Now Reading
Penduduk Selangor Paling Tak Bahagia Antara Semua Negeri, Labuan Paling ‘Happy’ – MHI 2021

Penduduk Selangor Paling Tak Bahagia Antara Semua Negeri, Labuan Paling ‘Happy’ – MHI 2021

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pelaksanaan tinjauan yang melibatkan 42,446 responden dilakukan berdasarkan manual antarabangsa.

Buat julung kalinya, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengeluarkan Laporan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021 yang dilaksanakan untuk mengukur tahap kebahagiaan rakyat Malaysia dari aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual.

Mula dilakukan pada September hingga November 2021, pelaksanaan tinjauan ini adalah berpandukan manual antarabangsa antaranya, World Happiness Report (WHR), Human Development Index (HDI) dan OECD Guidelines on Measuring Subjective Well-being.

Menurut DOSM, kajian tersebut melibatkan 42,446 responden dari seluruh negara bagi mendapatkan tahap kebahagiaan rakyat Malaysia yang dikategorikan kepada lima skor dengan nilai bermula dari :

  • 0.00-2.00 (Sangat Tidak Bahagia)
  • 2.01-4.00 (Tidak Bahagia)
  • 4.01-6.00 (Sederhana Bahagia)
  • 6.01-8.00 (Bahagia)
  • 8.01-10.00 (Sangat Bahagia).

Ia juga dibangunkan berdasarkan 73 indikator dan kemudiannya dirangkum dalam 13 komponen iaitu keluarga, perumahan dan alam sekitar, penyertaan sosial, kesihatan dan kemudahan komunikasi.

Rakyat Malaysia rata-ratanya bahagia

Jika dilihat dari infografik yang dikongsikan, Skor keseluruhan bagi rakyat Malaysia (MHI) pada tahun 2021 adalah 6.48 iaitu pada tahap bahagia.

Untuk negeri, Labuan tertinggi diikuti Kuala Lumpur

Bagi pecahan mengikut negeri pula, penduduk di Wilayah Persekutuan Labuan berada di kedudukan tertinggi apabila berjaya mencatat skor 9.29 meninggalkan jauh penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di tempat kedua dengan skor 7.7.

Namun keadaan sedikit berbeza buat negeri jiran Kuala Lumpur, iaitu Selangor apabila tinjauan mendapati penduduk di negeri tersebut berada pada kedudukan terendah dengan skor 5.74 diikuti Melaka (5.8).

Skor tersebut menjadikan kedua-dua negeri itu berada pada tahap ‘Sederhana Bahagia’ berbanding semua negeri lain yang dikategorikan ‘Bahagia’ manakal Labuan menjadi satu-satunya negeri dengan rakyatnya ‘Sangat Bahagia’.

Tahap Bahagia mengikut negeri

Sangat Bahagia – Wilayah Persekutuan Labuan

Bahagia : W.P Kuala Lumpur, W.P Putrajaya, Terengganu, Kelantan, Perlis, Pahang, Sarawak, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Sabah.

Sederhana Bahagia : Melaka, Selangor.

Perempuan lebih bahagia

Dari segi jantina pula, tinjaun tersebut turut mendapati perempuan mencatatkan skor MHI lebih tinggi iaitu 6.49 berbanding lelaki dengan skor 6.46.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, meskipun tinjaun ini dilakukan dalam di saat negara berdepan ancaman Covid-19 dan ketidakstabilan ekonomi, skor MHI 2021 yang diperoleh agak relevan dan bersesuaian memandangkan skor diperoleh setiap negeri adalah tidak jauh beza.

Malah 13 komponen berada di tahap Bahagia dengan mencatatkan skor antara 6.04 hingga 7.23 seperti keluarga dengan skor 7.23, amalan kerohanian (7.21) dan kesihatan (6.75).

Katanya skor MHI mengikut strata bandar dan luar bandar di Malaysia berada pada tahap Bahagia iaitu masing-masing pada skor 6.46 dan 6.54.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd