Terowong SMART Ditutup Pagi Ini Selepas Paras Air Sungai Lepasi Tahap Bahaya
Terowong Lebuhraya SMART di ibu negara ditutup buat sementara waktu bagi melencongkan air banjir akibat limpahan sungai susulan hujan lebat berterusan awal pagi ini (12 Oktober).


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!
Susulan hujan lebat yang turun sejak awal pagi ini (12 Oktober) di sekitar Lembah Klang, beberapa kawasan sungai telah mencatatkan peningkatan yang membimbangkan.
Menerusi maklumat yang dikeluarkan oleh laman InfoBanjir, bacaan paras air di Sungai Klang di Stesen Bandar Klang telah melepasi paras bahaya iaitu 3.28 meter berbanding bacaan normal 2.2 meter.
Pada masa sama, paras air di Sungai Langat di Stesen RS Batu 8 juga berada pada situasi berbahaya selepas menunjukkan peningkatan pada bacaan iaitu 2.35 meter berbanding bacaan normal 0.1 meter.

Sementara itu, beberapa stesen lain turut berada paras status amaran seperti:
- Jeti Teluk Penyamun (Kuala Selangor)
- Pekan Beranang (Hulu Langat)
- Kampung Rantau Panjang (Klang)
Manakala beberapa stesen berikut pula berada dalam paras berjaga-jaga. Antaranya:
- Stesen Kampung Salak Tinggi (Sepang)
- Stesen Kampung Melayu Subang (Petaling)Â
- Batu 9 (Hulu Langat)
Orang ramai dan penduduk sekitar dinasihati untuk kekal berwaspada dan segera melaporkan sekiranya berlaku sebarang kejadian banjir.
Terowong SMART Ditutup Buat Sementara Waktu
Berikutan peningkatan air sungai yang berada di paras bahaya, Terowong Lebuhraya SMART di ibu negara juga diarahkan tutup sepenuhnya buat sementara waktu kepada pengguna jalan raya bermula pagi ini.
Penutupan itu dilakukan bagi melencongkan air banjir susulan hujan lebat yang melanda Lembah Klang awal pagi hari ini (12 Oktober).
Menerusi satu kenyataan dikeluarkan oleh Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART)Â di laman Facebook (SMART Tunnel), pihak mereka telah mengaktifkan Mod 3 sekitar jam 7:45 pagi ini.
Pengaktifan Mod 3 dilakukan dengan cara menghalang laluan masuk kenderaan bagi membolehkan air banjir dialirkan di bahagian bawah terowong.
Pada sekitar jam 9:20 pagi ini, Terowong SMART telah dibuka semula untuk pengguna jalan raya.
Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.