Now Reading
[Video] Ini Langkah Mudah Untuk Hilangkan Sedu Pada Bayi

[Video] Ini Langkah Mudah Untuk Hilangkan Sedu Pada Bayi

Menurut Pakar Paediatrik, Dr Tengku Puteri Zainab Tengku AB Malek, sedu atau hiccup merupakan perkara normal yang sering berlaku kepada bayi.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Buat mereka yang bergelar ibu bapa, setiap hari ada sahaja perkara baharu yang dilalui bersama anak tersayang.

Kadangkala, benda yang biasa bagi orang lain mungkin baharu bagi segelintir individu.

Antara kejadian yang sering berlaku dan boleh membuat sesetengah ibu bapa buntu adalah apabila bayi tiba-tiba tersedu.

Walaupun nampak biasa, adakalanya ia boleh membuat segelintir ibu bapa risau lebih-lebih lagi jika si manja dilihat tersedu secara berterusan.

Apa Punca Bayi Tersedu? Bagaimana Ia Terjadi?

Menurut Pakar Paediatrik, Dr Tengku Puteri Zainab Tengku AB Malek, sedu atau hiccup merupakan perkara normal yang sering berlaku kepada cahaya mata yang baru lahir.

Malah jelasnya, bayi sememangnya tersedu sejak dari dalam kandungan lagi.

Terang Dr Tengku Puteri dalam satu video di TikTok miliknya, sedu boleh terjadi kepada bayi apabila si comel itu minum susu dalam keadaan terlalu laju dan ditelan sekali dengan angin.

“Atau contohnya kalau dia minum susu terlalu banyak dan menyebabkan perut itu mengembang dan memberi iritasi kepada diafragma iaitu satu otot yang terletak dipangkal paru-paru yang memainkan peranan penting dalam pernafasan,” terangnya.

Jelas Dr Tengku Puteri lagi, keadaan ini menyebabkan pita suara bayi tertutup rapat sekaligus menyebabkan bunyi sedu keluar dengan sendiri.

Cara Elakkan Bayi Daripada Tersedu

Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana cara untuk elakkan si comel daripada tersedu.

Menurut Dr Tengku Puteri, sedu bayi akan berhenti dengan sendirinya dalam tempoh beberapa minit.

Pun begitu, dia ada berkongsikan cara yang boleh dibuat oleh ibu bapa untuk elak bayi dari tersedu.

Cara tersebut adalah:

#1 Kerap Sendawakan Bayi

Kongsinya yang juga merupakan seorang konsultan laktasi, ibu bapa boleh sendawakan bayi dengan lebih kerap untuk elakkan daripada bayi terus tersedu.

“Contohnya selepas minum 1oz atau 2oz ataupun selepas menukar payudara ke payudara yang lain (semasa penyusuan),” katanya.

#2 Susukan Bayi Guna Teknik Paced Feeding

Cara yang kedua adalah dengan menyusukan bayi menggunakan teknik Paced Feeding iaitu dengan menegakkan bayi ketika menyusu.

Langkah ini membolehkan bayi untuk tidak minum susu secara laju sekaligus mengelakkan daripada overfeeding.

#3 Gunakan Puting Palsu (Pacifier)

Selain dua cara di atas, cara lain untuk menghilangkan sedu bayi dengan mudah adalah menggunakan puting palsu (pacifier).

Memetik laman Hello Doktor, kaedah ini boleh digunakan sekiranya si comel anda tersedu dalam keadaan terlalu teruk.

Kaedah sebegini akan membantu diafragma bayi untuk relaks dan merangsang perut serta usus mereka sekaligus dapat melegakan sedu tersebut.

#4 Urut Belakang Badan Bayi

Kaedah lain adalah dengan membuat urutan belakang si comel secara perlahan-lahan.

Caranya adalah dengan mengangkat si manja dan meletakkannya pada bahu sebelum mengurut bahagian belakang badan mereka.

Bukan hanya sekadar sedu, teknik ini membantu bayi untuk mengeluarkan angin dalam badan, melegakan pernafasan serta memulihkan urat si kecil akibat angin.

#5 Ubah Bayi Kepada Kedudukan Lebih Selesa

Cara lain adalah dengan mengubah kedudukan bayi kepada kedudukan yang lebih selesa.

Memetik laman Hello Doktor, adalah baik untuk membaringkan bayi tersedu dalam posisi tidur menelentang.

Namun, teknik ini mungkin akan menyebabkan bayi terjeluak atau muntah jika sedu tersebut berpunca akibat refluks gastroesophageal (GER) iaitu satu keadaan di mana bayi memuntahkan semula susu yang diminum yang berpunca akibat asid refluks dalam perut bayi.

Jadi laman itu menyarankan kedudukan lain yang sesuai adalah memastikan bayi dalam keadaan tegak.

Mudah sahajakan? Jika petua orang lama seperti letak tisu pada dahi tidak berhasil, ibu bapa boleh sahaja melakukan teknik yang tersenarai untuk hilangkan sedu bayi.

@drtengkuputri

Replying to @Ratna Apa nak buat bila baby tersedu? Mudahan jawapan ini membantu 🥰 @drtengkuputri #kesihatanbayi #hiccupbaby #bayisedu #pakarkanakkanak #klinikpakarkanakkanak

♬ original sound – Dr Tengku Putri | Paeds – Dr Tengku Putri | Paeds

Tonton video penuh [DI SINI]

Baca Artikel Berkaitan: Jangan Ambil Mudah! Rawat Sendiri Kuning Bayi Guna Lampu Biru Online Berisiko Kepada Bayi

Baca Artikel Berkaitan: Ini Aktiviti Menarik Yang Boleh Dilakukan Ibu Ayah Dengan Anak Usia 1 Tahun


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm FacebookTwitterThreads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd