Now Reading
Terjatuh Dari Baby Chair, Kanak-kanak 2 Tahun Di Johor Maut

Terjatuh Dari Baby Chair, Kanak-kanak 2 Tahun Di Johor Maut

Mangsa telah bertindak di luar kawalan dengan menolak meja menggunakan kakinya hingga menyebabkan baby chair yang didudukinya itu terjatuh dan kepalanya terhentak di atas lantai.

Siti Murni

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Satu kejadian meragut nyawa telah berlaku semalam (4 Oktober) pada jam 5:23 petang apabila polis daerah Johor Bahru Utara menerima laporan oleh pengadu iaitu bapa kepada kanak-kanak berusia lelaki yang dikatakan maut akibat terjatuh dari baby chair.

Kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga sedang menjamu selera di sebuah restoran yang terletak di Taman Sutera, Johor Bahru. Mangsa adalah seorang kanak-kanak lelaki warga tempatan berusia 2 tahun.

Menurut kenyataan PDRM, siasatan oleh pihak polis di tempat kejadian mendapati pada 4 Oktober 2022 lebih kurang jam 2 petang, bapa dan ibu mangsa telah membawa kanak-kanak tersebut ke restoran itu dan meletakkannya ke dalam baby chair.

Pada jam lebih kurang 3 petang, semasa sedang makan, mangsa telah bertindak di luar kawalan dengan menolak meja menggunakan kakinya hingga menyebabkan baby chair yang didudukinya itu terjatuh dan kepalanya terhentak di atas lantai.

Kejadian tersebut menyebabkan kanak-kanak tersebut menangis dengan kuat sebelum pengsan. Ia turut disaksikan oleh pekerja di restoran tersebut.

Sejurus kejadian itu, bapa mangsa telah bergegas membawanya ke sebuah klinik swasta namun dinasihatkan oleh doktor klinik untuk menghantarnya terus ke hospital kerana keadaannya nampak serius.

Bapa mangsa membawanya ke sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri dan kanak-kanak tersebut disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas.

Hari ini (5 Oktober), bedah siasat akan dibuat terhadap mayat kanak-kanak berkenaan di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk mengetahui punca kematian.

Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam kejadian itu. Kertas siasatan Sudden Death Report (SDR) telah dibuka dan siasatan masih diteruskan.


Kami mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa di atas kehilangan anak tercinta. Al-Fatihah.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

© 2021 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd