Now Reading
Inspektor Polis Mengaku Tidak Bersalah Kes Rogol Remaja 16 Tahun Di Kedah

Inspektor Polis Mengaku Tidak Bersalah Kes Rogol Remaja 16 Tahun Di Kedah

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi pertuduhan rogol dan RM15,000 bagi pertuduhan serangan seksual yang dilakukan oleh Inspektor Polis berkenaan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Umum sedia maklum, seorang gadis berumur 16 tahun di Alor Setar, Kedah telah membuat satu laporan mendakwa dirogol oleh seorang pegawai berpangkat Inspektor pada Rabu (28 Disember) 2022 lalu.

Laporan Harian Metro memaklumkan bahawa remaja tersebut telah membuat laporan pada Sabtu (31 Disember) mendakwa insiden itu berlaku di pejabat pegawai polis terbabit di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kira-kira jam 6.30 petang.

Insiden difahamkan bermula apabila mangsa dipanggil oleh seorang Inspektor berusia 30-an itu ke IPD bagi membantu siasatan berhubung kes dakwaan rogol oleh gadis tersebut melibatkan bapa tirinya.

BACA LANJUT: Remaja Dakwa Dirogol Pegawai Polis, Kesan Air Mani Ditemui Pada Cadar & Sarung Bantal


Inspektor Polis Mengaku Tak Bersalah Rogol Remaja 16 Tahun

Hari ini (5 Januari), pegawai polis berpangkat Inspektor itu dilaporkan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani di atas empat (4) pertuduhan merogol dan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan di dalam bilik pegawai penyiasat jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan pada 28 Disember 2022.

Menurut laporan, tertuduh iaitu Inspektor Mohd Maliki Azmi, 35, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan yang kini berusia 16 tahun dengan kerelaan mangsa menggunakan kedudukan berkuasa dimilikinya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang jika didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.


Tertuduh Didakwa Atas 3 Tuduhan Berasingan

Mohd Maliki juga didakwa atas tiga pertuduhan berasingan mengikut Akta Seksual Kanak-kanak kerana melakukan amang seksual terhadap mangsa sama. Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan ke atas mangsa pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual dengan cara menyentuh kemaluan mangsa untuk tujuan maksud seksual.

Tertuduh seterusnya didakwa mengikut Seksyen 14(a) Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Selain itu, tertuduh juga didakwa atas pertuduhan memaksa mangsa memasukkan objek ke dalam alat sulitnya.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(c) Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Mohd Maliki didakwa membuatkan mangsa menanggalkan pakaian dan menunjukkan badannya supaya dilihat tertuduh dengan niat seksual.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 15(a) (ii) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Jika sabit bersalah terhadap semua pertuduhan itu, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.


Tertuduh Tidak Diwakili Peguam

Untuk rekod, kes berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hizween Azleena Othman Kamal, Zulfadzly Hassan dan Nurul Natasha Rizal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hizween Azleena sebelum ini memohon mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 bagi pertuduhan rogol dan RM15,000 bagi pertuduhan amang seksual.

Selain itu, beliau turut memohon agar pihak mahkamah memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan dan menyerahkan dokumen perjalanan sementara menunggu perbicaraan.

Tertuduh tampil dengan rayuan memohon agar mahkamah mengurangkan jaminan kerana dia hilang sumber pendapatan dan mempunyai isteri serta ibu bapa untuk ditanggung selain mempunyai hutang yang semakin meningkat.

Mahkamah seterusnya menetapkan jaminan RM10,000 bagi pertuduhan rogol dan RM15,000 bagi pertuduhan serangan seksual.

Mahkamah menetapkan 6 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Tertuduh Disiasat Tanpa Kompromi

Ketua Polis Kedah CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad semalam (4 Januari) telah mengeluarkan satu kenyataan di mana PDRM Kedah menerima satu laporan polis berkaitan kejadian rogol yang dipercayai berlaku pada 28 Disember 2022 yang melibatkan suspek iaitu seorang pegawai kanan polis bertugas sebagai Pegawai Penyiasat JSJ IPD Yan, Kedah.

Pihak polis memaklumkan bahawa ekoran daripada kejadian tersebut, siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan suspek telah ditangkap dan direman untuk tujuan siasatan sehingga hari ini (5 Januari).

Pihak polis sentiasa komited dalam melaksanakan tanggjungjawab sebagai agensi penguatkuasa utama negara. Bagi memastikan kes ini diselesaikan dalam kadar segera, siasatan telah dijalankan oleh Pegawai Kanan Polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Kedah dan PDRM Kedah memberi jaminan siasatan yang telus, adil, dan saksama dilaksanakan.

PDRM.

Wan Hassam dalam masa sama turut memaklumkan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah dalam kadar segera agar penjenayah dapat dibawa ke muka pengadilan walaupun merupakan warga PDRM tanpa kompromi.

BACA LANJUT: Isu Rogol Babitkan Pegawai Kanan Polis Di Kedah, PDRM Siasat Kes Tanpa Kompromi


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd