Now Reading
[Video] Tular Isi Petrol RON95 Dalam Tong: MOF Sekat MyKad Individu

[Video] Tular Isi Petrol RON95 Dalam Tong: MOF Sekat MyKad Individu

Dalam pada itu, Pengarah KPDN Johor menjelaskan, pihaknya akan mengesan dan memanggil pemilik kenderaan tular yang mengisi petrol RON95 ke dalam tong di but kereta bagi tujuan siasatan lanjut.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Baru-baru ini, tular di media sosial tindakan dua orang individu yang dilihat sedang mengisi petrol pada sebuah kereta bernombor pendaftaran negeri Johor.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada 21 Mac lalu di sebuah stesen minyak yang terletak di Mutiara Rini Skudai, Johor, individu terbabit dilihat mengisi petrol RON95 pada sebuah tong yang berada di but sebelum mengisi tangki kereta itu sendiri.

Difahamkan, dia mengisi petrol bersubsidi itu melebihi 71 liter dengan bayaran melebihi RM230 berdasarkan pada paparan yang tertera di pam minyak berkenaan.

Tindakannya itu nyata menarik perhatian hingga ramai yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan segera ekoran perbuatannya itu.

MOF Akan Sekat MyKad Individu, Salah Guna Subsidi

Terbaharu, Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan menjelaskan pihaknya memandang serius isu berkenaan.

Jelas mereka, hasil siasatan awal mendapati individu terbabit merupakan warganegara Malaysia dan pemegang MyKad.

Malah, tindakannya itu dilihat melanggar peraturan kerana menyalah guna subsidi bahan api BUDI95 yang sedang dinikmati olehnya.

“Perbuatan ini melanggar peraturan kerana menyalahgunakan subsidi bahan api di bawah Program BUDI95, dan berpotensi menjejaskan usaha kerajaan dalam memastikan pengurusan subsidi yang telus, bersasar dan berkesan.

“Susulan insiden itu, Kementerian Kewangan akan mengambil tindakan menyekat kad pengenalan yang digunakan dalam transaksi tersebut serta pemilik kenderaan daripada terus menikmati subsidi BUDI95,” katanya.

Tegas MOF lagi, kerajaan tidak akan bertoleransi dengan sebarang ketirisan mahupun penyalahgunaan subsidi apatah lagi dalam keadaan situasi semasa yang memerlukan kawalan rapi terhadap bekalan serta harga bahan api terbabit.

Malah, mereka akan meningkatkan penguatkuasaan bagi membendung aktiviti tidak bermoral ini.

⚠️ Kerajaan memandang serius penyalahgunaan subsidi bahan api susulan video yang tular di media sosial. ❗️Kerajaan…

Posted by Kementerian Kewangan on Monday 23 March 2026

KPDN Kesan & Akan Panggil Pemilik Kenderaan

Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor akan mengesan dan memanggil pemilik kenderaan tular terbabit bagi tujuan siasatan lanjut.

Menurut Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, pihaknya telah mengambil tindakan dengan membuat pemeriksaan di stesen minyak berkenaan.

“Kita mengambil maklum berhubung satu hantaran media sosial yang tular membabitkan sebuah kenderaan yang dipercayai mengisi petrol RON95 menggunakan tong plastik dalam kuantiti yang banyak.

“KPDN Johor juga akan mengambil tindakan susulan dengan mengesan serta memanggil pemilik kenderaan bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Individu Buat Dua Transaksi, Salah Satunya Melebihi Had Yang Dibenarkan

Jelas Lilis Saslinda lagi, hasil pemeriksaan mendapati pemilik kenderaan berkenaan telah melakukan dua transaksi iaitu pengisian ke dalam tangki kenderaan dan ke dalam tong plastik yang diletakkan pada but kereta.

“Pemeriksaan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sudah dibuat serta penelitian terhadap rekod transaksi dan resit pembelian bagi tujuan pengesahan.

“Hasil semakan awal mendapati terdapat dua transaksi pengisian petrol RON95, iaitu satu pengisian ke dalam tangki kenderaan manakala satu lagi diisi ke dalam tong plastik di bahagian but kenderaan dengan kuantiti yang melebihi had yang dibenarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia.

“Dalam pemeriksaan itu, pasukan penguat kuasa KPDN sudah memberikan peringatan kepada pihak pengurusan stesen minyak supaya sentiasa mematuhi peraturan serta meningkatkan pemantauan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya.

Individu Boleh Didenda Tidak Lebih RM1 Juta Jika Sabit Kesalahan

Tambah Lilis Saslinda, tindakan telahpun diambil mengikut Subperaturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan Malaysia.

Kes itu juga akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu.

Manakala bagi syarikat, mereka boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.

Baca Artikel Berkaitan: BUDI95: Guru Dedah Pelajar Sekolah Tanpa Lesen Merungut Tak Terima Subsidi Petrol

Baca Artikel Berkaitan: [Video] BUDI95: Tanpa App & Tak Perlu Ke Kaunter, Ini Cara Imbas MyKad Di Terminal Pam Minyak


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm FacebookTwitterThreads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd