Now Reading
JPJ Umum Waktu Terhad Kenderaan Berat Masuk KL, Terutama Pada Waktu Puncak

JPJ Umum Waktu Terhad Kenderaan Berat Masuk KL, Terutama Pada Waktu Puncak

Kenderaan berat dilarang untuk memasuki jalan raya utama di bandar raya Kuala Lumpur bermula dari 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 malam setiap hari.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Umum sedia maklum, sejak kebelakangan ini trafik di jalanraya sekitar Kuala Lumpur dilihatkan begitu teruk. Perjalanan yang kebiasaannya hanya akan memakan masa 30 minit sebelum ini dilaporkan naik sehingga satu jam lebih.

Ramai di antara pengguna jalan raya yang mengeluh dengan keadaan ini.


JPJ Kuat Kuasa Waktu Terhad Kenderaan Berat Untuk Memasuki KL

Oleh yang demikian, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melarang semua pengendali syarikat atau pemandu kenderaan barangan melibatkan kenderaan berat dengan muatan (BDM) melebihi 7,500 kilogram.

Kenderaan ini dilarang memasuki jalan raya utama di bandar raya Kuala Lumpur bermula dari 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 malam setiap hari.

Malay Mail melaporkan hal ini berikutan pemantauan JPJ mendapati terdapat pergerakan kenderaan berat memasuki laluan waktu terhad ke pusat bandar raya pada waktu kemuncak iaitu sebelah pagi dan petang menyumbang kepada kesesakan lalu lintas serta menjejaskan kelancaran aliran trafik di Lembah Klang.

Jalan raya diwartakan sekatan sekurang-kurangnya lima kilometer dari pusat bandar, bermula dari pintu masuk pusat bandar dengan meletakkan satu papan tanda khusus di mana dicatat waktu yang tidak dibenarkan untuk kenderaan berat masuk.

Kenyataan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Antara yang diwartakan sekatan pada sebelah pagi dan petang untuk kenderaan barangan ialah semua jalan di:

  • Pusat Bandar Kuala Lumpur.
  • Jalan Kuching bermula dari Taman Wahyu di Jalan Ipoh hingga ke pusat bandar.
  • Jalan Genting Klang bermula dari Kolej TAR hingga ke pusat bandar.
  • Jalan Cheras bermula dari Taman Midah hingga ke pusat bandar.

Jalan raya yang diwartakan sekatan hanya pada sebelah petang pula antaranya ialah:

  • Jalan Kepong.
  • Jalan Ipoh bermula dari Bulatan Kepong hingga Jalan Batu Caves.
  • Lebuhraya Karak.
  • Jalan Gombak bermula dari Jalan Kampung Bandar Dalam hingga sempadan Kuala Lumpur.
  • Jalan Genting Klang.
  • Jalan Cheras bermula dari Jalan Pudu hingga Jalan Tenteram.

Jika Ingkar, Boleh Dikompaun

Larangan kenderaan barangan memasuki jalan raya utama di ibu kota sememangnya sudah lama dikuatkuasakan iaitu sejak Peralihan ke Fasa Endemik.

Namun, pemandu kenderaan berat dilihat telah mengabaikan peraturan tersebut dan berlaku pertambahan kenderaan yang ketara.

Jika terdapat pemandu atau pengendali syarikat yang ingkar, tindakan kompaun boleh dikenakan dengan tidak melebihi RM300 atau boleh didakwa di mahkamah yang mana denda yang boleh dikenakan tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM2,000.

Justeru itu, JPJ ingin menasihati pemandu dan pengendali syarikat pengangkutan kenderaan barangan untuk memastikan pematuhan sepenuhnya kepada Peraturan Larangan Waktu Terhad yang telah diwartakan bagi jalan-jalan tertentu.

Kenyataan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd