Now Reading
“Jangan Mudah Percaya!” – Isu Tular Culik Kanak-kanak & Jual Organ Adalah Palsu, Kata PDRM

“Jangan Mudah Percaya!” – Isu Tular Culik Kanak-kanak & Jual Organ Adalah Palsu, Kata PDRM

PDRM hari ini (4 Julai) mengesahkan bahawa tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan penculikan dan penjualan organ kanak-kanak seperti yang didakwa.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Sejak kebelakangan ini, satu hantaran tentang kes culik kanak-kanak di atas tujuan menjual organ telah mula tular dan membanjiri media sosial. Dalam hantaran tular tersebut turut mendakwa bahawa seorang individu baru sahaja kehilangan anak perempuannya sekitar minggu lepas.

Kanak-kanak tersebut dilaporkan telah dijumpai di Bukit Kayu Hitam. Setelah pihak berkuasa melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori ayam, mereka mendapati di dalam lori tersebut ada enam orang kanak-kanak.

Mereka didakwa tidak boleh bercakap oleh kerana suntikan ubat kimia yang diberikan kepada mereka dan bakal dihantar ke Thailand untuk dibunuh serta organ mereka akan dijual.

Dalam hantaran tular yang sama juga menjelaskan pemandu lori terlibat adalah berbangsa Melayu, manakala pemilik lori pula berbangsa Cina.


PDRM Tampil Perjelas Isu Palsu.

Isu tular itu bagaimanapun meraih perhatian pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak mereka juga telah mengeluarkan kenyataan perihal isu ini.

Menurut PDRM dalam satu hantaran yang dimuat naik hari ini (4 Julai) di Facebook, pihak mereka telah mengesan mesej palsu meminta masyarakat agar berwaspada berkaitan kejadian penculikan melibatkan sekumpulan kanak-kanak yang diberi bahan terlarang sehingga tidak mampu bercakap.

PDRM dalam masa yang sama turut mengesahkan bahawa tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan penculikan dan penjualan organ kanak-kanak seperti yang didakwa.

Malah, semakan mendapati bahawa mesej palsu tersebut telah tular sejak tahun 2017, dan kini kembali diulang siar di beberapa platform di media sosial.

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dengan berita-berita tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya. Mana-mana individu yang dikesan menyebarkan berita-berita palsu boleh disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Kenyataan rasmi PDRM.

Walau bagaimanapun, ibu bapa disarankan untuk sentiasa berwaspada dan tidak membiarkan anak-anak bersendirian di tempat awam. Bersamalah kita mengambil kes-kes yang telah berlaku sebelum ini sebagai pengajaran.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd