Now Reading
96.5% Sampel Air Kumbahan Pesawat Dikesan Miliki Virus Covid-19 – KKM

96.5% Sampel Air Kumbahan Pesawat Dikesan Miliki Virus Covid-19 – KKM

Sampel air kumbahan dari pesawat yang datang dari negara China akan dihantar ke MKAK untuk ujian PCR seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif Covid-19.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Umum sedia maklum bahawa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 30 Disember 2022 menyatakan pihak mereka sentiasa memantau situasi semasa perkembangan kejadian jangkitan Covid-19 di peringkat antarabangsa.

BACA SINI: KKM Siap Siaga Susulan Situasi Semasa & Perubahan Polisi Covid-19 Di China

Dalam kenyataan sama, KKM menjelaskan bahawa secara keseluruhan, trend pelaporan kes Covid-19 berada dalam keadaan terkawal di kebanyakan negara termasuk Malaysia.


96.5% Sampel Air Kumbahan Pesawat Dikesan Ada Virus Covid-19, Jelas Dr Noor Hisham

Survelan persekitaran Covid-19 menggunakan air kumbahan yang dilaksanakan sejak Jun hingga 31 Disember 2022 telah merekodkan 96.5% atau 28 daripada 29 sampel dari Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dikesan mempunyai kehadiran virus SARS-CoV-2 dengan varian Omicron.

Menurut laporan, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan itu adalah hasil pengujian Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) manakala satu lagi sampel masih dalam proses pengujian.

Mengulas lanjut, bagi tempoh sama, MKAK turut menerima sejumlah 301 sampel dari 15 lokasi sentinel bagi mewakili setiap negeri di Malaysia.

288 sampel (95.7%) dikesan kehadiran SARSCoV-2, yang positif Omicron. Tiga tidak dikesan manakala 10 masih dalam proses pengujian.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Astro Awani.

Untuk rekod, Malaysia menjalankan survelan persekitaran Covid-19 menggunakan air kumbahan melibatkan sampel dari PMA dan lokasi sentinel sejak Jun 2022 – ia bertujuan sebagai survelan sokongan bagi Covid-19 sejajar dengan Fasa Peralihan ke Endemik negara.

Dr Noor Hisham mengulas bahawa survelan berkenaan bertujuan sebagai amaran awal menerusi pengesanan kehadiran virus SARS-CoV-2 dalam sampel air kumbahan, memberi gambaran trend kepekatan virus SARS-CoV-2 serta mengenal pasti varian SARS-CoV-2 yang terdapat dalam komuniti, dalam masa yang sama memantau keberkesanan intervensi kawalan Covid-19 secara amnya.

Bagi lokasi sentinel di setiap negeri, sampel air kumbahan diambil dari loji rawatan kumbahan terpilih oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berkenaan. Sebanyak dua atau tiga sampel diambil dari setiap lokasi sentinel setiap bulan, mengikut keperluan. Sampel-sampel ini kemudiannya dihantar ke MKAK bagi proses pengujian.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Astro Awani.

Manakala, bagi sampel dari PMA pula, penilaian risiko dijalankan secara berterusan bagi mengenal pasti negara-negara berisiko.

Hasil penilaian ini, kesemua penerbangan dari negara yang dikenal pasti kemudiannya diteliti dengan lebih lanjut oleh Pejabat Kesihatan (PK) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


Teknik Penilaian Air Kumbahan Kapal Terbang

Dr Noor Hisham menjelaskan, secara amnya semua air kumbahan kapal terbang akan dibawa keluar dari kapal terbang melalui lori septik pembentung ke kemudahan pelupusan sisa pesawat (AWDF) dan proses ini diselaraskan oleh pihak Pengendali Darat Lapangan Terbang.

Setelah penerbangan yang disasarkan dikenal pasti, proses persampelan air kumbahan dijalankan oleh PK KLIA dengan kerjasama pihak lapangan terbang KLIA sebelum air kumbahan ini dilepaskan ke AWDF.

Persampelan air kumbahan dari pesawat dijalankan sebanyak dua kali seminggu.

Bagi survelan air kumbahan dari pesawat ini, sebanyak satu liter sampel air kumbahan diambil daripada pesawat terpilih.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Astro Awani.

Sejajar dengan keadaan semasa, Dr Noor Hisham menjelaskan survelan air kumbahan PMA akan turut melibatkan sampel dari China.

Jelasnya lagi, langkah itu akan membolehkan KKM memantau kemasukan varian SARS-CoV-2 dari negara tembok besar tersebut sebagai antara langkah kawalan dalam menghadapi situasi semasa.

BACA JUGA: Kes Jangkitan Ameba ‘Pemakan Otak’ Belum Wujud Di Malaysia – KKM


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd