Now Reading
Murid Buat Laporan Palsu ‘Diculik’ Sebab Takut Dimarahi Oleh Keluarga

Murid Buat Laporan Palsu ‘Diculik’ Sebab Takut Dimarahi Oleh Keluarga

Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad menjelaskan hasil siasatan lanjut mendapati kanak-kanak itu sengaja mereka-reka cerita insiden berkenaan dalam laporan dibuat pada 17 September lalu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Zaman sekarang ini, kes culik yang melibatkan kanak-kanak dilaporkan kerap berlaku. Oleh yang demikian, ibu bapa dilihat lebih berwaspada untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara tidak diingini kepada ahli keluarga sendiri.

Mana tidaknya, anak balik sekolah pun boleh diculik. Inikan pula kanak-kanak yang dibiarkan berada di luar tanpa pengawasan ibu bapa/penjaga.

Murid Lelaki Buat Laporan Polis Palsu Sebab Balik Rumah Lambat

Walau bagaimanapun, lain pula yang terjadi baru-baru ini apabila seorang murid lelaki di Kulim, Kedah dikatakan telah membuat laporan polis palsu kononnya berdepan dengan detik mendebarkan iaitu cubaan menculik.

Murid Tahun Empat itu dilaporkan melakukan hal tersebut oleh kerana gerun dimarahi oleh ahli keluarganya akibat pulang lambat ke rumah.

Menurut laporan, Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad menjelaskan hasil siasatan lanjut mendapati kanak-kanak itu sengaja mereka-reka cerita insiden berkenaan dalam laporan dibuat pada 17 September lalu.

Malah, murid terbabit mendakwa dia bersama abangnya berusia 13 tahun, berada di sebuah kawasan perumahan sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali bertanyakan kepada mereka mengenai lokasi sebuah sekolah, pada kira-kira jam 3.30 petang.

Kanak-kanak itu mendakwa, dia bersama abangnya kemudian pergi menunjukkan lokasi sekolah berkenaan kepada lelaki terbabit. Dia juga mendakwa ketika dalam perjalanan, lelaki itu berhenti membuang air kecil di kawasan hutan berhampiran. Dia seterusnya mendakwa terdengar lelaki berkenaan memberitahu seorang rakan yang dihubungi melalui telefon bimbit mengenai rancangan untuk menculiknya.

Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad menerusi Berita Harian.

Mengulas lanjut, kanak-kanak itu mendakwa dia terpaksa berlari ke jalan besar untuk meminta pertolongan individu lelaki yang tidak dikenali olehnya untuk menghantarnya pulang ke rumah.

Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut mendapati kanak-kanak itu membuat laporan polis kerana bimbang dimarahi keluarga selepas dia lewat pulang ke rumah. Kita sudah memanggil ibu bapa murid itu untuk memberi penerangan berhubung kes terbabit. Kes itu diklasifikasikan sebagai tiada berlaku sebarang kesalahan (NOD).

Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad menerusi Berita Harian.

Polis Nafi Berlaku Kes Cubaan Menculik Yang Tular

Oleh yang demikian, pihak polis telah menafikan berlakunya kes cubaan menculik membabitkan murid tersebut sepertimana yang diperkatakan menerusi mesej tular di media sosial.

Melalui mesej itu, mangsa kononnya berjaya melepaskan diri setelah bergelut dengan penculik berhampiran dengan kolam udang di belakang sebuah sekolah.

Walau bagaimanapun, pemilik akaun FB yang menyebarkan berita palsu tersebut sudah memadamkan hantaran berkenaan.

Orang ramai juga dinasihati untuk tidak mudah mempercayai serta menyebarkan berita yang tidak sahih, terutamanya yang melibatkan isu sensitif.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd