Now Reading
Program SULUNG Inisiatif KPT Bantu Pelajar B40 Jadi Ahli Keluarga Pertama Sambung Pengajian Di Universiti

Program SULUNG Inisiatif KPT Bantu Pelajar B40 Jadi Ahli Keluarga Pertama Sambung Pengajian Di Universiti

Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) anjuran Kementerian Pengajian Tinggi telah melibatkan lapan universiti awam pada tahun pertama pelaksanaannya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Selepas tamat persekolahan, ramai pelajar akan memasang impian untuk menyambung pelajaran ke dalam bidang yang diminati di menara gading.

Namun, kos untuk meneruskan pengajian di peringkat universiti memerlukan dana kewangan yang agak tinggi untuk membayar yuran semester, penginapan, alat pembelajaran dan sebagainya.

Disebabkan itu, ramai pelajar dari golongan B40 tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Anjur Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) Bantu Pelajar B40

Prihatin dengan nasib golongan pelajar dari keluarga B40, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil inisiatif untuk membantu kumpulan ini dengan mewujudkan program pertama di Malaysia yang diberi nama Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG).

Program SULUNG ini merupakan program rintis yang dicadangkan semasa Majlis Amanat Tahun Baharu KPT pada 17 Januari 2022 yang diaspirasikan hasil cetusan idea Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ketika menyampaikan ucapan perasmian Program SULUNG di UTHM, Johor.

Pelaksanaan SULUNG ini diinspirasikan dari beberapa program di luar negara seperti “First in Family” di United Kingdom (UK) dan Australia serta “First-Generation College Student” di Amerika Syarikat (AS).

Program SULUNG yang pertama kali dilancarkan ini bertujuan untuk membuka peluang kepada generasi pertama dalam keluarga B40 yang belum mempunyai ahli keluarga melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda dan ke atas.

Dengan adanya program SULUNG ini, ia dapat memastikan akses bagi mendapatkan pendidikan di tahap lebih tinggi dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia terutamanya pelajar dari golongan B40 dengan pencapaian akademik yang cemerlang.

Berpaksikan kepada semangat #KPTPrihatin, program SULUNG ini juga selaras dengan Fokus Kelima Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu Membasmi Kemiskinan Tegar Dan Merapatkan Jurang Pendapatan.

Objektif Program SULUNG Oleh KPT

Setiap program yang dijalankan pasti mempunyai objektif yang ingin dicapai. Antara objektif yang disasarkan dalam program SULUNG ini adalah:

  • Memberi peluang kepada pelajar dari golongan B40 untuk menjadi generasi pertama dalam keluarga yang berjaya melanjutkan pelajaran ke tahap pendidikan lebih tinggi di peringkat ijazah sarjana muda dan ke atas.
  • Menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk Dermasiswa bagi membiayai segala yuran pengajiran serta elaun sepanjang tempoh di universiti.
  • Menyelaras pelaksanaan program serta aktiviti untuk membangunkan kapasiti Pembimbing/Siswa SULUNG.
  • Menjaga aspek kebajikan termasuklah penginapan, bimbingan dari segi akademik serta kaunseling kepada Siswa SULUNG.
  • Membentuk peribadi serta identiti Sisswa SULUNG yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah diri.
  • Meningkatkan kebolehpasaran Siswa SULUNG dengan melaksanakan beberapa program bagi memberi pendedahan awal kepada industri pekerjaan serta antarabangsa.

Kriteria Pemilihan Siswa SULUNG

Calon Siswa SULUNG tidak perlu menghantar sebarang permohonan untuk dipilih dalam program ini kerana mereka akan dikenal pasti sendiri oleh pihak KPT berdasarkan kriteria ditetapkan melalui permohonan pelajar dalam sistem UPUOnline.

Daripada 115,477 calon yang telah memohon kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), seramai 1,416 orang dikenal pasti sebagai calon SULUNG berdasarkan beberapa kriteria seperti berikut:

  • Tergolong dalam kalangan B40 dengan pendapatan keluarga di bawah RM4,850.
  • Menjadi ahli keluarga yang pertama melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah.
  • Memperoleh keputusan PNGK 3.50 dan ke atas.
  • Memenuhi syarat am dan syarat khas yang ditetapkan untuk kemasukan ke program pengajian Lepasan STPM/Setaraf.
  • Memilih pilihan pertama dalam sistem UPUOnline dalam enam bidang kompetitif seperti Perubatan, Pergigian, Kejuruteraan, Undang-undang, Perakaunan dan Perniagaan serta Pendidikan TESL di lapan universiti awam yang terlibat.

Bagi calon Siswa SULUNG yang terpilih, mereka perlu melalui beberapa proses tapisan akhir dalam bentuk temu duga dan juga semakan lapangan di mana anggota pegawai akan melawat ke rumah pelajar bagi melihat latar belakang keluarga.

Noraini menyempurnakan gimik perasmian Program SULUNG bersama-sama pengurusan tertinggi KPT.

8 IPTA Terlibat Sebagai Universiti Perintis Program SULUNG

Pengambilan Kohort 1 Tahun 2022 untuk program ini hanya lapan universiti awam yang terlibat sebagai universiti perintis SULUNG. Antaranya:

  • Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  • Universiti Putra Malaysia (UPM)
  • Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
  • Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
  • Universiti Malaysia Sabah (UMS)
  • Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
  • Universiti Malaysia Pahang (UMP)
  • Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

KPT menyasarkan 10 orang calon bagi setiap universiti perintis dan menjadikan kesemua pelajar yang terlibat dalam SULUNG pada tahun ini adalah seramai 80 orang mahasiswa.

Universiti Kebangsaan Malaysia. (Sumber: FourSquare/ Hanani Najwa)

Walau bagaimanapun, KPT merancang untuk memperluaskan lagi pelaksanaan program ini bagi Kohort 2 Tahun 2023 dengan melibatkan 20 universiti awam di seluruh negara dan akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan serta pendanaan daripada pihak luar.

Manfaat Yang Diperoleh Oleh Calon Siswa SULUNG

Pelajar yang terpilih sebagai Siswa SULUNG ini bakal menerima empat manfaat seperti berikut:

Manfaat 1: Laluan kemasukan khas

  • Laluan khas B40 ini merupakan salah satu daripada laluan khas kemasukan yang disediakan selain untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli dan juga atlet.
  • Sebanyak 10% calon B40 yang ditawarkan ke program pengajian melalui kemasukan laluan khas ambilan Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Manfaat 2: Bantuan kewangan dalam bentuk dermasiswa dan elaun

  • Setiap Siswa SULUNG akan menerima bantuan kewangan dalam bentuk dermasiswa yang tidak perlu dibayar semula kepada pihak KPT selepas tamat pengajian.
  • Dermasiswa tersebut merangkumi Yuran Pengajian dan Penginapan, Elaun Sara Hidup, Bantuan Komputer Riba dan elaun-elaun lain yang ditetapkan oleh pihak KPT serta universiti.

Manfaat 3: Kebajikan dan pembangunan insaniah

  • Setiap Siswa SULUNG akan diberikan penginapan di lokasi pengajian mereka.
  • Pembimbing SULUNG akan memberikan ‘mentoring’ dan memantau perkembangan dan kemajuan Siswa SULUNG dari semasa ke semasa.
  • Beberapa program akan dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) untuk membentuk pembangunan kepimpinan, sahsiah serta ‘soft-skills’ yang boleh menjadi nilai tambah kepada kompetensi Siswa SULUNG.

Manfaat 4: Program peningkatan kebolehpasaran graduan

  • Siswa SULUNG juga berpeluang untuk menyertai program seperti Latihan Industri, ‘Job-Matching’, Pembangunan Usahawan, Pensijilan Profesional bagi meningkatkan kebolehpasaran.
  • Pihak KPT juga akan bekerjasama dengan pihak industri terlibat untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada Siswa SULUNG sebaik sahaja mereka tamat pengajian.
  • KPT turut melihat peluang untuk menawarkan Siswa SULUNG bagi melanjutkan pelajaran bagi mereka yang berminat menceburi bidang akademik di universiti.

Seramai 76 Orang Siswa SULUNG Berjaya Melepasi Tapisan Kriteria Universiti

Ketika Majlis Pelancaran Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) dan Penyampaian Surat Tawaran Program Penajaan KPT pada 26 Oktober lalu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad turut memaklumkan seramai 76 orang pelajar telah terpilih sebagai Siswa SULUNG pada tahun ini.

Noraini dan pengurusan tertinggi KPT serta para penerima Program Pembangunan Siswa Keluarga Malaysia (SULUNG).

Beliau sendiri berkesempatan untuk menyampaikan sendiri surat tawaran di beberapa rumah Siswa SULUNG di Johor dan Melaka. Malah Pengurusan Tertinggi KPT juga turun padang menyantuni beberapa calon di Kedah, Kelantan dan Sabah. 

“Program SULUNG ini berbentuk jangka masa panjang di mana hasilnya akan dapat dilihat selepas Siswa SULUNG menamatkan pengajian sekitar tahun 2025,” Kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Pelajar B40 yang mengikuti program SULUNG ini disasarkan untuk mempunyai peluang kerjaya yang baik dan dapat membantu keluarga keluar dari kelompok B40.

Kejayaan tersebut akan dilihat sebagai salah satu indikator serta faktor kejayaan pencapaian program SULUNG yang diwujudkan.

Biasiswa Dan Bantuan Kewangan Oleh KPT Kepada Kumpulan Sasaran

Dalam satu majlis yang sama diadakan bersempena dengan pelancaran program SULUNG, pihak KPT turut memaklumkan mereka akan menyediakan bantuan kewangan dan biasiswa merangkumi tenaga pengajar di institusi awam serta orang awam yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian di pelbagai peringkat.

Antara bantuan kewangan yang disediakan kepada pegawai yang sedang berkhidmat di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti serta pegawai bukan akademik di institusi awam adalah seperti berikut:

  • Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB)
  • Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI)
  • Sub-Kepakaran
  • Pasca Kedoktoran
  • Hadiah Latihan Persekutuan (HLP)
Sebahagian penerima program penajaan KPT tahun 2022.

Sementara itu biasiswa serta program yang ditawarkan bagi orang awam yang berkelayakan pula termasuklah golongan B40 dan OKU adalah:

  • MyBrain Science (MyBrainSc)
  • Biasiswa Atlet Cemerlang IPT
  • Tokoh Siswa
  • Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik
  • Bantuan Kewangan Asasi 
  • Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti (BKPKK)
  • Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU)
  • Program Pendidikan Khas (PPK)
  • Program Dermasiswa B40 TVET
Noraini menyampaikan surat tawaran program penajaan KPT kepada penerima daripada UTM.

Pada masa sama juga, rakan strategik KPT iaitu Lembaga Tabung Haji (LTH) turut menyampaikan sumbangan dana zakat berjumlah RM12 juta kepada 20 universiti awam menerusi program yang diberi nama Iqra’ TH.

Peruntukan sebanyak RM600,000 yang diberikan kepada setiap universiti diharapkan dapat memanfaatkan lebih 30,000 orang mahasiswa.

Lembaga Tabung Haji menyampaikan sumbangan dana zakat bernilai RM20 juta kepada 20 buah universiti awam.

Bukan itu sahaja, majlis pada hari berkenaan turut menyaksikan seramai 50 orang pelajar IPT dari Zon Selatan telah menerima sumbangan PerantiSiswa yang diberikan secara percuma oleh pihak kerajaan untuk memudahkan urusan pembelajaran mereka.

BACA JUGA: Lelaki Ini Ajar Cara Untuk Jadikan Gajet PerantiSiswa Sebagai Skrin Kedua Laptop

Sebahagian daripada 50 orang pelajar IPT di Zon Selatan yang menerima PerantiSiswa.

Diharapkan segala program dan juga bantuan kewangan yang diperuntukkan oleh kerajaan ini dapat membantu lebih ramai pelajar dari golongan kurang berkemampuan untuk menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk mengubah nasib keluarga mereka ke arah lebih baik.

BACA JUGA: KPT: Tiada Kuota Kaum, Layanan Atasan & Pemilihan Automatik Kemasukan Ke Universiti Awam


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd