Kes Pemandu Mabuk: Isteri Mangsa Mahu Fail Saman RM1 Juta
Dalam pada itu, tertuduh, R Saktygaanapathy yang juga pemandu kereta Honda City didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh Amirul Hafiz Omar di Jalan Raya Barat, Klang pada 29 Mac lalu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sehingga ke hari ini, kemalangan tragis tiga buah kenderaan pada Ahad (29 Mac) lalu di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor masih hangat lagi diperkatakan sehingga kini.
Manakan tidak, seorang penunggang motosikal meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati apabila dia dirempuh oleh sebuah kereta jenis Honda City.
Impak rempuhan tersebut menyebabkan mangsa, Amirul Hafiz Omar melambung sebelum jatuh ke atas sebuah kereta Perodua Myvi.
Allahyarham yang berusia 33 tahun maut di tempat kejadian manakala pemandu Honda City berkenaan telah ditahan reman selama empat hari dari 30 Mac sehinggaa 2 April.
Isteri Mangsa Mahu Fail Saman, Tuntut Keadilan Buat Keluarga
Terbaharu, isteri mangsa penunggang motosikal berkenaan, Nor Nadia Abdul Majid mahu memfail saman sebanyak RM1 juta terhadap tertuduh, R Saktygaanapathy yang didakwa membunuh suaminya.
Walau bagaimanapun, peguam yang mewakili Nadia, Mohd Faizi Che Abu menjelaskan jumlah sebenar saman sivil berkenaan masih belum dimuktamadkan kerana pengiraan akan dibuat berdasarkan beberapa faktor.
“Di sisi undang-undang, kita tak boleh tuntut pampasan berdasarkan emosi kerana ada pengiraan yang akan diambil kira antaranya gaji dan tanggungan keluarga mangsa.
“Saya akan berbincang dengan anak guam, tetapi jumlah itu perlu dibuat berdasarkan prinsip undang-undang serta ketetapan kes-kes terdahulu,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Tertuduh Didakwa Mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
Sementara itu, dalam prosiding yang berlangsung hari ini (1 April) di Mahkamah Majistret Klang, tertuduh yang berusia 28 tahun mengangguk tanda faham selepas dia didakwa membunuh Amirul Hafiz Omar di Jalan Raya Barat, Klang pada 29 Mac lalu jam 11.47 pagi.
Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret A. Karthiyayini memandangkan ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia yang merupakan seorang juruteknik didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Jika tidak dijatuhi hukuman gantung, dia juga boleh berdepan dengan hukuman sebatan tidak kurang 12 kali.
Mengaku Salah Ambil Dadah
Pada masa yang sama, Saktygaanapathy turut mengaku bersalah di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang atas pertuduhan memberikan dirinya dadah yang disyaki jenis Benzo dan Tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.
Terang Mohd Faizi yang juga berperanan sebagai peguam pemerhati, mahkamah telah memberi kebenaran kepada mereka untuk turut sama dalam prosiding terbabit.
Ia sekali gus memberikan peluang untuk mendapat fakta yang tepat daripada mahkamah sebelum saman mahupun tindakan susulan oleh pihak insurans dibuat.
Kongsi Mohd Faizi lagi, tertuduh tidak diwakili peguam namun ada kemungkinan ahli keluarga mahupun mahkamah melantik wakil bagi sebutan kes akan datang.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Pemandu Mabuk: Arwah Pernah Berjenaka Nak ‘Masuk’ TV, Ibu Mangsa Reda Pemergian Anak
Baca Artikel Berkaitan: Kes Pemandu Mabuk Sebabkan Kematian: Pembangkang Desak Kerajaan Kaji Hukuman Mati
Baca Artikel Berkaitan: Hukuman Penjara Sahaja Tak Cukup, Ustaz Wadi Gesa Kerajaan Perkasa Undang-undang Susulan Kes Pemandu Mabuk
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



