Now Reading
Dilantik Sebagai Menteri Besar Johor Ke-19, Siapakah Onn Hafiz Ghazi?

Dilantik Sebagai Menteri Besar Johor Ke-19, Siapakah Onn Hafiz Ghazi?

Datuk Onn Hafiz Ghazi adalah cicit kepada Datuk Seri Onn Jaafar dan anak saudara kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini dengan kemenangan yang berpihak kepada parti Barisan Nasional (BN), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Datuk Onn Hafiz Ghazi telah dilantik sebagai Menteri Besar Ke-19.

Berusia 43 tahun, Onn Hafiz telah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru semalam (15 Mac).

BACA JUGA: Onn Hafiz Angkat Sumpah Sebagai Menteri Besar Johor Ke-19

Sumber: Twitter UMNOKini

Jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Hasni Mohammad yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) di Johor.

Nama Onn Hafiz kini disebut-sebut oleh masyarakat selepas beliau pula akan mengambil alih pentadbiran Johor bagi menggantikan Hasni yang dilantik pada 28 Februari 2020.

Siapakah Onn Hafiz?

Sumber: Instagram Onn Hafiz

Dilahirkan di Simpang Renggam, Johor pada 2 Mac 1979, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mendapat pendidikan di Maktab Tentera Diraja (RMC) dan telah menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Perakauan di University of Hertfordshire, United Kingdom.

Beliau telah telah berkahwin dengan Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor dan dikurniakan empat orang cahaya mata.

Sebelum terlibat dalam dunia politik, Onn Hafiz pernah bekerja di Price Waterhouse Coopers (PWC) dari tahun 2001 sehingga 2008 dan juga menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif KMB Educational Service Sdn Bhd pada 2004 hingga 2012.

Beliau mula terlibat dalam dunia politik pada tahun 2006 ketika menjadi Pemuda dan Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Sembrong di Johor.

Banyak jawatan walaupun masih muda

Sumber: Twitter Onn Hafiz

Jawatan yang pernah disandang oleh Onn Hafiz ketika bergiat dalam dunia politik:

  • 2012 – 2018 : Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
  • 2013 – 2018 : Setiausaha Politik Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
  • 2018 – 2022 : ADUN Layang-layang
  • 2018 – kini : Naib Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam
  • 2022 – 2022 : Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor

Menerusi posting yang dimuat naik di laman Facebook, Sultan Ibrahim berkata bahawa Onn Hafiz turut terlibat secara aktif dalam pergerakan generasi muda.

Sumber: Twitter Onn Hafiz

Datang dari keluarga berpengaruh

Untuk pengetahuan semua, Onn Hafiz berasal daripada keluarga yang berpengaruh dari segi politik kerana beliau adalah cicit kepada ahli pengasas UMNO dan presiden pertama Datuk Seri Onn Jaafar.

Dalam pada masa sama, beliau juga adalah anak saudara kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Onn adalah keturunan dua bekas Menteri Besar iaitu Onn Jaafar dan Jaafar Muhammad.

Datuk Onn Hafiz Ghazi dijadualkan memasuki pejabat menteri besar di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, Johor bagi memulakan tugasnya secara rasmi hari ini.

Kami ingin mengucapkan tahniah buat Datuk Onn Hafiz Ghazi atas pelantikan sebagai Menteri Besar Johor Ke-19. Semoga Johor semakin berkembang maju di bawah pemerintahan yang baharu ini.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd