Warga Asing Terperangkap 6 Hari Dalam Kontena Dari Bangladesh Ke Malaysia Gara-gara Tertidur
Remaja lelaki warga asing itu dikatakan sedang berehat dan tertidur di dalam kontena yang terbuka di depoh di Bangladesh sebelum tiba di Malaysia.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!
Terbaharu, satu kejadian yang mengejutkan berlaku apabila seorang remaja lelaki warga asing ditemui di dalam kontena ketika tiba di Pelabuhan Barat di Klang, Selangor pada Selasa lalu (17 Januari) sekitar jam 7:30 malam.
Menurut sumber, remaja lelaki warga asing yang dikenali sebagai Fahim itu dipercayai telah terkunci di dalam kontena tersebut selama enam hari selepas dia dikatakan ingin berehat dan akhirnya tertidur di dalam kontena yang terbuka yang berada di depoh sekitar Bangladesh.
Malah, dia juga tidak menyedarkan diri ketika proses kontena itu dikunci dan dihantar ke Malaysia.

Remaja Lelaki Warga Asing Ditemui Dalam Kontena Kosong
Remaja lelaki itu ditemui oleh seorang petugas di pelabuhan berkenaan selepas dia terdengar bunyi ketukan di dalam sebuah kontena kosong.
Oleh kerana terdengar bunyi ketukan itu, enam buah kontena yang tiba di pelabuhan berkenaan telah dibawa turun dan diperiksa satu per satu oleh pihak agensi kerajaan melibatkan Pasukan Polis Marin, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Jabatan Kesihatan Daerah Klang.
Hasil pemeriksaan juga mendapati remaja warga Bangladesh itu yang ditemui dalam keadaan selamat tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri bersamanya.
Remaja Warga Bangladesh Itu Demam Dan Dibawa Ke Hospital
Pemeriksaaan kesihatan yang dilakukan oleh petugas yang berada di lokasi mendapati remaja berpakaian lusuh itu mengalami demam dan telah dibawa ke hospital menaiki ambulans untuk membuat pemeriksaan lanjut.

Selesai dengan pemeriksaan kesihatan, remaja tersebut dibawa semula ke pelabuhan tersebut untuk dihantar semula ke negara asalnya menaiki kapal yang sama pada hari ini (20 Januari).
Kes tersebut adalah di bawah bidang kuasa pihak Imigresen dan hasil siasatan menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah terlibat berhubung kejadian.
Dalam pada itu, ejen kapal juga akan menguruskan kebajikan remaja tersebut ketika dalam tempoh perjalanan mereka untuk pulang semula.
Netizen Luah Rasa Simpati Dengan Nasib Remaja Itu Terperangkap 6 Hari Dalam Kontena
Beberapa video ketika remaja itu dikeluarkan dari dalam kontena juga sempat dikongsikan oleh di Twitter (Jabatan Netizen Malaysia).
Seorang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh ditemui dalam kontena yang baru tiba di Pelabuhan Barat (Westport), Pelabuhan Klang, malam semalam.
— Jabatan Netizen Malaysia (@jnmalaysia) January 19, 2023
Kanak-kanak ini dipercayai terperangkap 6 hari dalam kontena sebelum diselamatkan. pic.twitter.com/XHQbu55rdG
Beberapa video dan gambar yang dimuat naik telah mendapat pelbagi reaksi dari netizen. Rata-rata daripada mereka meluahkan rasa simpati dengan nasib remaja lelaki itu yang terpaksa menahan lapar dan bergelap seorang diri di dalam kontena.



Namun, ada juga yang curiga bagaimana kejadian itu boleh berlaku.



Walau apa-apa pun, bersyukur remaja itu dalam keadaan selamat selepas enam hari tiada bekalan makanan atau minuman. Semoga kejadian ini dijadikan pengajaran untuk kita semua.
Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.