Kes Cerai Selangor Naik Sebab Kos Sara Hidup Meningkat?
Menurut Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Mohammad Fahmi, peningkatan pendapatan yang tidak selari dengan kos sara hidup boleh membawa kepada penceraian suami isteri.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga sudah pasti berharap agar ikatan terjalin berkekalan hingga ke akhir hayat dengan insan tercinta.
Namun begitu, sudah menjadi satu lumrah di mana setiap hubungan mempunyai cabaran dan rintangannya tersendiri sehingga boleh menyebabkan perpisahan berlaku.
Perkara tersebut berkemungkinan terjadi disebabkan tidak mempunyai kesefahaman antara satu sama lain atau faktor luaran yang tidak dapat dielakkan.
Kos Sara Hidup Antara Punca Kes Cerai Tinggi Di Selangor
Semalam (4 Mac), persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor dimaklumkan bahawa kos sara hidup yang tinggi adalah antara punca utama kepada peningkatan jumlah perceraian bagi umat beragama Islam di negeri tersebut.
Menurut Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah, peningkatan pendapatan yang tidak seiring dengan kenaikan kos sara hidup boleh membawa pelbagai implikasi buruk.
Kesannya itu termasuklah dari aspek psikologi dan sosial pasangan sehingga menyebabkan kes penceraian berlaku.
Hubungan Keluarga Terjejas Akibat Kekangan Masa
Mohammad Fahmi menjelaskan pasangan suami isteri terpaksa mencari pekerjaan tambahan bagi menampung perbelanjaan rumah sehingga menyebabkan masa bersama keluarga terjejas.
“Apabila pendapatan isi rumah tidak dapat menampung perbelanjaan maka rakyat perlu keluar mencari pekerjaan sambilan atau tambahan bagi menampung keperluan perbelanjaan yang tidak mencukupi.
“Disebabkan kesibukan masa bekerja, masa berkualiti bersama anak-anak berkurangan terutama bagi mereka yang telah pun berumah tangga dan akhirnya akan memberi kesan kepada institusi kekeluargaan dengan berlakunya perceraian,” ulas Mohammad Fahmi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mu’izzuddeen Mahyuddin (PN-Hulu Bernam) berhubung faktor-faktor Selangor mencatatkan jumlah penceraian tertinggi berbanding negeri lain pada 2023.
Migrasi Penduduk Dari Luar Ke Selangor Turut Menjadi Punca
Mengulas lanjut mengenai isu terbabit, pembangunan pesat dan migrasi rakyat dari luar ke Selangor turut mendorong kepada peningkatan kadar perceraian.
Penduduk yang bernikah di luar Selangor kemudian bekerja serta bermastautin di negeri itu sudah tentu mendaftarkan penceraian di Selangor.
Hal ini kerana masalah berkaitan institusi kekeluargaan perlu didaftar serta diselesai berdasarkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di tempat mastautin pihak yang memohon. Dalam konteks ini, tempat mastautin pasangan bercerai adalah di Selangor.
Kajian Perlu Dilakukan Bagi Kurangkan Kadar Penceraian Di Selangor
Beliau dalam masa sama menjelaskan bahawa pihak berkuasa bercadang untuk membuat satu kajian mengenai kes peningkatan masalah penceraian.
Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) mencadangkan supaya kajian menyeluruh dilakukan oleh pakar penyelidik dari mana-mana institusi atau agensi supaya hasil kajian tersebut boleh diguna pakai untuk membuat dasar atau program bagi mengurangkan kadar perceraian di Selangor.
Mohammad Fahmi.
Kes Cerai Juga Berlaku Sebab Isu Remeh
Dalam sesetengah kes, masalah penceraian berlaku disebabkan perkara remeh dan kecil yang sebenarnya boleh diselesaikan dengan cara baik.
Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar sebelum ini menasihatkan pasangan suami isteri baru mendirikan rumah tangga untuk berpegang teguh kepada perkara melibatkan agama.
“Jika berdasarkan pengalaman saya ketika di Mahkamah Syariah sebelum ini, ada suami minta cerai hanya kerana si isterinya masak kurang garam,” ujar beliau.
Orang Ramai Setuju Masalah Kewangan Punca Utama Perceraian
Terdahulu, tinjauan undian menerusi laman X (Twitter) Sinar Harian mendedahkan 50% daripada 319 yang mengundi bersetuju bahawa masalah kewangan menjadi punca utama perceraian.
Berikut kami sertakan punca perceraian lain yang dipersetujui orang ramai beserta skor peratusannya.
- Tiada persefahaman: 27%
- Wujud ‘orang ketiga’: 17%
- Campur tangan mentua: 6%
Malah, wargenet juga berpendapat bahawa faktor kurang pegangan agama dan masalah diri sendiri juga tidak terkecuali daripada menjadi asbab keruntuhan sesebuah rumah tangga.
Baca Artikel Berkaitan: “Jangan Cerai Kerana Isu Remeh” – Menteri Agama Nasihat Kepada Pasangan Suami Isteri
Baca Artikel Berkaitan: Pasangan Bercerai Di Kedah & Sabah Paling Ramai Di Malaysia
Baca Artikel Berkaitan: JAIS Cadang Wajibkan Kursus Selepas Berkahwin Sebagai Usaha Atasi Kes Penceraian
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram