Now Reading
Jurulatih Bola Tampar Mohon Maaf & Luah Kesal Dengan Apa Yang Berlaku

Jurulatih Bola Tampar Mohon Maaf & Luah Kesal Dengan Apa Yang Berlaku

Jurulatih bola tampar itu meluahkan rasa menyesal dengan insiden yang berlaku dan bersedia untuk menerima sebarang tindakan yang bakal dikenakan.

jurulatih bola tampar mohon maaf

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Umum sedia maklum, sejak kebelakangan ini media sosial telah dibanjiri oleh kes di mana melibatkan seorang jurulatih menampar dua orang pemain remaja perempuan ketika berlangsungnya satu kejohanan bola tampar.

Kejadian dikatakan berlaku ketika Kejohanan Remaja B-14 di Kota Tinggi, Johor pada 14 hingga 16 Disember lalu.

Walau bagaimanapun, bapa kepada salah seorang daripada pemain skuad bola tampar perempuan Melaka bawah 14 tahun iaitu Nur’ Saidatul Akma Abd. Halim mengharapkan guru pelatih itu dikekalkan.

Ini kerana keluarga mereka telah mengenali Cikgu Hadee lebih lima tahun. Malah, kedua-dua anaknya dilatih bermain bola tampar sejak darjah lima.

Utusan turut melaporkan bahawa secara peribadi, Abd. Halim Bakar mahu jurulatih yang bernama Saiful Hadee Amar (Cikgu Hadee) untuk dikekalkan. Ini kerana insiden berkenaan telah diselesaikan dengan cara baik sebelum ia menjadi topik hangat di media sosial.

jurulatih tampar pemain bola tampar

BACA LANJUT: Kes Pelatih Tampar Pelajar: Bapa Pelajar Harap Cikgu Dikekalkan Kerana Ia Adalah Tamparan Semangat


Jurulatih Bola Tampar Tampil Dengan Permohonan Maaf

“Saya sesungguhnya kesal dengan apa yang berlaku dan memohon maaf kepada semua pemain terutamanya kedua pemain yang terbabit serta ibu bapa mereka,” kata jurulatih bola tampar, Saiful Hadee Amar, 44.

Menurut laporan, dia turut menjelaskan bahawa pemain-pemain adalah keluarga dan kekuatan dirinya. Malah, tanpa mereka, dia tidak boleh menjadi jurulatih.

Saiful meluahkan perasaannya susulan kontroversi menampar dua orang pemain bola tampar sehingga mencetuskan perdebatan di media sosial.

Dia juga dikatakan menyesal dengan insiden itu dan bersedia untuk menerima sebarang tindakan yang bakal dikenakan.

Dia dalam masa yang sama turut menjelaskan ketika insiden itu berlaku, dirinya langsung tidak berniat untuk menggunakan sebarang kekerasan dalam melatih kesemua pemainnya.

Latihan yang saya (kendalikan) ada pelbagai jenis antaranya pendekatan psikologi, intensif dan fizikal dalam membentuk pemain. Saya tidak berniat untuk mengambil tindakan sehingga mendatangkan kecederaan, tindakan itu adalah untuk menaikkan lagi semangat dan memotivasikan mereka. Saya sedia dan reda dengan segala keputusan yang bakal dikenakan kepada saya selain berharap perkara ini menjadi pengajaran pada diri sendiri.

Jurulatih bola tampar, Saiful Hadee Amar, 44.

Saiful ditemui selepas perjumpaan khas susulan insiden berkenaan yang turut dihadiri oleh Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), Hean Boon Yeow dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, Asri Ninggal.

Mengulas lanjut, Shanmugam berkata bahawa keputusan sama ada khidmat jurulatih itu akan diteruskan atau sebaliknya serta tindakan yang akan dikenakan hanya akan diketahui setelah keputusan muktamad dilakukan oleh Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA).

Pada waktu ini kita menunggu arahan dan tindakan yang akan diambil dan hari ini di Melaka (siasatan) sudah selesai. Pihak MAVA yang berkuasa dalam hal ini, apa-apa tindakan yang akan diambil terhadap beliau adalah bergantung kepada KPM dan juga MAVA.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam.

Orang ramai juga diharapkan tidak memperbesarkan lagi isu insiden tersebut kerana ia secara langsung akan menganggu serta menjejaskan emosi kedua-dua pemain terlibat.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd