruh dan semua pihak yang terbabit dapat memberikan keterangan mereka.”

Tambah Razarudin lagi, keutamaan dalam setiap siasatan adalah untuk memastikan tiada pelaku yang terlepas daripada tanggungjawab atas perbuatan mereka.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd