Now Reading
Malaysia Airlines & AirAsia Berganding Bahu Bantu Penumpang & Pekerja MYAirline

Malaysia Airlines & AirAsia Berganding Bahu Bantu Penumpang & Pekerja MYAirline

Syarikat penerbangan AirAsia dan Malaysia Airlines menawarkan penumpang MYAirline yang terjejas dengan penerbangan ke beberapa lokasi berserta diskaun istimewa.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pengumuman tentang penggantungan operasi MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) telah memberi kejutan buat rakyat Malaysia lebih-lebih lagi kepada kakitangan serta penumpang yang telah membeli tiket penerbangan.

Penggantungan operasi MYAirline mengakibatkan ramai penumpang yang telah membuat tempahan terjejas dan terkandas di lapangan terbang.

Malah, ada penumpang yang sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak jam 4:00 pagi tadi dan tertanya-tanya selepas mendapati kaunter MYAirline tidak mempunyai staf bertugas.

Artikel Berkaitan: “Jangan Aniaya Orang” – Penggantungan Operasi MYAirline Tanpa Notis Awal Buat Pelanggan Berang


Syarikat Penerbangan Lain Tawar Bantuan Kepada Penumpang Dan Staf MYAirline

Susulan itu, beberapa syarikat penerbangan yang lain tampil menawarkan bantuan kepada mereka yang terjejas.

#1. Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines)

Memetik sumber Berita Harian, pihak Malaysia Aviation Group (MAG) memaklumkan mereka memberi ruang kepada pengurusan MYAirline untuk menjalin kerjasama bagi memastikan penumpang terjejas mendapat semula tempahan penerbangan mereka.

Malaysia Airlines bersedia untuk menawarkan penerbangan antara Kuala Lumpur dan beberapa lokasi seperti Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi dan Bangkok kepada para penumpang MYAirline yang telah membuat tempahan menerusi syarikat yang tidak lagi beroperasi buat masa ini.

Sumber:klia2.info

#2. AirAsia

AirAsia menerusi satu kenyataan turut menyatakan hasrat mereka untuk membantu penumpang MYAirline dengan menawarkan diskaun istimewa sebanyak 50% bermula hari ini (12 Oktober) sehingga 30 November 2023.

Tawaran ini diberikan kepada penumpang MYAirline yang mempunyai pengesahan tempahan untuk pergi dan balik dari beberapa lokasi seperti:

  • Kuala Lumpur
  • Langkawi
  • Pulau Pinang
  • Tawau
  • Kota Bharu
  • Kuching
  • Kota Kinabalu
  • Kota Kinabalu-Tawau
  • Don Mueng-Bangkok
  • Suvarnabhumi-Bangkok

Pada masa yang sama, kebajikan pekerja syarikat penerbangan MYAirline juga menjadi perhatian apabila pihak mereka berbesar hati mahu mempertimbangkan pengambilan mereka dalam pasukan AirAsia.

Artikel Berkaitan: AirAsia Hulur Bantuan Untuk Penumpang MYAirline Yang Terjejas


#3. Batik Air

Syarikat penerbangan Batik Air turut tidak ketinggalan untuk menawarkan tambang perjalanan istimewa kepada penumpang MYAirline yang terkandas.

Tambang istimewa itu adalah melibatkan perjalanan sehala ke beberapa lokasi seperti berikut:

  • Pulau Pinang (RM129)
  • Langkawi (RM199)
  • Kuching, Sarawak (RM199)
  • Bangkok (RM299)
  • Don Mueng (RM299)

Tawaran eksklusif ini didapati bermula hari ini sehingga 30 November 2023 dengan cara melampirkan salinan tiket MYAirline dan membuat tempahan penerbangan di mya@batikair.com.my.


Staf Malaysia Airports Juga Bantu Penumpang MYAirline Yang Terkandas

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook, kakitangan Malaysia Airports di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) juga membantu penumpang MYAirline yang terkandas akibat pembatalan penerbangan mereka.

Dalam pada itu, pegguna yang telah membuat tempahan dengan MYAirline untuk penerbangan pada 12 Oktober 2023 dan seterusnya untuk menghubungi saluran aduan khusus syarikat penerbangan itu.

Berikut adalah saluran khusus oleh MAVCOM bagi membantu pelanggan terjejas membuat aduan. Antaranya:

  • Talian pengguna: +1800-18-6966 (Dalam Malaysia) atau +603-7651 2777 (Di Luar Malaysia)
  • E-mel: consumer@mavcom.my
  • Borang web aduan FlySmart: https://flysmart.my/make-a-complaint/
  • Aplikasi mudah alih FlySmart dari Google Play dan Apple App store untuk pengguna Android dan iOS.

MYAirline Hargai Bantuan Dari Syarikat Penerbangan Yang Lain

Lembaga Pengarah MYAirline dalam kenyataan terbaharu memohon maaf atas perkara yang berlaku dan menghargai bantuan yang diberikan oleh syarikat penerbangan yang lain melibatkan AirAsia, Batik Air dan Malaysia Airlines.

Berikutan masalah kewangan yang sedang dihadapi, pihak mereka tidak mampu untuk memberi perkhidmatan kepada para penumpang.

Susulan itu, penumpang yang terjejas diminta untuk menghubungi customerservice@myairline.my yang dibuka dari jam 7:00 pagi sehingga 12:00 malam bagi proses pemulangan semula tambang.


Apa Sebenarnya Yang Berlaku Kepada Syarikat MYAirline?

Pada Sabtu lalu (7 Oktober), Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline iaitu Rayner Teo telah meletakkan jawatan atas sebab kesihatan.

Menerusi kenyataan media terbaharu pada hari ini (12 Oktober), MYAirline terpaksa menggantung operasi mereka atas faktor tekanan kewangan selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.

Pihak MYAirline memohon maaf atas perkara yang berlaku dan mendakwa ini merupakan satu-satunya cara terbaik yang mereka miliki pada masa ini.

Sementara itu, MYAirline turut menasihati penumpang yang terjejas supaya tidak ke lapangan terbang dan perlu mencari alternatif lain untuk menuju destinasi mereka.

Penumpang yang berdepan kesulitan juga diminta untuk menghubungi customercare@myairline.my dan pasukan sokongan MYAirline.

Sebagai info, MYAirline telah diasaskan secara rasmi pada 11 Januari 2021 dengan sokongan kewangan daripada Zillion Wealth Bhd (88 %), Trillion Cove Holdings Bhd (10%) dan Pengasas Bersama serta Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Rayner Teo (2%).


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2021 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd