Perginya Bapa RAHMAH Malaysia, Ini Perjalanan Hidup Salahuddin Ayub
Pengebumian jenazah Salahuddin Ayub dijadualkan pada jam 12:00 tengah hari, hari ini (24 Julai) di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong, Serkat, Pontian, Johor.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Semalam (23 Julai), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sekitar jam 9:23 malam.
Berita duka itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Akhbar beliau, Syakirin Husnal menerusi satu kenyataan media.
Jenazah beliau kemudiannya dihantar pulang ke rumah ibu Allahyarham di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai.
Artikel Berkaitan: Menteri KPDN, Salahuddin Ayub Meninggal Dunia
Solat jenazah dijadualkan pada jam 11:00 pagi hari ini (24 Julai) di Masjid Jamek Dato’ Hj Noh Gadot, Serkat.
Pengebumian jenazah Timbalan Presiden Parti Amanah itu dijangka akan dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong kira-kira jam 12:00 tengah hari.
Perjalanan Hidup Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub dilahirkan pada 1 Disember 1961 di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian, Johor dan mempunyai keturunan peranakan Melayu-Cina.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Inggeris Serkat, Pontian (1967-1973) sebelum menyambung pengajian di peringkat menengah rendah di Sekolah Menengah Inggeris Teluk Kerang, Pontian (1974-1976) dan di Sekolah Menengah Sri Perhentian, Pontian (1977-1978).
Salahuddin kemudiannya meneruskan pengajian ke peringkat tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Penggawa Barat, Pontian (1979-1980).
Pada masa sama, beliau turut mengikuti pendidikan agama di Sekolah Agama Kerajaan Johor dengan lulus Kelas Darjah Khas pada tahun 1977.
Selepas tamat pengajian di alam persekolahan, beliau seterusnya mengikuti program Diploma Pentadbiran Perniagaan di Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) (1982-1983) dan meneruskan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda (Sains Pembangunan Manusia) di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1984.
Mula Menceburi Bidang Politik
Pada tahun 1981 sehingga 1983, beliau telah dilantik sebagai setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Pontian dan mengambil keputusan untuk menceburi bidang politik sepenuh masa bermula pada tahun 1983 dengan menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Antara jawatan yang pernah disandang oleh beliau adalah:
- Naib Yang Dipertua PAS Pontian (1983-1987)
- Ketua Dewan Pemuda PAS Pontian (1987-1989)
- Ketua Dewan Pemuda PAS Johor (1989-1999)
- Exco Dewan Pemuda PAS Pusat (1991-1995)
- Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat (1995-1997)
- Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat (1997-1999)
- Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1999-2001)
- Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (2001-2003)
- Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (2003-2009)
- Naib Presiden PAS Pusat (2009-2015)
Selepas berpuluh tahun berkhidmat dengan PAS, Salahuddin beralih arah dengan keluar dari parti itu dan menjadi pengasas bersama Parti Amanah Negara (AMANAH). Beliau kemudian dilantik menjadi Timbalan Presiden AMANAH pada tahun 2015 sehingga ke hari ini.
Kerjaya Salahuddin sebagai ahli politik selepas menyertai AMANAH dilihat semakin berkembang apabila beliau diberi tanggungjawab untuk memegang jawatan lebih besar seperti:
- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia (21 Mei 2018 – 24 Februari 2020)
- ADUN Simpang Jeram Muar (2018-2022)
- Ahli Parlimen Pulai (2018-2023)
- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (2022-2023)
Inisiatif Payung RAHMAH Diperkenalkan Oleh Salahuddin Ayub Bantu Ramai Pihak
Semasa bergelar Menteri KPDN, beliau telah mewujudkan satu inisiatif yang memberi khabar gembira kepada rakyat bagi meringankan beban hidup masyarakat, terutamanya golongan B40.
Payung RAHMAH yang diperkenalkan oleh Salahuddin pada Januari 2023 dikembangkan kepada pelbagai bahagian seperti Menu RAHMAH, Bakul RAHMAH, Insurans RAHMAH, Cermin Mata RAHMAH dan sebagainya.
Inisiatif Payung RAHMAH ini mendapat sambutan cukup baik lebih-lebih lagi melibatkan pelancaran Menu RAHMAH yang menawarkan hidangan makanan berharga RM5.
Ramai pihak restoran yang menyahut seruan kerajaan ini dengan turut melancarkan menu RM5 mereka seperti:
- McDonald’s
- Dominos
- Texas Chicken
- A&W
- Burger King
- OldTown White Coffee
- Bubblebee
- MYDIN
- PLUS
Artikel Berkaitan: KFC & Pizza Hut Kini Tawar Menu RAHMAH Dengan RM5 Sahaja!
Artikel Berkaitan: McDonald’s Lancar Menu Rahmah RM5. Siap Dapat Ice Lemon Tea!
Artikel Berkaitan: “2 Kali Saya Tengok Harga” – Pelanggan Beri Maklum Balas Tentang Menu Rahmah
Selain Menu RAHMAH, KPDN juga memperkenalkan Pakej RAHMAH Insurans serendah RM5 sebulan atau RM36 termasuk cukai jualan.
Pakej RAHMAH Insurans ini boleh dimohon oleh semua rakyat Malaysia berusia 16 sehingga 65 tahun dan boleh diperbaharui sehingga usia 70 tahun.
Artikel Berkaitan: KPDN Perkenal Pakej RAHMAH Insurans Serendah RM5 Sebulan
Bukan itu sahaja, KPDN juga memperluaskan inisiatif Payung RAHMAH dengan melancarkan Pakej RAHMAH Cermin Mata dengan harga serendah RM50.
Pelanggan yang mahu menaik taraf kanta mereka dengan ‘blue cut lens’ serta perlindungan sinaran ultra ungu juga boleh berbuat demikian dengan harga RM100 sahaja.
Pakej RAHMAH Cermin Mata ini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama sebuah syarikat di bawah pengurusan Metro Optical Group iaitu MOG Eyewear.
Artikel Berkaitan: Inisiatif Payung RAHMAH Diperluas Ke Pakej Cermin Mata Serendah RM50
Salahuddin Disahkan Mengalami Pendarahan Otak Dan Terpaksa Menjalani Pembedahan
Pada Jumaat lalu (21 Julai), Salahuddin telah dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sekitar 10:15 malam selepas muntah-muntah sebelum doktor pakar mengesahkan beliau mengalami pendarahan otak.
Susulan itu, Salahuddin dimasukkan ke bilik pembedahan sekitar 3:30 pagi dari wad kecemasan dan prosedur tersebut berjaya sekitar 8:00 pagi pada Sabtu lalu (22 Julai).
Sebelum beliau berasa tidak sihat, Salahuddin telah menghadiri beberapa program di Kedah termasuklah Majlis Perasmian Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara dan Langkawi Borong Edar serta Majlis Perasmian Jelajah Jualan Rahmah Kedah dan Jelajah Townhall bersama Mahasiswa Universiti Utara Malaysia.
Selepas pembedahan, keadaan beliau dilaporkan stabil tetapi masih dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia.
Team TRP mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan kami mendoakan agar roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Sumber: Sinar Harian | Berita Harian | Facebook
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.