KKM Sahkan 4 Produk Kosmetik Ada Racun Berjadual. Take Note!
Setiap produk kosmetik yang dikesan mempunyai racun berjadual berisiko memberi kesan buruk terhadap kesihatan pengguna seperti iritasi, kulit mengelupas, ketidakselesaan dan banyak lagi.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Hari ini (6 Disember), Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan telah memaklumkan bahawa sebanyak empat produk kosmetik dikesan mempunyai racun berjadual.
Berikut adalah senarai nama produk serta jenis racun yang terkandung di dalamnya:
- Bestie Moisturizer Cream: Merkuri
- Abyra Sewaweed Skin Care-Seaweed Cell Renewal Night Cream: Merkuri
- Garbera Beuty-Treatment and Repairing Night Cream: Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17-Valerate.
- Garbera Beauty Whitening Night Cream: Merkuri dan Betamethasone 17-Valerate.
Susulan itu, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan telah membatalkan notifikasi produk-produk kosmetik terlibat dan melarang penjualan barangan tersebut di Malaysia.
Produk Yang Mempunyai Racun Berjadual




Kesan Sampingan Setiap Racun Berjadual
Jelas KKM, setiap racun berjadual disenaraikan mempunyai kesan sampingan yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna iaitu:
- Merkuri boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf selain menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan.
- Hydroquinone akan menyebabkan kemerahan pada permukaan kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit, kulit menjadi hipersensitif, menghalang pigmentasi dan meningkatkan risiko kanser kulit.
- Tretinoin berisiko membuatkan bahagian kulit kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas, dan hipesensitif kepada cahaya matahari.
- Betamethasone 17-Valerate mengakibatkan bahagian kulit muka menjadi nipis, mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap masuk ke dalam sistem peredaran darah.
Untuk info, produk mengandungi Hydroquinone, Tretinoin serta Betamethasone 17-Valerate adalah sejenis ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
Pengedar Perlu Hentikan Jualan Produk
KKM dalam masa sama menggesa pihak terlibat untuk menghentikan penjualan serta pengedaran produk kosmetik itu dengan serta-merta.
Penjualan dan pengedaran produk tersebut merupakan satu kesalahan dan melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Individu yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
Manakala denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun untuk kesalahan berikutnya.
Buat syarikat yang menjual pula, organisasi akan dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan penalti sehingga RM100,000 sekiranya melanggar peraturan itu sekali lagi.
Peringatan Kepada Orang Awam
Justeru itu, orang awam yang kini sedang menggunakan produk-produk kosmetik yang tersenarai dinasihatkan untuk menghentikan penggunaan barangan tersebut dengan kadar segera.
“Dapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” kata Dr Muhammad Radzi.
Anda juga digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA [DI SINI] atau menerusi aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.
Baca Artikel Berkaitan: “Ada Racun Berjadual” – KKM Beri Amaran Senarai Produk Kosmetik Miliki Bahan Bahaya
Baca Artikel Berkaitan: KKM Haramkan Penjualan Tiga Produk Kosmetik Mengandungi Racun Berjadual
Baca Artikel Berkaitan: 5 Produk Kosmetik Dikesan Ada Racun Berjadual – KKM
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram