Lelaki Dari Kedah Didenda RM4,000 Selepas ‘Berlakon’ Jadi Raja Muda Perak
Pihak polis turut merampas satu kad kuning yang tertera “DYMM Raja Muda Perak Tuanku Tun Mamat Fadhil Duke Of Royal Malaysia British Bin DYTM Sheikh Tengku Lope Salleh Of Royal Irish Fusiller Princess Victoria”.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!
Terbaharu, seorang lelaki berusia 39 tahun didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini (22 Ogos) selepas mengaku bersalah telah menyamar sebagai Raja Muda Perak pada 28 Jun lalu.
Menurut laporan Astro Awani, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan jika tertuduh gagal membayar denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri manakala peguam Muhammad Syafiq Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan mewakili tertuduh.
Lelaki berkenaan iaitu Mohammad Fadhil Lope mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif.
Sumber: Astro Awani
Menyamar sebagai Raja Muda Perak untuk menghadap Sultan Kedah
Mohammad Fadhil didakwa cuba untuk memperdaya seorang lelaki dan dua wanita bertugas di Pejabat Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar dengan menyamar sebagai Raja Muda Perak bagi membolehkan dirinya menghadap Sultan Kedah.
Ketika ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada Rabu lalu (17 Ogos), satu kad kuning yang tertera “DYMM Raja Muda Perak Tuanku Tun Mamat Fadhil Duke Of Royal Malaysia British Bin DYTM Sheikh Tengku Lope Salleh Of Royal Irish Fusiller Princess Victoria” turut dirampas.
Sehubungan itu, tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan (KK). Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.