Kes Denggi Di Malaysia Naik 65%
Kira-kira 1 daripada 4 orang yang dijangkiti denggi akan jatuh sakit dengan simptom yang mungkin ringan atau teruk.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Jumlah kes denggi di Malaysia tahun ini meningkat berbanding tempoh yang sama tahun lepas, berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata 18,247 kes direkodkan dalam tempoh lima minggu pertama 2024, meningkat 65.6% berbanding 11,127 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Dari segi kematian, sembilan dilaporkan tahun ini berbanding enam dalam tempoh sama tahun lepas, katanya.
‘Hotspots’
Pada masa ini, terdapat 180 kawasan yang terlibat dengan 143 daripadanya di Selangor, 20 di Kuala Lumpur dan Putrajaya, tujuh di Negeri Sembilan, empat di Perak, tiga di Pulau Pinang, dan masing-masing satu di Pahang, Sabah dan Sarawak.

“Sepanjang minggu kelima 2024, jumlah keseluruhan kes denggi ialah 3,969, berbanding 3,781 pada minggu sebelumnya. Tiada kematian denggi dilaporkan pada minggu kelima,” katanya.
“Bagi pengawasan chikungunya, satu kes direkodkan pada minggu kelima, menjadikan kes terkumpul kepada tiga. Tiada wabak chikungunya dilaporkan.”
Pada masa sama, Dr Radzi berkata musim perayaan dan cuti sekolah akan datang boleh memudahkan penularan denggi, penyakit virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes.
Tips Keselamatan
Mengulas lanjut, Dr Radzi turut menekankan, “Sebelum keluar rumah, pastikan tiada bekas yang boleh menampung air di dalam rumah, tutup semua bekas yang menyimpan air dengan ketat, dan gunakan racun serangga.
“Ambil langkah pencegahan diri, terutama jika berada di kawasan berisiko seperti memakai pakaian berwarna cerah, menggunakan ubat nyamuk dan menutup anggota badan yang terdedah, terutama ketika berada di luar ketika kemuncak gigitan nyamuk Aedes, antara 5 pagi dan 8 pagi, dan dari jam 5 petang hingga 8 malam.”
Seterusnya, sebelum anda masuk ke rumah selepas pulang dari bercuti, gunakan semburan racun serangga aerosol di seluruh rumah untuk membunuh nyamuk dewasa yang mungkin sedang bersembunyi.
Peluang Pembiakan Nyamuk Aedes Makin Tinggi
Datuk Dr Zainal Ariffin Omar selaku Pakar Kesihatan turut mengingatkan semua orang supaya mengambil langkah pencegahan yang sepatutnya.
Beliau berkata dengan musim panas dan hujan sporadis yang akan datang, peluang untuk pembiakan adalah tinggi kerana nyamuk lebih aktif semasa cuaca panas, manakala kolam atau penakungan air meningkatkan potensi pembiakan.
Bagi menguruskan denggi dengan lebih baik, beliau berkata tempat pembiakan nyamuk mesti dikurangkan supaya jumlah nyamuk dewasa di persekitaran semakin berkurangan.
“Dapatkan rawatan awal jika anda demam dan elakkan pendedahan yang tidak perlu di kawasan panas,” tambahnya.
Tanda-tanda/Simptom Demam Denggi
Umum sedia maklum bahawa demam denggi adalah sejenis jangkitan virus asid ribonikleik (RNA) yang disebarkan kepada manusia menerusi gigitan nyamuk Aedes aegypti betina yang dijangkiti.
- Demam tinggi tiba-tiba (40°C/104°F)
- Sakit kepala yang sangat teruk.
- Sakit belakang mata.
- Sakit otot dan sendi.
- Rasa mual dan muntah.
- Kelenjar bengkak.
- Ruam badan.
Simptom demam denggi kebiasaannya berlangsung selama 2-7 hari (fasa demam) dan kebanyakan orang pulih daripada demam denggi selepas seminggu.
Walau bagaimanapun, dalam kes yang lebih teruk, simptom demam denggi berdarah pula boleh dilihat apabila:
- Pendarahan dari mulut/gusi/hidung
- Kulit berpeluh lembap
- Pendarahan dalaman yang membawa kepada muntah dan najis hitam
- Sakit abdomen
- Tompok darah kecil di bawah kulit
- Nadi lemah
Apa Anda Perlu Lakukan Jika Ada Simptom Denggi?
Menurut saranan Gleneagles Hospital, jika anda mengalami apa-apa simptom demam denggi seperti yang di atas, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor dalam kadar segera. Jika tak dapat memandu, boleh minta rakan atau ahli keluarga yang terdekat.
Selepas itu, doktor akan meminta pesakit untuk berehat sebanyak mungkin dan memberia paracetamol untuk bantu mengurangkan demam serta melegakan kesakitan.
Nota: Jangan ambil aspirin dan ibuprofen.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

I enjoy writing and eating at the same time. I sit at my work desk for hours every day. Oh! I like cafe hopping, though I don't drink coffee. I'm, uh.. indecisive. I see eight sides of everything. Currently leading Bahasa desk for The Rakyat Post as the Head Writer.