Now Reading
Wanita Hamil 7 Bulan Maut Ditembak Pada Bahagian Perut Di Pasir Mas, Kelantan

Wanita Hamil 7 Bulan Maut Ditembak Pada Bahagian Perut Di Pasir Mas, Kelantan

Wanita hamil tujuh bulan, Farrah Emirah Mazlan, 26, yang maut ditembak di perut pada Sabtu merupakan ibu tunggal tiga anak berusia tiga hingga 10 tahun.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Semalam (4 Jun 2022), seorang wanita yang hamil tujuh bulan maut selepas ditembak semasa berada di dalam sebuah kereta di tepi jalan di Kampung Teresek, Repek, Pasir Mas, Kelantan.

Menurut laporan, mangsa yang dikenali sebagai Farrah Emirah Mazlan, 26, ditemui dalam dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu kereta jenis Nissan Cefiro dengan kesan tembakan pada bahagian perut sebelah kiri.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun menjelaskan bahawa pihak polis menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 4 petang selepas menemui mayat seorang wanita di dalam sebuah kereta yang berada di tepi jalan.

Pemeriksaan di dalam kereta tersebut telah menjumpai satu kelongsong peluru pada bahagian belakang tempat letak kaki penumpang sebelah pemandu.

Hasil temubual dengan saksi awam mendapati, kereta mangsa telah berada di tepi jalan tersebut sejak petang Jumaat. Berdasarkan semakan, kereta itu berdaftar atas nama mangsa sendiri.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun

Susulan kejadian itu, pihak polis telah menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang bekerja sebagai buruh untuk membantu siasatan.

Tempoh tahanan reman akan dipohon bermula hari ini (5 Jun) bagi membantu siasatan dan siasatan lanjut berhubung kes tersebut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Mangsa Adalah Ibu Tunggal Tiga Anak

Laporan telah mengesahkan bahawa mangsa merupakan ibu tunggal tiga anak berusia tiga hingga 10 tahun.

Nenek mangsa, Zawiyah Sulong, 68, berkata, sejak berpisah dengan suami pada Februari lalu ketiga-tiga anak mereka dijaga oleh Farrah Emirah.

Sehingga sekarang saya masih terkejut dengan apa yang berlaku kerana saya menjaga Farrah Emirah dia masih bayi lagi. Lebih memeritkan lagi apabila terkenangkan cicit yang masih kecil dan mereka belum mengetahui ibu sudah meninggal dunia.

Nenek mangsa, Zawiyah Sulong.

Kali terakhir dia bertemu Farrah Emirah adalah pada Jumaat malam (3 Jun), sebelum cucunya itu keluar dari rumah untuk berurut. Arwah juga sempat meminta kain batik sarung selain tertinggal kunci kereta sebelum berpatah balik ke dalam rumah untuk mengambilnya.

Zawiyah mulai bimbang keadaan Farrah Emirah apabila cucunya tidak pulang selepas jam 10.30 malam Jumaat.

Saya beberapa kali membuat panggilan telefon namun dia gagal dihubungi. Sehinggalah pada esoknya (Sabtu) saya bawa ketiga-tiga cicit menaiki kereta bersama anak ke beberapa lokasi di sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang mencari Farrah Emirah tetapi gagal.

Nenek mangsa, Zawiyah Sulong.

Seterusnya, pada jam 4.30 petang ada penduduk datang ke rumah di Bukit Lata, Rantau Panjang memberitahu arwah yang ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta di Kampung Teresek, Repek.

Dia bergegas ke lokasi dan sedih apabila melihat Farrah Emirah sudah disahkan meninggal dunia dan bahagian perut dipenuhi darah.

Sebelum kejadian itu Farrah Emirah ada membuat pemeriksaan kandungan dan gembira memaklumkan yang dia sedang mengandung bayi lelaki.

Zawiyah berharap agar pihak berkuasa dapat mencari pelaku yang sanggup melakukan sedemikian kepada cucunya yang sedang sarat mengandung.

Selepas urusan bedah siasat siap dijalankan, jenazah akan dikebumikan di kampung sebelah ibunya di Chenerai, Chetok.

Nenek mangsa, Zawiyah Sulong.

Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd