Now Reading
Sam Ke Ting Bebas Dari Tuduhan, Ini Kronologi Penuh Tentang Kes Basikal Lajak

Sam Ke Ting Bebas Dari Tuduhan, Ini Kronologi Penuh Tentang Kes Basikal Lajak

Sam Ke Ting dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan selepas Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail mendapati pertuduhan yang dikenakan adalah tidak betul.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Seorang kerani berusia 27 tahun iaitu Sam Ke Ting kini dibebaskan dari pertuduhan menyebabkan kematian lapan orang kanak-kanak bermain basikal lajak di Johor pada tahun 2017.

Pada Isnin lalu (11 April), Mahkamah Rayuan telah membebaskan Sam dari hukuman penjara selama enam tahun serta denda RM6,000.

Panel tiga hakim sebulat suara memutuskan bahawa pertuduhan terhadap Sam adalah rosak dan dengan itu mereka membenarkan rayuannya.

Hakim Hadhariah Syed Ismail berkata terdapat kekeliruan oleh pihak pendakwaan ketika kes itu di Mahkamah Majistret.

Sehingga kini, Sam masih trauma dengan insiden yang berlaku dan telah membuat permohonan maaf kepada keluarga mangsa.

Kes yang dikenali sebagai ‘Kes Basikal Lajak’ ini mendapat perhatian ramai dan meraih pelbagai pandangan.

Sam Ke Ting Bebas Dari Tuduhan, Ini Kronologi Penuh Tentang Kes Basikal Lajak

Kronologi Kes Basikal Lajak Dari 2017 Sehingga 2023

Berikut adalah kronologi Kes Basikal Lajak:

18 Februari 2017

Lapan orang kanak-kanak maut dan beberapa lagi cedera selepas dirempuh oleh sebuah kereta pada jam 3:00 pagi ketika sedang bermain basikal lajak di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru.

Mangsa yang terlibat berada dalam lingkungan 13 sehingga 17 tahun.

Pemandu difahamkan tidak dapat mengelakkan keretanya apabila lebih 20 hingga 30 kumpulan remaja berbasikal dan memenuhi jalan raya ketika insiden.

28 Mac 2017

Pemandu terlibat iaitu Sam Ke Ting yang menyebabkan kematian lapan orang kanak-kanak ketika kejadian berlaku telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Trafik Johor Bahru atas pertuduhan membawa kenderaan secara melulu.

Dia didakwa memandu kereta secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian penunggang basikal sekitar jam 3:20 pagi pada 18 Februari 2017 di Jalan Lingkaran Dalam.

Pertuduhan tersebut menyebabkan Sam Ke Ting didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

28 Oktober 2019

Pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Maka, Mahkamah Majistret Johor Bahru menerusi Majistret Siti Hajar Ali  telah membebaskan Sam Ke Ting dari tuduhan memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian lapan orang mangsa.

Keputusan itu dilakukan tanpa memanggil Sam Ke Ting untuk membela dirinya.

18 Februari 2021

Mahkamah Tinggi Johor Bahru menerusi Hakim Dr Shahanaz Sulaiman memerintahkan Sam Ke Ting untuk membela diri atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan orang remaja.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Sam Ke Ting.

Hal itu sekali gus mengetepikan perintah Mahkamah Majistret Johor Baharu yang dibuat pada Oktober 2019.

10 Oktober 2021

Kurang dari lapan bulan selepas pihak mahkamah meminta Sam Ke Ting untuk membela diri, Mahkamah Majistret membuat keputusan untuk membebaskan tertuduh atas dakwaan memandu secara melulu dan menyebabkan kematian lapan orang kanak-kanak bermain basikal lajak.

Namun sehari selepas itu (11 Oktober), pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan mahkamah yang melepaskan Sam Ke Ting.

13 April 2022

Hakim Datuk Abu Bakar menerusi Mahkamah Tinggi Johor Bahru telah memerintahkan Sam Ke Ting untuk menjalani hukuman penjara selama enam tahun dan denda RM6,000.

Dalam pada itu, tertuduh juga perlu menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal melunaskan denda yang dikenakan.

Malah, Sam Ke Ting turut hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara.

BACA JUGA: Pemandu Wanita Langgar Mati 8 Remaja Main Basikal Lajak Dihukum Penjara 6 Tahun

18 April 2022

Mahkamah Rayuan telah menangguhkan hukuman serta denda Sam Ke Ting yang terlibat dalam kes basikal lajak sehingga menyebabkan kematian lapan orang remaja di Johor.

Perbicaraan yang berlangsung membenarkan Sam Ke Ting untuk dilepaskan dengan ikat jamin RM10,000 oleh seorang penjamin.

Dengan itu, wanita tersebut boleh dibebaskan sementara menunggu rayuan didengar.

BACA JUGA: [Terkini] Kes Basikal Lajak: Rayuan Sam Ke Ting Tangguhkan Hukuman & Denda Berjaya

11 April 2023

Selepas lima tahun Kes Basikal Lajak berlangsung, akhirnya Sam Ke Ting dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan selepas Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail mendapati pertuduhan yang dikenakan adalah tidak betul.

Keputusan terbaharu yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah membolehkan Sam Ke Ting menjalani kehidupannya seperi biasa.

BACA JUGA: Tragedi Basikal Lajak: Mahkamah Rayuan Lepas, Bebaskan Sam Ke Ting


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd