Hujan Lebih 1 Jam, Johor Bahru Dilanda Banjir Terburuk Dalam Tempoh 10 Tahun
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi akan bermesyuarat dengan beberapa pihak tentang pelan tindakan sekiranya banjir kilat ini berlaku pada masa akan datang.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!
Hujan berterusan lebih satu jam kira-kira pada jam 12 tengah hari pada Selasa (2 Ogos) lalu telah melanda beberapa kawasan di bandar di Johor Bahru dan mengakibatkan banjir kilat terburuk dalam tempoh 10 tahun.
Beberapa kenderaan di Johor Bahru turut ditenggelami air dan antara kawasan yang turut terjejas ialah Hospital Sultanah Aminah (HSA), parkir awam di Jalan Ayer Molek dan Kampung Baru Mohd Amin.

Memetik laporan Berita Harian, salah seorang penduduk yang terjejas iaitu Rahman Abdullah, 60 tahun memberitahu air mula naik di beberapa jalan juga mengakibatkan kesesakan lalu lintas lebih setengah jam susulan hujan lebat berlarutan.
Kami bernasib baik kerana kenderaan yang kami naiki masih boleh bergerak walaupun air mula naik di Jalan Wong Ah Fook. Kami juga difahamkan laluan di Jalan Yahya Awal dan Jalan Ayer Molek turut diancam banjir kilat hingga mengakibatkan kesesakan.
Rahman Abdullah berkata kepada Berita Harian.
Beberapa pemilik kenderaan juga segera memeriksa kenderaan mereka selepas air mula surut.

Menteri Besar Johor bakal lakukan pelan tindakan atasi banjir kilat
Menerusi laporan Utusan, banjir kilat tersebut telah menenggelamkan kira-kira 500 buah kenderaan di sekitar Johor Bahru
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan taburan hujan pada hari tersebut telah mencecah paras 100mm dan dilihat agak luar biasa berbanding 20 hingga 30 mm jika dalam keadaan normal.

Berikutan itu, beliau mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melakukan kerja pengepaman bagi menyalurkan air kelaur dari kawasan lain.
Saya akan mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri iaitu Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi mencari penyelesaian sekiranya kejadian ini berulang lagi.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga mengesahkan menerusi satu kenyataan tentang kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Johor Bahru.
Kongsikan cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRP: Facebook, Twitter, and Instagram.