Pakar Pendidikan Cadang KPM Mulakan Sesi Sekolah Jam 8 Pagi
Setakat ini, kebanyakan sesi persekolahan di Malaysia dimulakan seawal jam 7:30 pagi.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!
Umum sedia maklum, sesi persekolahan di kawasan Semenanjung Malaysia kebanyakkan bermula sekitar 7:30 pagi.
Oleh kerana tidak mahu anak-anak tiba lewat di sekolah dan ibu bapa juga tidak mahu mengharungi kesesakan jalan raya, ada yang dikatakan sanggup keluar awal pagi di kala langit masih gelap.
Keadaan tersebut menyebabkan ibu bapa, anak-anak serta guru sekolah terpaksa bangun seawal 4:30 pagi setiap hari untuk ke sekolah.
Situasi yang berlaku ini mendorong seorang Pakar Pendidikan dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad untuk memberikan cadangan lebih baik kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
KPM Disaran Melewatkan Waktu Sesi Persekolahan Pada Jam 8 Pagi
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook Anuar Ahmad, pakar pendidikan dari UKM itu berkata konsep Malaysia Madani dan juga slogan ‘Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera’ boleh diterapkan dengan langkah menukar waktu sesi persekolahan kepada jam 8:00 pagi.
Menurutnya, kerajaan perlu mempunyai rasa belas kasihan dan juga empati kepada masyarakat kerana perlu bangun awal pagi untuk ke sekolah.
Di sekolah pedalaman pula, anak-anak kecil terpaksa meredah denai kecil serta jalan yang berbecak dan berlumpur. Bukan setakat itu sahaja, malah ada di antara mereka yang perlu berperahu ke sekolah ketika langit masih gelap,
Pakar Pendidikan dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Anuar Ahmad.
Cadangan melewatkan waktu sesi persekolahan pada jam 8:00 pagi membolehkan murid-murid bersarapan dahulu bersama keluarga berbanding terpaksa bergegas ke sekolah tanpa sempat bersarapan dan menyebabkan mereka kelaparan di awal pagi.
Bagi melaksanakan cadangan tersebut, beliau menyarankan agar KPM mengurangkan sesi persekolahan selama 15 minit bagi sesi pagi dan juga petang.
Hanya dilewatkan 30 minit. Saya fikir perkara itu tidak menjadi isu sekiranya KPM mengurangkan 15 minit sesi pagi dan petang.
Pakar Pendidikan dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Anuar Ahmad.
Beliau berharap agar pihak kerajaan memepertimbangkan cadangan tersebut bagi memberi kebaikan kepada rakyat.
Cadangan Sekolah Mula Jam 8:00 Pagi Terima Pelbagai Reaksi Dari Ibu Bapa
Hantaran yang dimuat naik oleh Dr Anuar Ahmad di laman Facebook berkaitan cadangan waktu sekolah dimulakan jam 8:00 pagi telah mendapat pelbagai reaksi daripada ibu bapa.
Ada pihak yang bersetuju dan juga tidak bersetuju.
Ibu bapa bapa yang bersetuju tentang cadangan tersebut memberi pendapat bahawa ia adalah perkara yang baik kerana keselamatan anak lebih terjamin kerana langit juga sudah cerah pada ketika itu.
Dalam pada itu, ada juga yang bersetuju tetapi mencadangkan agar silibus pengajaran dirombak semula agar dapat menjimatkan waktu belajar.
Malah, ada juga beberapa sekolah swasta di Malaysia yang telah membudayakan sesi persekolahan bermula jam 8:00 pagi.
Namun, ada juga yang kurang bersetuju dengan cadangan itu kerana menganggap ia akan menyebabkan ibu bapa perlu mengharungi kesesakan jalan raya yang lebih teruk dan tiba lewat di pejabat mereka.
Segelintir netizen juga berkata kelewatan itu akan menyebabkan silibus tidak dapat dihabiskan dalam tempoh ditetapkan kerana kekurangan waktu.
Bagaimana dengan pendapat anda pula?
Adakah cadangan menjadikan sesi persekolahan bermula jam 8:00 pagi sebagai sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada para pelajar serta ibu bapa?
Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.