Ini Antara Kebaikan & Keburukan Untuk Anda Yang Suka Gigit Ketulan Ais
Ais boleh memberikan sensasi dan rasa segar selain mengelakkan berlakunya dehidrasi lebih-lebih lagi selepas melakukan aktiviti fizikal ketika cuaca panas.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Siapa sahaja yang tidak suka dengan minuman yang berais? Menikmati minuman sejuk lebih-lebih lagi ketika cuaca panas sememangnya amat menyegarkan.
Bagi sesetengah orang, ais bukan hanya sekadar pelengkap minuman namun ia dianggap snek yang wajib dikunyah pada setiap hari.
Kadangkala, perbuatan sebegini sememangnya amat sukar untuk ditinggalkan. Pantang nampak ais, terus capai dan kunyah tanpa perlu fikir panjang.
Namun pernah tak anda terfikir kesan tabiat suka mengunyah ais? Tak salahpun nak gigit ais tapi ia boleh memberi risiko jika dilakukan tanpa kawalan.
Boleh Beri Kesan Baik Jika Gigit Ais Batu Secara Sederhana
Menurut Pensyarah Klinikal dan Pakar Bedah Am Universiti Malaysia Sabah, Dr Muhamad Hud Muhamad Zin, perbuatan menghisap atau mengigit ais boleh memberi kebaikan jika diambil dengan terkawal dan jumlah yang sederhana.
Antara kebaikan menggigit ais adalah:
#1. Bantu Kekalkan Hidrasi
Menghisap atau mengunyah ais batu membantu mengekalkan hidrasi dalam badan.
Ais boleh memberikan sensasi dan rasa segar selain mengelakkan berlakunya dehidrasi lebih-lebih lagi selepas melakukan aktiviti fizikal ketika cuaca panas.

#2. Beri Kelegaan Jika Alami Sakit Mulut Atau Gusi
Selain itu, ais boleh memberi kelegaan jika individu mengalami sakit mulut atau keradangan gusi.
Rasa sejuk daripada ais dapat mengurangkan bengkak serta kesakitan buat sementara waktu.
Malah jelas Dr Muhamad Hud, ada kajian menunjukkan makan ais boleh membantu mereka yang sedang menjalani rawatan kanser khususnya mengurangkan risiko oral mukositis.
Oral mukositis merupakan satu keadaan di mana keadaan mukosa mulut mengalami keradangan dan ulser akibat kesan rawatan kanser itu.

#3. Kurangkan Rasa Dahaga Pesakit Buah Pinggang
Buat individu yang mengalami masalah kegagalan buah pinggang peringkat akhir, tindakan menghisap ais beberapa kali sehari dapat menghilangkan rasa dahaga tanpa perlu mengambil terlalu banyak cecair.
Ia juga membantu mengawal keseimbangan cecair dalam badan apatah lagi pada peringkat ini pesakit mempunyai had maksimum pengambilan cecair yang perlu dipatuhi.

Ini Pula Kesan Buruk Jika Terlampau Suka Hisap & Kunyah Ais
Menghisap atau mengunyah ais memang ada kebaikannya. Namun, jika diambil secara tidak terkawal atau berlebihan, ia berisiko dan boleh mendatangkan kemudaratan.
Menurut Dr Muhamad Hud, antara keburukan menghisap atau menggigit ais adalah:
#1. Beri Masalah Pada Gigi
Habit mengunyah atau mengigit ais secara melampau boleh menyebabkan hakisan enamel gigi sekaligus menjadikan gigi lemah dan mudah rosak.
Jika tabiat itu dilakukan dengan kerap, gigi anda boleh mengalami keretakan atau patah.
Malah, Public Health Malaysia (PHM) dalam satu hantaran turut menjelaskan, tindakan mengunyah ais boleh merosakkan tampalan, mahkota (crown), dan kerja pergigian lain.
Malah, tekanan berlebihan akibat perbuatan mengunyah ais boleh menyebabkan masalah pada sendi rahang.
#2. Sebabkan Gangguan Kepada Sistem Penghadaman
Jelasnya, makan ais dalam jumlah yang banyak boleh memberi rasa tidak selesa kepada perut.
Ais yang terlalu sejuk boleh menyebabkan otot perut mengecut secara tiba-tiba yang berisiko mengakibatkan kekejangan perut.
Pengambilan ais secara berlebihan juga boleh menyebabkan perut kembung dan angin.
Malah, ia boleh mengganggu sistem pencernaan dan penghadaman jika diambil untuk tempoh masa panjang.
#3. Berisiko Hadapi Anemia
Terang Dr Muhammad Hud lagi, ada satu keadaan yang dikenali sebagai Pagophagia iaitu keinginan kompulsif untuk makan ais dalam jangka masa panjang.
Memetik Hello Doktor, bahasa mudahnya adalah merujuk kepada seseorang yang sentiasa inginkan ais.
Kebiasaannya, Pagophagia sering dikaitkan dengan masalah anemia iaitu kekurangan zat besi yang membuatkan seseorang berasa letih dan lesu akibat kekurangan oksigen dalam badan.
Jelas beliau, ada kajian yang menunjukkan makan ais boleh merangsang aliran darah ke otak dan menjadikan mereka lebih peka.
Namun, ia hanyalah penyelesaian sementara yang boleh menyebabkan pesakit anemia lambat menerima rawatan sepatutnya.

Jadi, tiada salahnya jika anda hisap atau gigit ais batu kerana tabiat sebegitu ada manfaatnya kepada diri.
Namun, anda harus mengawal perbuatan tersebut dan tidak melakukannya secara berlebihan.
Baca Artikel Berkaitan: Jangan Guna Ubat Gigi & Minyak Gamat! Doktor Kongsi Rawatan Awal Jika Anak Terkena Air Panas [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Betul Ke Gigi Ibu Rosak Jika Mengandung Atau Susukan Bayi? Ini Penjelasan Doktor [Video]
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.