Now Reading
PART 1: Senarai Bantuan Pelan Pemulihan Negara Untuk Rakyat Malaysia

PART 1: Senarai Bantuan Pelan Pemulihan Negara Untuk Rakyat Malaysia

Nilai keseluruhan pakej PEMULIH berjumlah RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal Kerajaan sebanyak RM10 bilion.

Siti Murni

Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!


Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin pada 28 Jun telah mengumumkan Pakej Perlindungan dan Pemulihan Ekonomi Rakyat (PEMULIH) bernilai RM150 bilion susulan Malaysia yang masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan: Fasa 1 Pelan Pemulihan Nasional.

BACA SINI: SOP Adjustments For Phase 1, 2, 3, 4 Of The National Recovery Plan

Nilai keseluruhan pakej PEMULIH berjumlah RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal Kerajaan sebanyak RM10 bilion.

PEMULIH bertujuan untuk memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.


FOKUS PERTAMA: MENERUSKAN AGENDA PRIHATIN RAKYAT

Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR.

Semasa pengumuman PEMERKASA Tambahan yang lepas, Kerajaan bersetuju untuk memberi bayaran tambahan bagi BPR sehingga RM500 pada bulan Julai dan bayarannya akan dibuat secara berperingkat mulai hari ini, 29 Jun.

BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara RM 100 hingga RM 1,400 akan dibayar pada bulan September nanti. Bulan September juga akan melibatkan bayaran ke atas kes- kes lulus rayuan BPR.

Secara keseluruhannya, nilai BPR sehingga hujung tahun adalah RM 4.9 bilion.

Bantuan Khas Covid-19 (BKC)

Isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak RM 500 pada bulan Ogos, RM 500 pada bulan November, dan RM 300 pada bulan Disember. Manakala individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM 200 pada bulan Ogos dan RM 300 pada bulan November.

Isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM 500 pada bulan Ogos dan RM 300 pada bulan Disember. Manakala bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM 200 pada bulan Ogos.

Isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak RM 250, manakala bujang kategori M40 akan menerima RM 100 pada bulan Ogos nanti.

Bantuan Kehilangan Pendapatan

Pada bulan Oktober nanti, sebanyak 500 ringgit akan disalurkan kepada pekerja yang kehilangan pendapatan berdasarkan data KWSP atau PERKESO dalam tahun 2021.

Kerajaan juga akan memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum PERKESO terutamanya graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal. Mereka bolehlah mendaftar di bawah platform MYFutureJobs dan bakal menerima elaun sekurang-kurangnya RM 300.

Kerajaan akan memperuntukkan RM 125 juta melalui HRD Corp untuk melaksanakan inisiatif Place and Train di bawah program Janapreneur terutamanya kepada belia lepasan sekolah dan graduan.

Inisiatif ini dijangka membuka peluang kepada 30 ribu orang untuk mengikuti program latihan kemahiran dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan.

Pihak MDEC pula akan menambah baik program sedia ada iaitu eRezeki dan GLOW bagi membantu lebih 20 ribu pencari pekerja dalam ekonomi gig.

Bantuan Bakul Makanan

Kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM 300,000 kepada setiap ahli Parlimen, termasuk Ahli Parlimen Pembangkang, untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

Selain itu, RM 10 juta juga diperuntukkan bagi tujuan melaksanakan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.

Harga Minyak Kekal

Kerajaan akan terus mengekalkan harga runcit bagi petrol RON95, diesel dan LPG.

Seterusnya, untuk menangani isu kenaikan harga minyak masak botol 1 kilogram hingga 5 kilogram, Kerajaan akan melaksanakan program Harga Kawalan berasaskan nilai ambang Crude Palm Oil.

Dalam memastikan bekalan minyak masak pek polibeg 1 kilogram terjamin, kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak satu bilion ringgit. Melalui tambahan peruntukan ini, rakyat masih dapat membeli minyak masak pek polibeg 1 kilogram pada harga bersubsidi RM2.50.

Sokongan Psikososial

Kerajaan akan memperluaskan sokongan psikososial melalui saluran seperti talian kasih.

Sebagai tambahan, kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan RM 15 juta kepada badan-badan bukan Kerajaan atau NGO dalam membantu Kerajaan menangani isu-isu sosial seperti kesihatan mental, gelandangan, dan masalah sosial lain di peringkat komuniti.

Diskaun Bil Elektrik

Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bil elektrik antara 5 – 40% mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 900 kilowatt jam sebulan.

Antaranya, diskaun sebanyak 40% akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt jam sebulan dan 15% bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt jam sebulan.

Secara keseluruhan, rakyat akan mendapat diskaun berjumlah 346 juta ringgit dan diskaun ini akan berkuat kuasa bagi tempoh tiga bulan mulai bil bulan Julai 2021.

Selain itu, bagi sektor-sektor ekonomi yang terjejas khususnya pengendali hotel, taman-taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan, dilanjutkan tiga bulan lagi diskaun bil elektrik sebanyak 10% bagi bil bulan Oktober hingga Disember 2021.

Internet Percuma

Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara telah bersetuju untuk melanjutkan pemberian 1 gigabit data harian secara percuma sehingga 31 Disember 2021.

Perkhidmatan Bank Bergerak

Perkhidmatan bank bergerak telah dilancarkan pada bulan ini di Sarawak dan Bank Simpanan Nasional akan memulakan kemudahan tersebut di Sabah pada bulan Julai.

Bagi memudahkan lebih ramai rakyat mendapatkan perkhidmatan perbankan, Kerajaan akan menawarkan peruntukan sebanyak 18 juta ringgit untuk bank tempatan menyediakan kira-kira 30 unit Bank Bergerak di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, yang bakal merangkumi 250 kawasan dan mukim di luar bandar.

Melalui inisiatif ini, saudara dan saudari boleh mengakses pelbagai perkhidmatan perbankan termasuk pembukaan akaun; penyimpanan, pengeluaran dan pemindahan wang; pembayaran bil serta perbankan digital.


Anda boleh mendapatkan teks ucapan penuh di sini.

BACA JUGA: PEMULIH Recovery Plan: Part 2 – For The Economy

BACA JUGA: PEMULIH Recovery Plan: Part 3 – To Achieve Herd Immunity


Kongsikan cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPBM: FacebookTwitter, and Instagram.

View Comments (0)

Leave a Reply

Your email address will not be published.

12 − 10 =

© 2021 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd