Now Reading
Bajet 2023: Senarai Inisiatif & Bantuan Yang Diumumkan Oleh Anwar Ibrahim

Bajet 2023: Senarai Inisiatif & Bantuan Yang Diumumkan Oleh Anwar Ibrahim

Menerusi pembentangan tersebut, Anwar yang juga Menteri Kewangan Malaysia mengumumkan peruntukan berjumlah RM388.1 bilion bagi tahun 2023.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Umum sedia maklum, Jumaat lalu (24 Februari), Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani dengan peruntukan berjumlah RM388.1 bilion bagi tahun 2023 di Parlimen.

Ia merupakan pembentangan bajet kali kedua yang dilakukan oleh beliau selepas kali pertama melakukannya pada tahun 1998 iaitu 16 tahun lalu.

Belanjawan 2023 ini merupakan langkah pertama dalam menzahirkan kerangka Madani sebagai visi ampuh untuk membawa perubahan bagi membangun semula Malaysia.

Selaras dengan tema “Membangun Malaysia Madani’, Belanjawan 2023 dirancang dan digubal berdasarkan enam buah rukun iaitu:

  • Kemampanan.
  • Kesejahteraan.
  • Daya cipta.
  • Nilai hormat.
  • Keyakinan.
  • Ihsan.

Anwar dalam masa yang sama menegaskan bahawa Belanjawan 2023 berhasrat memperkasa ekonomi yang menyokong pertumbuhan, melaksana reformasi institusi dan tatakelola baik untuk meraih semula keyakinan, serta menjamin kesejahteraan rakyat berlandaskan prinsip keadilan sosial.

Kerajaan Perpaduan komited untuk memberi tumpuan dalam menaik taraf sosioekonomi rakyat dengan memastikan tiada golongan yang tercicir.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi pembentangan tersebut, beliau turut mengumumkan beberapa inisiatif bantuan kepada rakyat Malaysia.

Oleh yang demikian, bagi memudahkan anda, di bawah kami kongsikan beberapa senarai bantuan atau inisiatif yang disalurkan oleh kerajaan:


1. Malaysia Madani: Komputer Riba.

Pada tahun ini kerajaan akan membekalkan sekolah serta institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan 50,000 komputer riba.

2. Malaysia Madani: Diskaun Bayaran PTPTN Sehingga 20%.

Kerajaan juga bersetuju untuk:

  • Memberi diskaun bayaran balik untuk pinjaman PTPTN selama 3 tahun bermula 1 Mac sehingga 20%.
  • Bagi meringankan beban kewangan peminjam yang terkesan, kerajaan akan memberikan penangguhan bayaran semula kepada peminjam yang bergaji RM1,800 ke bawah bagi tempoh 6 bulan dan penangguhan boleh dibuat mulai 1 Mac depan.

3. Malaysia Madani: Pengurangan Kadar Cukai Pendapatan (Income Tax) Buat Golongan M40.

Sebelum ini, golongan B40 sering mendapat bantuan berbanding kumpulan pertengahan M40.

Oleh itu, bermula 2023 kadar cukai pendapatan individu pemastautin akan dikurangkan sebanyak 2% melibatkan banjaran lebih RM35,000 hingga RM100,000.

Pengurangan cukai ini dijangka akan memberi manfaat kepada 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300.

4. Malaysia Madani: Kesihatan.

Sebanyak RM120 juta akan disediakan untuk Skim Perubatan Madani yang bakal diperkenalkan khusus buat golongan miskin untuk mendapatan rawatan kesihatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta seperti yang dilakukan oleh kerajaan Selangor.

5. Malaysia Madani: Meminda Akta Insolvensi Untuk Bantu Golongan Yang Muflis.

Buat mereka yang diisytihar muflis kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 agar kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat.

Untuk kes kecil seperti hutang kurang RM50,000 yang memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac ini. Kerajaan menyasarkan 130 ribu rakyat dilepaskan dari status muflis dengan lulusnya pindaan tersebut.

6. Malaysia Madani: Keperluan Kaum Wanita Yang Terpaksa Berhenti Kerja.

Untuk menggalakkan wanita kembali bekerja, PERKESO akan membuat pindaan Aktanya untuk membolehkan pemberian geran bersamaan 80% dari nilai gaji yang diinsurankan pekerja.

Sekitar 130 ribu wanita kembali bekerja dianggarkan akan mendapat manfaat ini yang melibatkan dana RM290 juta setahun.

7. Malaysia Madani: Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).

Kerajaan bersetuju untuk menambah caruman simpanan KWSP sebanyak RM500 ke dalam akaun 1 buat pencarum. Malah menerusi inisiatif ini seramai hampir 2 juta ahli KWSP akan mendapat manfaat.

Namun ia hanya akan melibatkan ahli KWSP berusia 40 hingga 54 tahun dengan simpanan KWSP kurang dari RM10,000 di dalam akaun 1 mereka.

8. Malaysia Madani: Keluarga Miskin Tegar Layak Terima STR Maksimum RM3,000.

Kerajaan telah menyalurkan sumbangan tunai kepada golongan B40 di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1.

Beberapa pembaharuan diambil kira supaya isi rumah yang benar-benar terkesan, mendapat manfaat yang lebih daripada STR. Antaranya seperti:

  • Isi rumah pendapatan kurang RM2,500, layak terima sumbangan sehingga RM2,500 bergantung kepada bilangan anak.
  • Kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih. Sumbangan ini akan disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan juga secara baucar untuk barangan makanan asas bernilai RM600 kepada mereka. Ini bermakna, keluarga dalam kumpulan miskin tegar layak terima sumbangan sehingga maksimum RM3,100.

9. Malaysia Madani: Kredit e-Tunai Belia Rahmah RM200 Untuk Belia.

Kerajaan akan menawarkan kredit e-Tunai Belia Rahmah berjumlah RM200 ringgit dengan peruntukan RM400 juta untuk 2 juta belia berusia 18 hingga 20 tahun.

10. Malaysia Madani: Inisiaitif Pendapatan Rakyat (IPR) Untuk Bantu Golongan Miskin Tingkatkan Pendapatan.

Kerajaan bakal melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang akan menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya meningkatkan potensi pendapatan.

Sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan untuk tahun 2023 kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan IPR.

11. Malaysia Madani: Wakaf Madani Bantu Golongan Fakir miskin, Pendapatan Rendah & Rentan.

Kerajaan telah menerima komitmen swasta untuk mewujudkan Wakaf MADANI dengan aset-aset bernilai lebih 1 bilion ringgit.

Aset-aset yang terdiri daripada tanah, masjid, bangunan, kemudahan kesihatan dan pendidikan akan dioptimumkan bagi manfaat golongan fakir miskin, berpendapatan rendah dan golongan rentan lain.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd