Now Reading
Kanak-kanak 5 Tahun Maut Jatuh Dari Tingkat 16, Ibu Saudara Kini Ditahan

Kanak-kanak 5 Tahun Maut Jatuh Dari Tingkat 16, Ibu Saudara Kini Ditahan

Pihak polis kini telah menahan ibu saudara kepada kanak-kanak lelaki tersebut untuk tujuan membantu siasatan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini bagi tujuan permohonan reman.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!


Satu tragedi telah berlaku kira-kira jam 10:30 pagi semalam (17 November) di sebuah kondominium di Batu Caves, Gombak melibatkan seorang kanak-kanak berusia lima tahun.

Kanak-kanak tersebut dilaporkan maut setelah terjatuh dari tingkat 16 belas kondominium itu.

Memetik laporan, ketika kejadian ibu mangsa yang juga seorang ibu tunggal dikatakan tiada di rumah kerana keluar atas satu urusan dan mangsa ditinggalkan bersama adik lelaki yang berusia empat tahun bersama ibu saudara berusia 36 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai bermain dan memanjat sebuah katil di tepi tingkap.

Ketika kejadian, mangsa dalam jagaan ibu saudaranya. Kita percaya mangsa terjatuh daripada tingkap kediaman mereka. Siasatan mendapati tingkap berkenaan tidak dipasang jeriji, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan oleh polis daerah Gombak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana ada kaitan dengan kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Kredit: Berita Harian

Kejadian kedua dalam tempoh dua hari berturut-turut

Laporan juga mengatakan bahawa ini adalah kejadian kedua berlaku membabitkan kanak-kanak jatuh dari kondominium di Lembah Klang, dalam tempoh dua hari berturut-turut.

Semalam (16 November), seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh.

Mayat mangsa ditemui seorang kakitangan pengurusan di kawasan koridor di tingkat lapan kondominium itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai menjelaskan bapa mangsa yang berusia 35 tahun keluar untuk membeli barang dan mangsa ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan dalam keadaan pintu rumah berkunci.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Ibu saudara ditahan

Pihak polis kini telah menahan ibu saudara kepada kanak-kanak lelaki tersebut bagi tujuan membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dengan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (5b) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu dengan cuai menyebabkan kematian kepada kanak-kanak.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang bagi tujuan permohonan reman, hari ini.

Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Nizar Adnan di talian 03-61262222/013-9961892.


Kongsikan cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPBM: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd