Now Reading
Remaja 16 Tahun Jatuh Gaung Di Bukit Broga Ditemui Meninggal Dunia

Remaja 16 Tahun Jatuh Gaung Di Bukit Broga Ditemui Meninggal Dunia

Mangsa dikenali sebagai Adi Putra Affendi dijumpai oleh pihak berkuasa pada jarak 100 meter dari pintu gerbang Bukit Broga petang semalam (28 Mei).

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada petang semalam (28 Mei) kira-kira jam 2.50 petang, seorang remaja lelaki yang tersesat ketika mendaki bersama penjaga dan rakannya ditemui maut di Bukit Broga, Semenyih.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail, pihaknya menerima laporan mengenai seorang remaja sesat di lokasi riadah itu pada jam 4.08 petang kelmarin (27 Mei).

Kejadian tersebut dilaporkan oleh seorang lelaki dipercayai penjaga kepada mangsa, Adi Putra Affendi, 16.

“Remaja itu dijumpai pada jarak 100 meter dari pintu gerbang Bukit Broga. Mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh gaung pada kedalaman 10 meter.

“Pemeriksaan petugas kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia pada pukul 3.42 petang,” kata Wan Md Razali.

Sumber: Facebook JBPM

Operasi Pencarian Guna Kaedah ‘Sweeping Searching’

Difahamkan sekumpulan rakan tersebut telah memulakan pendakian pada jam 8 pagi sebelum mangsa disedari hilang pada jam 11.15 pagi.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih digerakkan ke lokasi bagi menyelaras gerakan mencari dan menyelamat bersama agensi bantuan lain seperti polis, malim gunung, renjer hutan, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta pasukan bomba sukarela membabitkan kekuatan 47 anggota.

“Operasi pencarian menggunakan kaedah ‘sweeping searching’ dijalankan dari Puncak 1 hingga Puncak 3 membabitkan keluasan 1.5 kilometer,” tambah JBPM.

Susulan itu, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.


Kronologi Kehilangan Mangsa Semasa Pendakian

Pada awalnya, mangsa bersama penjaga dipanggil sebagai Walid serta dua rakan dikenali sebagai Fizo dan Qayyum memulakan ekspedisi pendakian jam 8 pagi kelmarin dan tiba ke Puncak 3 Bukit Broga pada 10.10 pagi.

Sekitar jam 10.30 pagi, mangsa dan kumpulan tersebut mula bergerak turun, namun Walid dikatakan berjalan dengan jarak yang agak jauh daripada mereka kerana mengalami kecederaan di kaki.

Menurut JBPM, Walid telah meminta mangsa bersama dua rakan yang lain untuk turun dahulu manakala dia akan menyusul dari belakang.

Sumber: Facebook JBPM

Namun apabila Walid sudah tiba di kaki bukit sekitar 12.30 tengah hari, mangsa tidak dapat dikesan. Dua rakan iaitu Fizo dan Qayyum 10 pula telah sampai ke kaki bukit 10 minit selepas Walid.

Dua rakan tersebut memaklumkan bahawa mangsa telahpun berpatah balik dan mendaki semula untuk mencari penjaganya.

Baca Artikel Berkaitan: Wanita 25 Tahun Maut Terjatuh Dari Tebing Tasik Blue Lagoon Ketika Bergambar

Baca Artikel Berkaitan: Pendaki Malaysia Maut Di Gunung Mera Peak, Nepal


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd