Now Reading
Kanak-kanak Lelaki 4 Tahun Maut Didera Rakan Kakak Sendiri Di Johor

Kanak-kanak Lelaki 4 Tahun Maut Didera Rakan Kakak Sendiri Di Johor

Pihak polis memberitahu bahawa mangsa telah dijaga oleh kakak kandungnya setelah ibu bapa mereka dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Satu kejadian menyayat hati telah dilaporkan berlaku melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang dipercayai meninggal dunia selepas didera oleh lima rakan kakaknya sendiri.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Senggarang, Batu Pahat, Johor pada 23 Disember (Jumaat).

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat menjelaskan bahawa pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun memaklumkan mangsa pengsan di rumahnya dan dibawa ke klinik untuk rawatan pada jam 6.45 petang, hari tersebut.

Bertindak atas maklumat, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah menahan lima warga tempatan terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia 15 hingga 37 tahun antara jam 12 tengah hari hingga 9.45 malam Sabtu kerana disyaki terlibat dalam kejadian ini.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat menerusi Sinar Harian.

Pihak polis dalam masa yang sama turut menjelaskan mangsa telah dijaga oleh kakak kandungnya setelah ibu bapa mereka dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah.

Setelah itu, mangsa diserahkan kepada rakan kakaknya untuk dijaga.

Hasil siasatan oleh pihak polis merampas barang yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa di sebuah rumah di Senggarang.

Mangsa yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak Jumaat disahkan sudah meninggal dunia pada Isnin, jam 6.40 petang.


Kes Jatuh Bawah Seksyen 302

Mengulas lanjut, pada awalnya kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya.

Namun pihak polis mengklasifikasikan semula kes ini akibat kematian mangsa iaitu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Manakala kesemua suspek direman seminggu bermula Ahad sehingga 31 Disember 2022.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd