Now Reading
AirAsia Group Muncul Nama Baharu Iaitu ‘Capital A’

AirAsia Group Muncul Nama Baharu Iaitu ‘Capital A’

Pertukaran nama daripada AirAsia Group Berhad kepada Capital A Berhad tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas operasi syarikat.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


AirAsia Group Berhad hari ini mengumumkan pertukaran nama kumpulan syarikat kepada Capital A Berhad (Capital A atau Kumpulan).

Pertukaran nama tersebut mencerminkan strategi perniagaan teras baharu bagi Kumpulan tersebut sebagai sebuah syarikat pegangan pelaburan dengan portfolio perniagaan perjalanan dan gaya hidup, yang telah pantas mengubah jenama AirAsia menjadi lebih daripada sekadar sebuah syarikat penerbangan.

Kami bukan sekadar memperkenalkan logo baharu kerana hari ini merupakan satu peristiwa penting yang menandakan era baharu bagi Kumpulan kami. Pengumuman hari ini memperkukuh visi kami sebagai bukan hanya sebuah syarikat penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes.

Kenapa Capital A?

Tony dalam pada itu turut menjelaskan jenama AirAsia sememangnya sinonim dengan syarikat penerbangan ini, tetapi sudah lama dia berhasrat – sebelum Covid melanda, untuk memanfaatkan data yang telah dibina selama 20 tahun dan menggabungkan teknologi baharu dalam industri untuk menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan lebih luas, lebih daripada sekadar penerbangan.

Kini, jenama kami terus berkembang dan memacu inovasi serta memenuhi permintaan pengguna yang sentiasa berubah. Strategi di sebalik pertukaran nama ini adalah untuk memperkenalkan identiti korporat baharu yang mencerminkan perniagaan teras kami dengan lebih baik dan perniagaan masa hadapan sejajar dengan transformasi digital yang pesat daripada sebuah syarikat penerbangan kepada kumpulan perkhidmatan perjalanan digital dan gaya hidup sehenti. Kami percaya bahawa nama syarikat baharu ini juga akan meningkatkan lagi kebolehpasaran produk kami dan meningkatkan kejayaan Kumpulan kami untuk jangka masa panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes.

Mengulas lanjut, pada asasnya Capital A adalah sebuah syarikat pelaburan dengan portfolio perniagaan yang luas yang memberikan nilai terbaik pada kos terendah, disokong oleh data kukuh yang dibina selama dua dekad.

Capital A juga merupakan salah satu jenama terkemuka di Asia, selain mempunyai budaya mengutamakan pelanggan dan kakitangan serta terus komited untuk berkhidmat kepada semua golongan.

Kami kini menawarkan lebih banyak produk dan perkhidmatan di bawah satu Kumpulan dan tiada jenama lain di Asean seperti kami. Dengan akses kepada lebih 700 juta orang di rantau ini, saya percaya terdapat peluang pertumbuhan yang luar biasa untuk jenama kami merentasi pelbagai industri berbeza dalam semua pasaran teras kami.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes.

16 produk dan perkhidmatan di platform airasia Super App, menawarkan penerbangan dan keperluan gaya hidup seharian.

Daripada makanan kepada barangan runcit dan e-dagang, kepada perkhidmatan penghantaran pada hari yang sama, e-panggilan dan banyak lagi.

Mereka juga merupakan salah satu daripada tiga ejen pelancongan dalam talian (OTA) teratas di Asean dan aplikasi mereka berada di landasan tepat untuk menjadi aplikasi gaya hidup terkemuka di rantau ini tidak lama lagi.

Tony turut berkata semua perniagaan portfolio mereka dijangka akan menjadi peneraju industri dalam bidang masing-masing di seluruh Asia Tenggara, termasuk BigPay, bahagian kejuruteraan pesawat iaitu Asia Digital Engineering (ADE) dan usaha logistik iaitu Teleport.

Kami mempunyai lebih 50 juta pelawat unik bulanan di airasia Super App yang telah diiktiraf sebagai sebuah syarikat unikorn teknologi dalam masa kurang daripada dua tahun. Perniagaan  teknologi kewangan kami iaitu BigPay pula telah diberi dana sebanyak AS$100 juta daripada konglomerat Korea Selatan, SK Group dan secara keseluruhannya, kami telah mengumpul lebih RM2.5 bilion setakat ini melalui strategi pengumpulan dana kami. Berikutan sokongan pengguna dan pelabur yang kukuh untuk strategi transformasi kami, kami kini meletakkan sasaran pada inisiatif penjanaan modal selanjutnya untuk airasia Super App, Teleport dan ADE yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes.

Syarikat Penerbangan Kekal AirAsia.

(Kredit: AirAsia)

Walaupun Capital A akan menjadi nama Kumpulan baharu, satu perkara yang tidak berubah ialah nama jenama AirAsia untuk syarikat penerbangan.

Ia adalah salah satu jenama terkuat di Asia dan menyediakan platform kukuh untuk semua produk dan perkhidmatan yang saling bergantung antara satu sama lain.

Walaupun dua tahun kebelakangan ini merupakan tahun yang paling sukar dalam sejarah penerbangan komersial, saya yakin pemulihan akan bermula pada tahun ini. Perjalanan udara domestik sudah mula pulih dalam pasaran utama kami. Walaupun mungkin terdapat beberapa kelewatan untuk penerbangan antarabangsa kembali ke tahap pra-Covid disebabkan oleh varian Omicron, saya percaya ini adalah cabaran jangka pendek kerana ramai pakar kesihatan global turut meramalkan, di samping vaksin yang dipercepatkan dan suntikan penggalak, dunia secara beransur-ansur belajar untuk hidup dengan pandemik Covid. Saya berharap sempadan akan dibuka semula secara beransur-ansur sepanjang 2022 dan kita akan melihat kapasiti kembali seperti biasa untuk perkhidmatan antarabangsa pada pertengahan hingga suku ketiga tahun ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes.

Tony dalam pada itu turut menambah menjelang tahun 2026, Capital A menyasarkan untuk mencapai antara lain:

  • Syarikat penerbangan menghubungkan lebih 1 bilion orang di Asean. 
  • Syarikat kejuruteraan (ADE) menjadi peneraju industri untuk perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Asia Tenggara.
  • airasia Super App menjadi aplikasi super pilihan di Asean.
  • BigPay mempunyai 10 juta pengguna aktif bulanan.
  • Teleport mempunyai 10% bahagian pasaran di Asia Tenggara dalam industri logistik dan e-dagang.
  • AirAsia Academy mempunyai 5 juta pendaftaran di bawah platform teknologi pendidikannya.
  • airasia grocer mencapai lebih 21 juta pesanan bulanan.

Nama Kumpulan baharu, Capital A, berkuat kuasa serta-merta berikutan kejayaan pendaftaran nama tersebut di Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang diumumkan pada 3 Januari dan kelulusan rasmi telah diterima semalam.

Pertukaran nama daripada AirAsia Group Berhad kepada Capital A Berhad tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas operasi syarikat.

Nama saham AirAsia di Papan utama Bursa Malaysia Securities Berhad akan ditukar berkuat kuasa serta-merta untuk mencerminkan nama syarikat baharu itu.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd