Now Reading
Mangsa Korban Gempa Bumi Turkiye & Syria Adalah Mati Syahid, Jelas Bekas Mufti N9

Mangsa Korban Gempa Bumi Turkiye & Syria Adalah Mati Syahid, Jelas Bekas Mufti N9

Menurut bekas Mufti Negeri Sembilan, mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian gempa bumi tersebut adalah mati syahid akhirat iaitu mereka akan dikurniakan pahala mati syahid pada hari kiamat kelak.

mati syahid

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Umum sedia maklum, pada Isnin lalu (6 Februari), dunia telah dikejutkan dengan berita tragedi di mana satu gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda Syria serta negara jiran, Turkiye.

Malah, sehingga kini, mangsa korban telah dicatatkan melebihi 8,000 orang.

Mereka yang terbunuh dilaporkan tertimbus di bawah runtuhan bangunan serta belasan ribu dipercayai mengalami kecederaan disebabkan oleh tragedi berkenaan.

Apa yang lebih menyayat hati adalah satu kejadian di mana melibatkan seorang wanita hamil dan juga bayi dalam kandungan yang terpaksa dilahirkan di sebalik runtuhan bangunan.

Bayi berkenaan bagaimanapun dilaporkan selamat dilahirkan, namun ibunya tidak dapat diselamatkan.

gempa bumi turkiye
Rakaman di media sosial menunjukkan keajaiban bayi yang baru lahir diselamatkan dalam pelukan penyelamat di Jenderes, di wilayah timur laut yang musnah akibat gempa bumi semalam (7 Februari), selepas bayi berkenaan ditemui masih terikat dengan tali pusat ibunya.
(Sumber gambar: CNN/Instagram)

BACA LANJUT: Gempa Bumi Turkiye-Syria: Bayi ‘Ajaib’ Lahir Di Sebalik Runtuhan Bangunan, Si Ibu Meninggal Dunia


Mangsa Korban Gempa Bumi Adalah Mati Syahid, Jelas Bekas Mufti N9.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, apakah status kematian mangsa korban gempa bumi jika menurut pandangan Islam?

Perlu diingatkan bahawa umat Islam sentiasa harus redha dan menerima segala ketentuan dengan hati yang terbuka. Ia juga termasuklah perihal kematian ahli keluarga ataupun mana-mana individu yang disayangi.

Allah SWT adalah Maha Adil.

Dia sudahpun menyediakan ganjaran buat golongan yang terkorban disebabkan oleh gempa bumi iaitu ganjaran Mati Syahid.

Malah, ganjaran berkenaan merupakan salah satu impian terbesar buat setiap muslimin dan muslimat di dunia ini.

Manakan tidak, siapa yang tak ingin menerima ganjaran mati syahid, bukan?


Mati Syahid Akhirat: Bakal Dikurniakan Pahala Pada Hari Kiamat Nanti.

Menurut bekas Mufti Negeri Sembilan Sahibus Samihah Datuk Haji Mohd Yusof Bin Haji Ahmad, mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian gempa bumi tersebut adalah mati syahid akhirat iaitu mereka akan dikurniakan pahala mati syahid pada hari kiamat kelak.

Walau bagaimanapun, segala urusan pengebumian jenazah akan diuruskan sama seperti jenazah Muslim yang lain iaitu perlu dimandi, dikafan, serta disolatkan sebelum dikebumikan.

Penjelasan ini juga dilihat disimpulkan dari beberapa hadis Nabi SAW seperti;

“Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang mati kerana taun (wabak), mati kerana penyakit perut, mati lemas, mati ditimpa runtuhan dan mati syahid di jalan Allah.” (Riwayat al-Bukhari, 2829 & Muslim, 1914).


Solat Jenazah Ghaib.

Mengulas tentang persoalan sama ada rakyat Malaysia boleh turut serta mengadakan solat jenazah ghaib dan sebagainya atau tidak?

Beliau menjelaskan ianya boleh dilaksanakan sekiranya yakin jenazah sudah dimandikan.

“Menurut mazhab syafi’e, solat jenazah boleh dilakukan setelah yakin mayat itu telah dimandikan.”


Fakta Sebelum Melakukan Solat Jenazah Ghaib.

Solat jenazah ghaib adalah solat yang dilakukan ke atas mayat yang tidak ada pada tempat tersebut seperti mayat yang berada jauh dari negara asalnya. Solat jenazah ghaib boleh dilakukan pada bila-bila masa setelah jenazah dimandikan.

Antara syarat-syarat untuk melakukan Solat Jenazah Ghaib adalah:

  • Solat jenazah ghaib dilakukan di negeri yang berlainan dengan keberadaan mayat.
  • Solat jenazah ghaib tersebut dilaksanakan setelah dimandikan mayat tersebut. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah, hlm 385 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/600).

Untuk pengetahuan umum, pelaksanaan solat jenazah ghaib adalah sama dengan solat jenazah biasa yang dilaksanakan dengan cara berdiri tanpa rukuk, sujud dan duduk.

Cara-caranya adalah seperti berikut:

  • Pertama: Bertakbiratul ihram sambil berniat solat Jenazah.

Contoh lafaz niat adalah seperti berikut: “Sahaja aku solat ke atas mayat ini fardhu kerana Allah Taala.”

  • Kedua: Setelah bertakbir, letakkan kedua-dua tangan ke dada sebagaimana solat biasa, kemudian bacalah Al-Fatihah.
  • Ketiga: Setelah selesai membaca al-Fatihah, bertakbir pula kali kedua sambil mengangkat kedua-dua tangan hingga ke cuping telinga, kemudian meletakannya semula ke dada, dan bacalah apa-apa selawat ke atas Nabi SAW.

Selawat yang afdhal ialah selawat Ibrahimiyah iaitu selawat yang dibacakan ketika tahiyat akhir.

  • Keempat: Bertakbir kali ketiga dan diikuti dengan mendoakan mayat.

Mendoakan mayat adalah maksud utama solat jenazah. Sekurang-kurang bacaan doa adalah:

اللَّهُمَّ ارْحَمهُ أوِ اغْفِرلَه

Maksudnya: “Ya Allah! Rahmatilah dia. Atau Ya Allah! Ampunilah dia.” (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 1/602)

  • Kelima: Bertakbir kali keempat, kemudian berdoa:

اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ

Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau tahan pahalanya daripada kami dan janganlah timbulkan fitnah kepada kami selepas kematiannya serta ampunilah kami dan dia.”

Riwayat Abu Daud (3201)

  • Keenam: Mengucap salam sebanyak dua kali, iaitu ke kanan dan ke kiri sebagaimana salam solat-solat yang lain.

Al-Fatihah buat setiap mangsa yang terkorban di Syria dan Turkiye. Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Ameen YRA.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd