Now Reading
Warga Emas 80 Tahun Dipenjara 10 Tahun Gara-gara Miliki Dadah

Warga Emas 80 Tahun Dipenjara 10 Tahun Gara-gara Miliki Dadah

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!


Seorang individu warga emas yang berusia 80 tahun dihukum penjara 10 tahun di Mahkamah Sesyen Tawau, Sabah hari ini (29 Oktober) di atas kesalahan memiliki 30.75 gram Methamphetamine tahun lalu.

Memetik laporan, Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membuat keputusan selepas tertuduh, Hashim Sahipa, 80, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, dia bersama isterinya Roaina Ali, 70, didakwa memiliki dadah berkenaan di sebuah rumah atas air tidak bernombor di Kampung Batu, Semporna, jam 4 petang, 17 Disember 2020.

Dalam pendakwaan tersebut, Hashim mengaku memiliki dadah berkenaan.

Manakala Roaina mengaku tidak bersalah.

Hashim membuat pengakuan kepada mahkamah bahawa dadah itu miliknya dan tidak ada kaitan dengan isterinya.

Oleh yang demikian, Roaina dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Hakim.

Roaina seterusnya akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen atas kesalahan tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Sehubungan itu, pasangan warga Filipina itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kredit: Medical News Today

Mahkamah pertimbang tidak mengenakan hukuman sebatan

Sebelum ini, pasangan ini didakwa mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan selepas pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menemui 57.04 gram hablur putih dipercayai Methamphetamine dalam serbuan di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, pendakwaan menukar pertuduhan mengikut Seksyen 39A(2) selepas laporan kimia mendapati berat sebenar Methamphetamine yang dirampas adalah 30.75 gram.

Awang Kerisnada dalam penghakimannya menjelaskan tanpa mengira usia tua atau muda, perbuatan tertuduh memiliki dan mengedar dadah adalah salah dan hukuman sewajarnya dijatuhkan ke atas tertuduh sebagai pangajaran kepada semua pihak termasuk dia sendiri.

Walau bagaimanapun, mahkamah mempertimbangkan tidak mengenakan hukuman sebatan mengambil kira faktor usia dan kesihatan tertuduh.

Menurut laporan, pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Moh Suahimi Suriana manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Kongsikan cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPBM: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd