Now Reading
Bekas Anggota ATM Terharu Terima Rumah Selepas 20 Tahun Tinggal Dalam Kereta

Bekas Anggota ATM Terharu Terima Rumah Selepas 20 Tahun Tinggal Dalam Kereta

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membantu proses pemindahan veteran ATM itu secepat mungkin dan beliau tidak perlu membayar sewa bulanan rumah selama setahun.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Terharu, tiada ungkapan dapat menjelaskan perasaan yang dialami.

Begitulah perasaan yang digambarkan oleh bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Redzuan Abdullah, 60, yang dilaporkan telah tinggal dalam kereta sejak 20 tahun lalu akhirnya menerima rumah yang selesa dan lengkap dengan alat kelengkapan rumah.

“Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas keprihatinan, rumah yang dapat ini cukup selesa, lengkap dengan alat kelengkapan rumah seperti orang sudah berkeluarga,” luahnya.

Menurut laporan, dia telah menerima kunjungan daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang menyerahkan surat tawaran penyewaan sebuah unit Perumahan Awam Seri Johor 4C, Cheras.

Mohd Redzuan atau mesra dipanggil Pak Wan menjelaskan bahawa dia tidak menyalahkan sesiapa mengenai nasibnya yang terpaksa hidup dalam serba kekurangan dengan menjadikan sebuah kereta di belakang bangunan kedai serbaneka di Taman Sungai Besi sebagai kediaman.

Kalau kita bersangka baik, Tuhan akan beri yang baik…disebabkan duduk seperti ini tidak buat masalah, tolong jaga kebersihan tempat ini dan tidak mengharapkan bantuan, hari ini dapat rumah yang selesa.

Bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Redzuan Abdullah.

Tidak Perlu Bayar Sewa Selama Setahun

Sementara itu, Shahidan menjelaskan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membantu proses pemindahan veteran ATM itu secepat mungkin dan beliau tidak perlu membayar sewa bulanan rumah selama setahun.

“Begitu juga dengan tambahan peralatan rumah untuk beliau (Mohd Redzuan), ini semua akan diuruskan sebaiknya. Insya-Allah akan ada kawan kita yang dermawan membantunya,” jelasnya.


Untuk rekod, Mohd Redzuan yang berkhidmat selama 17 tahun dalam ATM sebelum ini dilaporkan telah menyara kehidupannya dengan membaiki kenderaan di kawasan sekitar Sungai Besi dan kereta Volvo yang menjadi ‘kediamannya’ selama 20 tahun itu diberikan pelanggannya.

Pada 28 Mei lalu, Ismail Sabri yang diwakili Setiausaha Politiknya, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad melawat Mohd Redzuan dan mahu pesara itu diberikan sebuah rumah transit dalam masa terdekat dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd