Now Reading
Cuaca Panas & Haba, Arab Saudi Larang Bekerja Di Waktu Tengahari

Cuaca Panas & Haba, Arab Saudi Larang Bekerja Di Waktu Tengahari

Larangan bekerja di bawah cahaya matahari di Arab Saudi ini telah ditetapkan bermula jam 12pm hingga 3pm bagi tempoh tiga bulan berkuat kuasa semalam (15 Jun 2022).

arab saudi

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Umum sedia maklum, cuaca pada jam 12 tengahari sehingga 3 petang adalah paling terik dan paling berhaba. Kalau masuk kereta, aircond kalau boleh nak ‘full blast’. Punyalah panas.

Terbaharu, kerajaan Arab Saudi menerusi Kementerian Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial (MHRSD) menguatkuasakan larangan bekerja di bawah cahaya matahari mulai jam 12pm hingga 3pm bagi tempoh tiga bulan berkuat kuasa semalam (15 Jun 2022).

arab saudi

Menurut laporan, larangan yang meliputi semua syarikat dan sektor swasta itu akan berterusan sehingga 15 September 2022.

Jurucakap kementerian itu iaitu Saad Al-Hammad menjelaskan denda SR3,000 (RM3,517) akan dikenakan ke atas majikan sekiranya melanggar peraturan berkenaan.

Jumlah denda itu akan berlipat kali ganda dengan jumlah pekerja yang terbabit dalam pelanggaran larangan kerja tengah hari.

Penalti itu juga termasuk menutup operasi syarikat untuk tempoh tidak melebihi 30 hari, atau menutupnya secara kekal/mengenakan denda dan menutup syarikat.


Bertujuan Memelihara Keselamatan & Kesihatan Pekerja

arab saudi

Larangan itu selaras dengan keputusan Menteri Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial, Eng Ahmed Al-Rajhi bertujuan memelihara keselamatan dan kesihatan pekerja di sektor swasta dengan mengharamkan kerja di tempat terbuka di bawah cahaya matahari.

Keputusan berkenaan turut memaksa sektor swasta untuk menyediakan persekitaran kerja yang sihat dan selamat serta menghindarkan pekerja mereka daripada sebarang risiko dan bahaya disebabkan kesan pendedahan kepada cahaya matahari dan tekanan haba.

Beberapa kawasan di beberapa buah wilayah dikecualikan daripada larangan bekerja tengah hari berikutan perubahan suhu kerana ia menurun di beberapa wilayah ke paras yang tidak memerlukan larangan bekerja pada waktu tengah hari.

Keputusan itu merupakan dalam rangka kesungguhan kementerian untuk memelihara keselamatan dan kesihatan pekerja di sektor swasta, dan komitmennya untuk menyediakan persekitaran kerja yang sihat dan selamat.

Kementerian melancarkan panduan prosedur khas untuk keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi mengelakkan kesan pendedahan kepada cahaya matahari dan tekanan haba.

Menteri Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial, Eng Ahmed Al-Rajhi.

Majikan Ingkar Bakal Didenda

Jurucakap kementerian menjelaskan bahawa Artikel 6 jadual pelanggaran dan penalti yang sepadan menetapkan bahawa denda akan dikenakan ke atas majikan jika dia menggaji pekerja di bawah cahaya matahari dalam persekitaran terbuka atau dalam keadaan iklim yang buruk tanpa mengambil langkah berjaga-jaga yang melanggar masa dan tempoh ditetapkan dalam keputusan menteri.

Jumlah pekerja yang menerima manfaat daripada penguatkuasaan larangan itu merangkumi kira-kira 2.74 juta pekerja lelaki dan wanita.

Walau bagaimanapun, keputusan larangan bekerja tengah hari ini tidak termasuk pekerja di syarikat minyak dan gas, serta pekerja penyelenggaraan kecemasan – dengan syarat langkah perlu diambil untuk melindungi mereka daripada bahaya cahaya matahari secara langsung.

Kementerian juga menggesa para majikan untuk mengatur waktu kerja dan melaksanakan apa yang ditetapkan dalam keputusan berkenaan.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd