“Biar Dia Mengadu Pada Allah” – Syarikat Taja Pemuda Hilang 6 Ahli Keluarga Tunai Umrah
Pemilik agensi umrah iaitu Jay Ibrahim bermurah hati untuk mengubati kesedihan Abdur Rahman yang hilang enam ahli keluarganya akibat kemalangan dengan memberi tajaan untuk menunaikan umrah di kota suci.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
‘Kami balik dulu’.
Itu adalah mesej terakhir yang diterima oleh pemuda bernama Abdur Rahman Amir Ruddin berusia 19 tahun sebelum menerima khabar duka tentang enam ahli keluarganya yang terlibat dalam kemalangan pada Jumaat lalu (1 September).
Berita yang diterimanya menerusi panggilan telefon itu lebih memilukan hati apabila mendapat tahu mereka telah meninggal dunia di lokasi kejadian manakala adik lelaki berusia 15 tahun menjadi satu-satunya mangsa yang terselamat.
Syarikat Pelancongan Mahu Beri Tajaan Tunai Umrah, Ubati Kesedihan Di Hadapan Kaabah
Seorang pemilik syarikat umrah Jay Ibrahim Travel & Tours Sdn Bhd iaitu Jay Ibrahim menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook berkata bahawa pihak mereka mahu menaja pemuda yang kehilangan enam ahli keluarga itu untuk menunaikan ibadah umrah di kota suci.
Dengan bantuan orang ramai di media sosial, Jay berjaya menghubungi remaja itu dan telah berkunjung ke rumahnya.
Alhamdulillah. Terima kasih atas bantuan informasi daripada semua. Doakan usaha kecil kami ini dipermudahkan dan dapat memberi manfaat kepada adik Rahman dan keluarga serta mendapat keberkatan Allah.
Pemilik syarikat umrah Jay Ibrahim Travel & Tours Sdn Bhd, Jay Ibrahim.
Jay juga dimaklumkan dengan keadaan adik kepada Abdur Rahman yang masih berada di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan akan menunggu keputusan untuk dia menetapkan tarikh yang sesuai bagi menunaikan ibadah umrah tersebut.
Dalam pada itu, Jay turut memohon agar orang ramai sama-sama mendoakan agar pemuda tersebut tabah menghadapi dugaan selain adiknya diberi kesembuhan.
Kami meletakkan keputusan kepada Abdur Rahman dan keluarga untuk menetapkan tarikh yang sesuai untuk kami bawa ke Mekah dan Madinah kelak seperti yang dimaklumkan dalam pertemuan. Jika diizinkan insya-Allah kami akan membawa kedua-dua beradik sekali dan seorang ahli keluarga untuk bersama nanti.
Pemilik syarikat umrah Jay Ibrahim Travel & Tours Sdn Bhd, Jay Ibrahim.
Bagaimana Kemalangan Yang Berlaku Meragut 6 Ahli Keluarga Abdur Rahman?
Kemalangan yang telah meragut enam nyawa ahli keluarga Abdur Rahman itu berpunca apabila sebuah lori membawa muatan pasir yang hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan di kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan.
Memetik sumber Harian Metro, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah memaklumkan kemalangan yang berlaku pada 1 September kira-kira jam 6:37 petang itu melibatkan lima kenderaan lain iaitu sebuah Honda HRV, Proton Wira, Perodua Alza dan Perodua Bezza.
Ia dipercayai berlaku apabila kereta Honda HRV yang sedang bergerak dari arah Kuantan menghala ke arah Segamat memperlahankan kenderaannya disebabkan terdapat kerja pembaikan jalan.
Namun, treler yang membawa muatan pasir di belakang Honda HRV itu gagal menekan brek sebelum melanggar bahagian belakang kereta tersebut.
Honda HRV yang dilanggar lori pasir berkenaan kemudian turut melanggar sebuah kereta Proton Wira sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh Perodua Alza yang dinaiki enam mangsa maut itu.
Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah.
6 Identiti Mangsa Yang Maut Dalam Kemalangan Dikenalpasti
Enam ahli keluarga telah maut di lokasi kemalangan akibat cedera parah di bahagian kepala dan identiti mereka telah dikenalpasti seperti di bawah:
- Amir Ruddin Ismail, 46 tahun (pemandu).
- Norahimah Noor Muhamad, 43 tahun (isteri kepada pemandu).
- Fatimahtulzahrah, 17 tahun.
- Seri Khadijah Aqilah, 13 tahun.
- Rufaidatul Asyariyah, 10 tahun.
- Muhammad Assyakrawi, 5 tahun.
Kesemua jenazah mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat untuk tindakan susulan.
Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Seorang lagi mangsa iaitu Abdullah Amir Ruddin berusia 15 tahun menjadi satu-satunya mangsa yang terselamat dan ditidurkan dalam wad ICU di Hospital Segamat selepas selesai menjalani pembedahan akibat cedera parah di dada dan badannya.
Dalam perkembangan terkini, Abdullah dilaporkan telah stabil tetapi masih memerlukan alat bantuan pernafasan serta dalam pemantauan pihak hospital.
Anak Sulung Imamkan Solat Jenazah Untuk 6 Ahli Keluarganya Yang Maut Dalam Kemalangan
Solat jenazah bagi keenam-enam mangsa yang maut akibat kemalangan itu dilakukan di Masjid Ubuddiah, Parit Limbong pada Sabtu lalu (2 September) dengan diimamkan sendiri oleh Abdur Rahman iaitu anak sulung keluarga tersebut.
Ketibaan enam jenazah di masjid berkenaan pada jam 2:55 petang disambut lebih dari 1,000 orang termasuklah saudara-mara serta kenalan.
Suasan bertambah pilu apabila Abdur Rahman tidak dapat menahan sedih apabila melihat jenazah ahli keluarganya dibawa masuk untuk disembahyangkan.
Enam jenazah itu kemudiannya dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ubuddiah, Parit Limbong sekitar jam 4.15 petang.
Kami mendoakan agar Abdur Rahman tabah menghadapi ujian ini. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan untuk dirinya meneruskan kehidupan.
Sumber: Harian Metro | Berita Harian | Sinar Harian | Facebook Jay Ibrahim Al Islam
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.