Now Reading
Gempa Bumi Turkiye-Syria: Bayi ‘Ajaib’ Lahir Di Sebalik Runtuhan Bangunan, Si Ibu Meninggal Dunia

Gempa Bumi Turkiye-Syria: Bayi ‘Ajaib’ Lahir Di Sebalik Runtuhan Bangunan, Si Ibu Meninggal Dunia

Pakar Pediatrik Hani Maarouf menjelaskan bahawa bayi itu tiba di hospital dalam keadaan teruk, dengan beberapa lebam dan luka di seluruh badannya.

gempa bumi turkiye

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Satu kejadian mengerikan dilaporkan apabila seorang bayi dikatakan telah diselamatkan dari sisa bangunan runtuh di Syria, hanya selang beberapa minit selepas dilahirkan di bawah runtuhan.

Rakaman menunjukkan keajaiban bayi yang baru lahir diselamatkan dalam pelukan penyelamat di Jenderes, di wilayah timur laut yang musnah akibat gempa bumi semalam (7 Februari), selepas bayi berkenaan ditemui masih terikat dengan tali pusat ibunya.

Walau bagaimanapun, apa yang menyedihkan adalah saat bayi perempuan itu diselamatkan, ibunya dikatakan telah meninggal dunia selepas melahirkannya.

Menurut laporan Daily Mail UK, bayi itu adalah satu-satunya ahli keluarga terdekat yang terselamat, di mana selebihnya telah terkorban apabila gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda Syria serta negara jiran Turki dan memusnahkan kejiranan di bandar berkenaan.

Menurut laporan media tempatan, wanita berkenaan yang berpindah dari wilayah Deir Ezzor timur Syria melahirkan bayinya semasa gempa bumi yang setakat ini telah mengorbankan lebih 7,800 di seluruh wilayah itu.

BACA JUGA: Gempa Bumi Turkiye: Kanak-kanak Rayu Diselamatkan, Sanggup Jadi Orang Suruhan Untuk Balas Jasa

Video merakamkan detik salah seorang daripada penyelamat yang dengan pantas berlari dari bangunan empat tingkat yang musnah sambil membawa bayi kecil yang dilitupi habuk ke kawasan keselamatan melintasi jisim logam terpintal, konkrit pecah dan dawai berduri.

Seorang lelaki mengejarnya dengan selimut hijau berdebu yang kemudiannya dibaling kepada penyelamat bayi untuk memastikan bayi tersebut bernyawa dan hangat dalam suhu yang sejuk melampau.

Orang ramai ketika itu menyaksikan kedua-dua keajaiban dan tragedi berlaku dalam masa yang sama.

Bayi itu kemudiannya dibawa untuk rawatan di bandar Afrin berhampiran, manakala ahli keluarga menghabiskan masa beberapa jam bagi mencari mayat bapanya Abdullah, ibunya Afraa, empat adik-beradik dan seorang ibu saudaranya.

Mayat mereka dibaringkan di atas lantai rumah saudara bersebelahan sebelum upacara pengebumian bersama yang diadakan pada Selasa (7 Februari).

Di dalam bilik yang bercahaya malap itu, Khalil al-Suwadi iaitu bapa saudara kepada bayi tersebut merenung mayat-mayat yang terkorban dan menyenaraikan nama mereka.

“Kami dipindahkan dari (bandar timur yang dikuasai kerajaan) Deir Ezzor. Abdullah adalah sepupu saya dan saya berkahwin dengan kakaknya,” katanya.

Jelasnya lagi, “Kami membersihkan habuk dan mendapati bayi itu masih dalam keadaan bertali pusat, jadi kami memotongnya dan sepupu saya membawanya ke hospital.”

Untuk rekod, rumah keluarga itu adalah salah satu daripada kira-kira 50 buah rumah di Jindayris, Syiria, yang musnah akibat gempa itu, lapor wartawan AFP.

Pakar Pediatrik Hani Maarouf menjelaskan bahawa bayi itu tiba di hospital dalam keadaan teruk, dengan beberapa lebam dan luka di seluruh badannya.

“Dia juga tiba dengan hipotermia kerana selsema yang teruk. Kami terpaksa memanaskan dan memberikan kalsium kepadanya,” tambahnya.

Bayi berkenaan dilihat berbaring di dalam inkubator dan disambungkan dengan titisan (drip), ketika pengebumian bersama diadakan untuk ibu, bapa, dan empat adik-beradiknya yang lain.

Di seluruh Syria, lebih 1,600 orang terbunuh, selain lebih 3,400 orang terbunuh di Turkiye, jelas pihak berkuasa. Jumlah keseluruhan juga dijangka akan meningkat dalam beberapa hari akan datang.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd