Now Reading
Pembukaan Sempadan: Rakyat Singapura Ambil Peluang Bercuti Di Malaysia

Pembukaan Sempadan: Rakyat Singapura Ambil Peluang Bercuti Di Malaysia

Melihat video tular di media sosial, rata-rata turut meluahkan kesedihan dan keterujaan mereka apabila setelah sekian lama menanti, dapat juga mereka pulang untuk berjumpa keluarga di Malaysia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Pembukaan sempadan Singapura – Malaysia tidak dinafikan telah melahirkan keterujaan buat orang ramai.

Bermula pada jam 11 tengah malam tadi (31 Mac), ratusan penunggang motosikal telah mula berkumpul di check-point Tuas menunggu pihak kastam membuka sempadan untuk mereka memasuki Malaysia.

Sempadan di antara kedua-dua negara ini baru sahaja dibuka sepenuhnya tanpa kuota untuk kenderaan darat bermula hari ini (1 April 2022).

Media sosial hari ini juga dilihat telah dibanjiri dengan laporan diikuti video serta gambar menunjukkan ratusan rakyat Malaysia yang tidak sabar untuk pulang ke tanah air setelah sekian lama.

Malahan, ada yang dilihat sanggup berjalan kaki sepanjang 1.056km melintasi sempadan Singapura – Malaysia.

BACA LANJUT: “Ada Yang 2 Tahun Tak Balik” – Rakyat Bersorak Melepasi Sempadan Singapura Malam Tadi

Rakyat Singapura Ambil Peluang Bercuti Di Malaysia

Susulan berita pembukaan sempadan ini, ada juga segelintir rakyat Singapura yang dilihat tidak melepaskan peluang untuk memasuki Malaysia di atas tujuan bercuti.

Menurut laporan Sinar Harian, salah seorang warganegara republik tersebut, Rosnah Din, 62, berkata, dia dan keluarga sudah lama memendam hasrat untuk bercuti di Malaysia sejak pintu masuk antarabangsa ditutup dua tahun yang lalu.

Rosnah Din.
(Sumber: Sinar Harian)

Sebelum ini, kami dapat tengok gambar sahaja tempat pelancongan menarik di Malaysia seperti Pulau Redang, Terengganu, kini bolehlah pergi untuk gembirakan hati sendiri. Harap pembukaan sempadan ini berpanjangan dan berterusan, sebab pada peringkat awal ini kita tak tahu keadaannya sama ada positif atau negatif. Yang penting, kita sentiasa kena jaga diri.

Rosnah Din ketika ditemui Sinar Harian sebaik melintasi Tambak Johor.

Selain itu, Rosnah yang juga mempunyai saudara di Muar turut memberitahu peluang berkunjung kembali ke negara ini akan dimanfaatkan untuk bertemu semula dengan ahli keluarganya selepas dua tahun tidak bersua. Kali terakhir bertemu mereka semua adalah adalah ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 2019.

Apabila kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, ada tiga kematian ahli keluarga di Singapura yang adik beradik di sini tidak dapat hadir, memang kami merasa sedikit terkilan. Jadi apabila kami mendapat tahu ada ahli keluarga di Muar yang jatuh sakit, saya tak fikir panjang dan buat keputusan untuk melintasi sempadan Johor-Singapura pada malam ini.

Rosnah Din ketika ditemui Sinar Harian sebaik melintasi Tambak Johor.

Rosnah turut menyatakan hajat ingin menyambut awal Ramadan bersama-sama keluarga di Muar dan melepaskan rindu sebelum pulang kembali ke Singapura.

Tinggalkan Keluarga Sejak Mac 2020.

Selain itu, seorang lagi rakyat Singapura, M Murugan, 39, berkata dia sudah siap berkemas dan mẹmbuat persiapan untuk pulang ke Malaysia sejak seminggu lalu untuk pulang bertemu keluarganya yang tinggal di Johor Bahru.

Dia menjelaskan terpaksa meninggalkan isteri dan empat anaknya sejak penutupan sempadan pada Mac 2020 demi mencari rezeki di Singapura.

M Murugan.
(Sumber: Sinar Harian)

Apabila saya mendapat tahu pembukaan sempadan membabitkan kedua-dua negara, saya merasa sangat gembira kerana boleh bekerja seperti sedia kala dengan berulang alik ke Kota Singa ini. Saya akan gunakan peluang ini untuk meluangkan masa bersama anak-anak setelah mengambil cuti selama seminggu. Selepas itu, akan pulang semula ke Singapura.

M Murugan.

Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd