Now Reading
Masak Mi Segera Di Stesen Minyak, Ini Alasan Individu Yang Terlibat

Masak Mi Segera Di Stesen Minyak, Ini Alasan Individu Yang Terlibat

Salah seorang tertuduh yang memasak di stesen minyak memberitahu bahawa perbuatan mereka itu dilakukan secara rawak tanpa memikirkan kesan bahaya yang boleh terjadi.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Seramai 15 individu yang terlibat dalam aktiviti memasak pada 12 Mei lalu sekitar jam 1:30 pagi di sebuah stesen minyak berhampiran Genting Highlands telah ditahan oleh pihak polis.

Memetik Harian Metro, penangkapan itu membabitkan 10 lelaki dan lima wanita selepas diminta hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada Sabtu lalu (18 Mei).

Ketua Polis Pahang Datuk Yahaya Othman memaklumkan kesemua daripada mereka yang berusia 23 sehingga 28 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas memberikan keterangan.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Selamba Masak Guna Dapur Gas, Aksi Anak Muda Di Stesen Minyak Undang Kecaman


Mahkamah Persoal Tertuduh Berhubung Tindakan Memasak Di Stesen Minyak

Empat individu yang terlibat dalam aktiviti memasak di stesen minyak itu telah dihadapkan ke Mahkamah Bentong pada hari ini (21 Mei) untuk perbicaraan kes.

Kesemua tertuduh mengakui bersalah atas tindakan mereka menggunakan gas dapur di stesen minyak, lapor Sinar Harian.

Sumber: Sinar Harian

Tertuduh yang terlibat adalah:

  • Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran, (peniaga kedai makan), 24 tahun.
  • Nurfatin Irdina Shahrulnizam (pegawai khidmat pelanggan), 24 tahun.
  • Nur Anis Salleh (pembantu pergigian), 24 tahun.
  • Nur Azira Azman (ejen hartanah), 23 tahun.

Kes ini dibicarakan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan dibaca juga Seksyen 34 Akta sama yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda hingga RM500 atau kedua-duanya.

Majistret Nadratun Naiem Zainan yang mengendalikan kes ini turut mempersoalkan sama ada tertuduh peka dengan bahayanya memasak di kawasan pilihan mereka itu.

“Bagaimana awak semua boleh terfikir untuk memasak di stesen minyak? Awak tak fikir ke di bawah itu ada tangki minyak? Lepas itu muat naik dalam media sosial,” soal Nadratun.


Ini Jawapan Yang Diberikan Oleh Tertuduh Ketika Disoal Oleh Majistret

Ketika prosiding, tertuduh bernama Fadhli menjelaskan bahawa mereka merancang untuk memasak di tempat lain tetapi rata-rata lokasi di Genting Highlands sudah penuh.

Sumber: Sinar Harian

Tertuduh juga menganggap pilihan lokasi mereka yang berhampiran dengan laluan ke tandas sudah cukup jauh dengan nozel pam minyak.

Nurfatin pula memberitahu bahawa perbuatan mereka itu dilakukan secara rawak tanpa memikirkan kesan bahaya yang boleh terjadi selain disebabkan terlalu lapar.


Tertuduh Minta Bayaran Denda Dikurangkan

Mengikut pertuduhan, keempat-empat individu terbabit dijatuhkan hukuman denda RM500 untuk setiap seorang.

Namun ketika proses rayuan, kesemua tertuduh membuat permohonan agar denda yang dikenakan itu dikurangkan dengan alasan perlu menanggung ibu dan adik-beradik, selain mengakui ia kesalahan pertama yang dilakukan.

Sumber: Sinar Harian

Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid yang mengendalikan kes ini meminta agar pihak mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada kesemua tertuduh sebagai pengajaran.

“Ini kerana kejadian berkenaan telah menarik perhatian awam dan menimbulkan persepsi dan kontroversi negatif kepada masyarakat,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid.

Susulan itu, Nadratun telah menjatuhkan hukuman denda RM500 kepada setiap tertuduh dan penjara tiga (3) hari sekiranya gagal membayar denda.

Kesemua tertuduh telah menjelaskan denda masing-masing.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd