Now Reading
Hentikan Pemangsa Dalam Talian, Lindungi Anak-Anak Kita!

Hentikan Pemangsa Dalam Talian, Lindungi Anak-Anak Kita!

Data menunjukkan bahawa seramai 2,567 daripada 4,274 mangsa keganasan seksual pada tahun 2020 merangkumi jenayah rogol, rogol beramai-ramai, sumbang mahram, dan banyak lagi adalah terdiri daripada golongan kanak-kanak.

Siti Murni

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Oleh:
Forum Kandungan.


Kita sedang berhadapan dengan isu iaitu kenaikan kes eksploitasi seksual kanak-kanak yang semakin membimbangkan.

Isu ini meragut zaman kanak-kanak daripada mangsa terlibat dan dalam pada masa yang sama, mampu menyebabkan trauma dan meninggalkan kesan cukup mendalam. Isu ini boleh berlaku sama ada dalam sekelip mata atau beransur-ansur dalam sesebuah jangka masa.

Kes eksploitasi seksual kanak-kanak merupakan salah satu bentuk penderaan kanak-kanak paling ekstrem, lazimnya berlaku apabila pemangsa atau pendera berjaya meraih kepercayaan seorang kanak-kanak, kemudiannya dimanipulasi untuk berada dalam kawalan mereka menerusi ugutan, ancaman, atau keganasan yang mempunyai unsur-unsur seksual.

Tindakan segera perlu diambil untuk menangani isu ini.

Baru-baru ini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Polis Diraja Malaysia (PDRM), ACP Siti Kamsiah Hassan telah mengeluarkan kenyataan bahawa hampir 60% mangsa keganasan seksual di Malaysia adalah terdiri daripada kanak-kanak.

Data menunjukkan bahawa seramai 2,567 daripada 4,274 mangsa keganasan seksual pada tahun 2020 merangkumi jenayah rogol, rogol beramai-ramai, sumbang mahram, seks luar tabii dan pencabulan adalah terdiri daripada golongan kanak-kanak.


Kes Eksploitasi Seksual Di Malaysia Berada Pada Tahap Membimbangkan

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun telah mendedahkan bahawa kes eksploitasi seksual kanak-kanak di Malaysia semakin membimbangkan.

Ia apabila sebanyak 106,764 alamat Protokol Internet (IP) berdaftar di negara ini  telah dikesan membuat perkongsian kandungan lucah membabitkan golongan itu dalam tempoh masa enam tahun sejak 2017 hingga Ogos 2022.

Baru-baru ini juga, seorang pelakon kanak-kanak tanah air telah berkongsi trauma silam beliau melibatkan bapanya yang didakwa telah mendera beliau dari aspek fizikal, mental dan seksual sejak beliau baru berusia lima tahun.

Namun, kes yang didedahkan ini hanyalah secebis daripada permasalahan yang lebih besar.

Meskipun terdapat peningkatan dalam kes-kes sedemikian, banyak kes yang tidak dilaporkan kerana kurangnya kesedaran mengenai isu ini. Lebih menyedihkan lagi apabila kebanyakan mangsa tidak tahu bagaimana cara untuk mendapatkan pertolongan. Berikutan itu, isu ini sebenarnya adalah lebih besar dan melangkaui jumlah kes yang telah dilaporkan.

Sebagai sambungan kepada isu eksploitasi seksual kanak-kanak, eksploitasi seksual secara dalam talian terhadap kanak-kanak (OSCEA) ialah sebuah isu yang perlu diberikan perhatian segera.

Seiring dengan peningkatan kebergantungan kanak-kanak dan remaja terhadap Internet, risiko OSCEA untuk menjadi sebuah isu yang semakin membarah juga semakin meningkat.

Kemelut ini menimbulkan sebuah persoalan penting: Bagaimana kita boleh memastikan anak-anak kita selamat?


Kesedaran Tentang Aktiviti Kanak-kanak Dalam Talian Perlu Diberi Penekanan

Ibu bapa dan penjaga seharusnya mempunyai lebih kawalan dalam aktiviti dalam talian kanak-kanak, terutama sekali melibatkan akaun-akaun media sosial dan kandungan yang ditonton dalam talian.

Menurut Tinjauan Pendapat Sempena Bulan Keluarga Kebangsaan 2020 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), kawalan ibu bapa ke atas penggunaan Internet anak-anak telah menurun dari 62.5% pada tahun 2018 ke 53.3% pada tahun 2020.

(Credit: tirachardz/pch.vector via Freepik)

Kebergantungan ke atas sistem kawalan ibu bapa berkemungkinan tidak lagi berkesan memandangkan pemangsa dalam talian sering menggunakan pelbagai langkah baharu untuk berhubung dengan golongan kanak-kanak yang naif dan perlu dilindungi.

Ibu bapa perlu mengenali tanda-tanda CSE dan OSCEA dan mengambil tindakan segera untuk membantu anak-anak mereka mengenal pasti ancaman-ancaman berbahaya dan menapis kandungan yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.

