Now Reading
4 Hari Tiada Air Mulai 13 Oktober (Esok), Warga Lembah Klang Cepat-Cepat Sediakan Baldi!

4 Hari Tiada Air Mulai 13 Oktober (Esok), Warga Lembah Klang Cepat-Cepat Sediakan Baldi!

Air Selangor mengingatkan pengguna yang terjejas untuk menyediakan bekalan air secukupnya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!


Penduduk di 998 kawasan sekitar Lembah Klang diingatkan sekali lagi untuk bersiap sedia menghadapi gangguan bekalan air selama empat hari bermula esok.

Gangguan bekalan air akan bermula dari jam 9 pagi dan akan menjejaskan kawasan sekitar Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Senarai kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual boleh dilihat di hentitugas.airselangor.com.

Banyak kawasan yang akan terjejas. Untuk lihat peta penuh, boleh rujuk di hentitugas.airselangor.com.
Kredit: Air Selangor

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sebelum ini telah memaklumkan kepada orang awam bahawa gangguan bekalan air ini disebabkan oleh kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset kritikal.

Sebagai sebahagian daripada kerja yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional (SPAN), Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) akan ditutup buat sementara waktu.

Gangguan bekalan air ini dijangka pulih sepenuhnya jam 9 malam pada 16 Oktober.

Menurut Air Selangor lagi, kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan bagi meningkatkan sistem bekalan air untuk kemudahan pengguna di masa hadapan telah tertangguh dari jadual asal pada tahun 2019 dan 2020.

Penangguhan tersebut disebabkan oleh insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air berskala besar.

Air Selangor mengingatkan pengguna yang terjejas untuk menyediakan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah semasa tempoh gangguan bekalan air berjadual.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat mengenai gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa melalui saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti Facebook, Instagram, dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh dihantar melalui Help Centre di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.


Kongsikan cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPBM: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd