Pelumba Drag Maut, KBS Mahu Penganjur Bertanggungjawab Kerana Tidak Mohon Kelulusan
Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) mengesahkan perlumbaan drag Malaysia Drag Bike National ET Record Championship Road Tour 2023 dilakukan tanpa mendapat kelulusan.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Terdahulu, seorang pelumba drag Muhammad Hattem Rashdi berusia 22 tahun dilaporkan telah meninggal dunia selepas motosikal yang dipandunya terbabas semasa menyertai sebuah acara sukan permotoran.
Arwah kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan susulan keadaannya yang semakin kritikal.
Walau bagaimanapun, arwah tidak berjaya diselamatkan dan menghembuskan nafas terakhir selepas ibunya membisikkan ‘Mama halalkan air susu mama’.
Artikel Berkaitan: Niat Baik Arwah Pelumba Drag Beri RM1,500 Kepada Keluarga Jadi Petanda Dia Bakal ‘Pergi’

Penganjur Didakwa Tidak Mohon Kelulusan Dari Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM)
Memetik laporan Harian Metro, Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) mengesahkan bahawa penganjuran perlumbaan drag Malaysia Drag Bike National ET Record Championship Road Tour 2023 dilakukan tanpa mendapat kelulusan dari Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).
MAM dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa sukan permotoran banyak melibatkan aksi berbahaya dan mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sukan tersebut perlu mematuhi peraturan serta protokol yang ditetapkan.
Susulan itu, siasatan akan dijalankan mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) bagi mengenalpasti jika penganjuran acara terbabit telah melanggar sebarang akta.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MAM bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta PJS telah mengadakan perbincangan bagi mengemas kini semula undang-undang bagi acara sukan permotoran supaya ia lebih teratur.
Pihak Penganjur Diminta Bertanggungjawab Atas Kematian Pelumba Drag
Susulan kematian pelumba drag itu, Ketua Setiausaha KBS Dr K Nagulendran meminta agar pihak penganjur bertanggungjawab dengan kejadian yang berlaku.
Nagulendran memaklumkan acara sukan permotoran yang melibatkan kematian seorang peserta itu tidak diiktiraf oleh MAM dan ia bukanlah program yang disokong oleh KBS.
Berkaitan aktiviti (perlumbaan) hujung minggu lalu, kita sudah semak ia tidak mendapat kelulusan dan bukan program yang disokong oleh KBS. Kita harap semua persatuan, kelab sukan jalankan aktiviti dengan mendapat kelulusan daripada persatuan sukan masing-masing.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr K Nagulendran.

Beliau juga kesal dengan pihak penganjur yang tidak mengikut prosedur dalam menganjurkan acara tersebut.
Kami kesal insiden ini berlaku, penganjur harus bertanggungjawab. Saya tidak rasa ia sesuatu yang betul mengadakan perlumbaan tanpa kelulusan dan langkah-langkah keselamatan.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr K Nagulendran.
Kejadian Kemalangan Melibatkan Pelumba Drag
Allahyarham Hattem telah bergiat dalam sukan permotoran sejak tahun 2016 dan pernah terlibat dalam kemalangan dalam acara tersebut sebelum ini.
Kemalangan melibatkan arwah berlaku pada hari pertama perlumbaan sekitar jam 1:00 pagi pada 3 September lalu di Pekan, Pahang selepas motosikal yang dibawa terbabas sehingga mengakibatkan dirinya berlumuran darah.
Siaran langsung pada ketika itu juga dikatakan terpaksa dihentikan berikutan kemalangan yang berlaku.

Hattem yang mewakili ESR Motor kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan susulan keadaannya yang semakin kritikal.
Pemilik ESR Motor, Adib Affandi Mohamad memaklumkan Hattem disahkan meninggal dunia pada 3:45 petang pada Isnin lalu (4 September).
Jenazah pelumba drag Allahyarham Muhammad Hattem Rashdi itu selamat dikebumikan pada jam 12:00 tengah hari semalam (5 September) di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Padang Lalang, Alor Janggus, Kedah.
Artikel Berkaitan: 12 Jam Bertarung Nyawa, Joki Wakili ESR Motor Maut Akibat Kemalangan Semasa Dalam Perlumbaan Drag
Sumber: Harian Metro | Sinar Harian
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.