Antara tanda-tanda seorang kanak-kanak yang sedang berdepan dengan CSE ialah perubahan tingkah laku dan perubahan mood. Di samping itu, tanda-tanda fizikal seperti lebam, kesan pada tubuh badan, trauma, ketidakstabilan mental, dan keterlibatan dengan tingkah laku seksual tidak sepatutnya juga boleh menjadi tanda-tanda mangsa telah terdedah kepada CSE.

Ibu bapa juga seharusnya mendidik anak-anak mengenai risiko perbuatan mendedahkan maklumat peribadi dalam talian, terutama sekali berkaitan dengan lokasi keberadaan, alamat rumah, butiran peribadi dan seumpamanya.


Pendidikan Buat Kanak-kanak & Menimbulkan Kesedaran Mampu Memacu Perubahan

Sekolah dan insititusi pendidikan seharusnya mendidik kanak-kanak mengenai hak dan batas yang wajar mereka amalkan. Setiap sekolah seharusnya menyediakan kurikulum literasi digital yang sesuai untuk kanak-kanak supaya mereka boleh didik untuk kekal selamat daripada gangguan pemangsa dalam talian.

Antara langkah lain untuk melindungi anak-anak mereka daripada pemangsa dalam talian ialah kawalan kandungan dalam talian, dan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Kod Kandungan) yang boleh memainkan peranan penting dalam hal ini.

Kod Kandungan ialah sebuah garis panduan yang menggariskan amalan terbaik dan piawaian beretika untuk penciptaan kandungan, termasuklah kandungan untuk kanak-kanak. 

Kod Kandungan mempunyai sebuah peruntukan mengenai Kandungan Lucah yang mendukung keselamatan kanak-kanak, terutamanya dalam ruangan dalam talian.

Peruntukan ini merangkumi penghinaan seksual dan pornografi kanak-kanak, di mana adanya terdapat penayangan bahagian tubuh badan seseorang kanak-kanak dalam konteks seksual. 

Dengan berpandukan Kod ini, pencipta dan pengguna kandungan tidak kira tua atau pun muda, digalakkan untuk mengamalkan kawal selia kendiri dan mengenal pasti kandungan yang berbahaya dan kandungan yang selamat.


Lindungi Anak-anak Kita

Banyak lagi yang harus kita lakukan untuk menjamin keselamatan anak-anak kita. Misalnya, sebuah platform mesra pengguna perlu diwujudkan untuk melaporkan sebarang pornografi kanak-kanak dalam talian atau CSE, terutama sekali yang boleh melindungi kerahsiaan identiti mangsa.

Lebih banyak saluran untuk sokongan perlu diwujudkan untuk membolehkan mangsa tampil dan melaporkan pengalaman mereka tanpa sebarang lapisan yang berlebihan mahupun pandangan serong.

Selain itu, kita juga memerlukan kesedaran mengenai keibubapaan digital lebih tinggi untuk mempersiapkan dan membekalkan ibu bapa dengan peralatan dan ilmu pengetahuan tepat untuk melindungi keselamatan anak-anak mereka.

Baik ibu bapa, badan-badan kerajaan, organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGO), mahupun orang ramai, kesemuanya mempunyai peranan tersendiri untuk melindungi anak-anak kita daripada pemangsa dalam talian dan kandungan tak tersirat atau kandungan yang tidak sesuai. 

Malah, sesiapa sahaja boleh membantu kanak-kanak yang didera secara seksual dengan melaporkan kes-kes sedemikian kepada pihak polis, mendapatkan bantuan daripada hospital kerajaan, mahu pun Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Apabila berkomunikasi dengan seseorang kanak-kanak yang telah melalui penderaan seksual, tanamkan rasa sabar dan gunakan laras bahasa yang boleh difahami kanak-kanak.

Beri ruang untuk mereka berasa selesa dan yakinkan mereka bahawa mereka tidak bersalah atas pengalaman yang mereka lalui. Biarkan mereka bercerita mengikut keselesaan mereka dan jangan desak mereka berulang kali untuk memberikan maklumat lanjut.

Penting untuk kes-kes sebegini dirujuk kepada para pengamal profesional yang berpengalaman dan berkemampuan untuk mengendalikan isu-isu sebegini.

Para pengamal pofesional seperti pekerja sosial, kaunselor, dan pengamal pendidikan profesional memiliki kemahiran dan kepakaran untuk campur tangan dalam kes-kes penderaan kanak-kanak. 

Misi untuk menjadikan Malaysia lebih selamat dan lebih baik untuk generasi masa hadapan bermula dengan kita, jadi marilah kita berganding bahu untuk menghentikan kemelut CSE dan OCSEA. 

Untuk maklumat lanjut mengenai Forum Kandungan atau Kod Kandungan, boleh [KLIK SINI].


Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Forum Kandungan) adalah organisasi industri kawal sedia kendiri yang bebas dan didaftarkan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan ditetapkan oleh Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (CMA’98) untuk menyelia dan mempromosikan kandungan kawal selia kendiri melalui medium rangkaian elektronik.


Jika anda ingin berkongsi pendapat bersama kami, boleh hantarkan e-mel ke editorial@therakyatpost.com dengan tajuk “OPINION” atau “PENDAPAT”: atau melalui media sosial kami TRPBM: FacebookTwitter dan Instagram.

© 2021 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd