Now Reading
Wisma Jakel Shah Alam Terbakar Lagi

Wisma Jakel Shah Alam Terbakar Lagi

Kebakaran kali kedua di Wisma Jakel Shah Alam dilaporkan berlaku di bilik simpanan kain langsir di tingkat tiga.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Pada 1 Januari 2023 yang lalu, sebuah gedung perniagaan tekstil terkemuka iaitu Wisma Jakel bertempat di Seksyen 7, Shah Alam dilaporkan mengalami kebakaran sehingga 80% dipercayai berpunca akibat litar pintas.

Kejadian yang berlaku kira-kira pada jam 7:00 pagi pada hari berkenaan tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Sumber: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan kebakaran bangunan lima tingkat dan tiga tingkat seluas 80,000 kaki persegi itu dianggarkan mengalami kerugian sehingga ratusan juta ringgit.

Buat sementara waktu ini, operasi perniagaan akan tergendala dan kita merancang untuk mencari tapak perniagaan baharu di sekitar Shah Alam. Para pelanggan boleh berkunjung ke cawangan Jakel yang lain di Bangi, Bandar Tun Hussein Onn atau Jakel Mall Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel.

Meskipun mengalami banyak kerugian akibat kebakaran, Jakel tidak mengabaikan nasib 500 pekerja di cawangan berkenaan dan akan tetap membayar gaji mereka.

Wisma Jakel Shah Alam Terbakar Kali Kedua

Pada jam 1:00 pagi hari ini (3 Januari), Wisma Jakel Shah Alam dilaporkan mengalami kebakaran buat kali kedua.

Memetik laporan Astro Awani, kebakaran di bangunan Wisma Jakel itu berlaku di bilik simpanan kain langsir berkeluasan 30×40 kaki persegi di bahagian tingkat tiga.

Sumber: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis memaklumkan pihak mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 12:40 tengah malam.

Seramai 43 pegawai dan anggota dari enam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) telah bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya mengawal api daripada semakin merebak pada jam 1:45 pagi.

Sumber: Astro Awani

Kebakaran tersebut berjaya dipadamkan sepenuhnya sekitar jam 3:07 pagi tanpa membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Susulan kejadian kebakaran yang berlaku itu, pihak polis turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi bagi menghormati pihak yang terjejas akibat insiden ini.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd