Now Reading
Lelaki Nekad Pecahkan Mesin ATM Di Kelantan Selama Dua Jam, Namun Gagal

Lelaki Nekad Pecahkan Mesin ATM Di Kelantan Selama Dua Jam, Namun Gagal

Pihak polis turut menjelaskan bahawa tiada pengawal keselamatan ditempatkan di bank berkenaan selepas waktu pejabat.

atm dipecah

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Hari ini (18 Mei) telah berlakunya kejadian di mana seorang lelaki nekad memecahkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di Tanah Merah, Kelantan pada awal pagi tadi dengan menggunakan mesin canai.

Namun, percubaannya itu telah gagal.

Menurut laporan Harian Metro, kejadian disedari oleh kakitangan bank terbabit pada jam 7.16 pagi tadi yang terkejut melihat satu daripada tiga mesin ATM rosak dengan terdapat kesan dicanai di bahagian bawah.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman menjelaskan bahawa menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kelihatan seorang lelaki berjalan dengan membawa sebuah kerusi plastik memasuki ruang menempatkan mesin ATM pada jam 1.59 pagi tadi.

Suspek memakai topi berwarna kelabu, berbaju T lengan panjang warna merah dan berseluar jeans biru serta mengenakan sarung tangan dan pelitup muka. Selepas masuk ke ruang mesin ATM, suspek bertindak menutup CCTV dengan menggunakan pita pelekat selain melekatkan kertas minyak pada pintu utama bagi mengelakkan perbuatannya dilihat.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman menerusi Harian Metro.

Wan Zulfikri berkata, berdasarkan semakan CCTV di luar bank, suspek didapati telah keluar daripada ruang mesin ATM pada jam 2.05 pagi dan masuk semula untuk mengambil barang sebelum beredar jam 3.15 pagi dengan menggalas beg.

Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati pintu penutup satu daripada mesin ATM dipotong disyaki dengan menggunakan mesin canai.

Malah, terdapat juga kesan potong pada pintu mesin ATM namun gagal dibuka memandangkan ia menggunakan sistem nombor kombinasi serta kunci.

Setakat ini pintu mesin ATM itu tidak dapat dibuka dan mengalami kerosakan bagaimanapun daripada semakan melalui sistem, didapati masih lagi terdapat baki wang sebanyak RM152,900.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman menerusi Harian Metro.

Pihak polis turut menjelaskan bahawa tiada pengawal keselamatan ditempatkan di bank berkenaan selepas waktu pejabat.

Tambahan pula, berdasarkan semakan dengan pihak bank mendapati pintu utama ke ruang mesin ATM tidak berfungsi sejak sebulan lalu kerana ia sepatutnya tertutup secara automatik pada jam 12 tengah malam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan (KK) dan pihak polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan agar menghubungi pihak kami bagi membantu siasatan.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd