Now Reading
Umrah Buka Hati Wanita, Tinggalkan Gaya ‘Tomboy’ & Kembali Kepada Fitrah

Umrah Buka Hati Wanita, Tinggalkan Gaya ‘Tomboy’ & Kembali Kepada Fitrah

Wanita yang dikenali sebagai Yusazlinda Yunus menjelaskan, dia sudah terbiasa berperwatakan dan berpakaian seperti lelaki sejak dari kecil.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bila sebut tentang hidayah, ia boleh datang dalam pelbagai bentuk dengan izin Allah SWT.

Kadangkala, ia hadir dengan cara yang tidak disangka sehingga boleh menyebabkan seseorang itu berubah sekelip mata.

Dari seorang yang leka dan lalai dengan kehidupan, terus berubah menjadi lebih baik.

Wanita Berperwatakan Lelaki Kembali Kepada Fitrah

Siapa sangka, menunaikan umrah pada bulan Februari lalu menjadi titik perubahan buat seorang wanita yang dikenali sebagai Yusazlinda Yunus untuk kembali kepada fitrah asal.

Manakan tidak, Yusazlinda sudah terbiasa berperwatakan dan berpakaian seperti lelaki sejak dari kecil lagi.

“Dari kecil saya berperwatakan lelaki. Rambut tak pernah panjang sejak tadika, pakaian pun semua baju lelaki dan banyak berseluar pendek.

“Sejak darjah enam, saya sudah mempunyai rasa minat kepada perempuan. Masa sekolah menengah saya pernah cuba suka lelaki, tapi perasaan itu memang tak ada,” katanya yang dipetik dari mStar.

Abang Ipar Ajak Tunai Umrah

Kongsi Yusazlinda, segalanya bermula ketika kali pertama dia melihat Kaabah di hadapan mata sambil bersyukur dengan nikmat Allah SWT.

Jelasnya yang berasal dari Kelantan dan menetap di Cyberjaya, dia membuat keputusan untuk berhenti kerja sebagai pegawai di sebuah bank selepas 10 tahun berkhidmat pada Ogos tahun lalu untuk menjaga ibunya yang kurang sihat.

Walaupun berdepan dengan isu kewangan, dia bersyukur diberi peluang untuk menunaikan umrah selepas menyuarakan hasrat melakukan ibadah tersebut di media sosial pada Disember tahun lalu.

“Keluarga abang ipar ajak saya ikut sekali selepas mereka nampak posting saya yang berazam nak tunaikan umrah pada 2026.

“Mula-mula memang tak percaya. Abang ipar siap tawarkan untuk menaja sepenuhnya kos perjalanan dan terus minta pasport untuk isi borang dengan agensi pelancongan.

“Sebelum ini memang tak pernah terfikir nak pergi umrah sebab saya tahu diri saya macam mana,” kongsinya.

Umrah Buka Pintu Hati Untuk Berubah

Terangnya lagi, ketika di Tanah Haram, dia berasa terharu apabila berpeluang menyentuh dan mencium Kaabah sewaktu melakukan tawaf.

“Saya seorang yang susah nak menangis tapi apabila pertama kali nampak Kaabah, kaki saya terus rasa lemah dan air mata gugur serta mengalir tanpa sedar.

“Masa nak sarung telekung pun perasaan bercampur-baur. Dalam hati tertanya-tanya, layakkah saya berada di sini dan meminta doa depan Kaabah.

“Tawaf pertama saya tak fokus sebab ikut saja keluarga. Tawaf kedua ketika ikut mutawif saya menangis, mungkin itu tangisan paling ikhlas pernah saya rasa,” jelasnya lagi.

Sebaik pulang ke Malaysia pada 26 Februari lalu, dia membuat keputusan untuk mengekalkan penampilannya sebagai wanita dan berusaha untuk memelihara aurat dan kehormatan diri.

Terus Pakai Tudung & Agih Pakaian Lelaki

Yusazlinda turut mengakui proses menyesuaikan diri sebagai wanita Muslim bukanlah satu perkara yang mudah.

Dia turut mengagihkan pakaian lelaki yang dimiliki sebagai langkah untuk terus istiqamah dengan keputusannya.

“Sejak balik umrah, saya tak tinggal pakai tudung. Nak buang sampah luar rumah pun saya pakai tudung atau tutup kepala guna hoodie.

“Nak biasakan diri pakai tudung selain tudung sarung tu memang susah. Pada peringkat awal, saya minta rakan serumah ajar cara nak pakai dan padankan tudung dengan pakaian,” kongsinya.

Namun, dia merasakan proses ini satu nikmat dalam menjalani kehidupan sebagai wanita sejati.

Dapat Komen Negatif Tapi Pilih Untuk Istiqamah

Yusazlinda juga tidak ketinggalan mendapat komen negatif dari segelintir pihak. Namun, dia memilih untuk terus istiqamah dengan perubahan tersebut.

“Ada orang kata saya mungkin berubah sekejap saja sebab sudah lama terbiasa hidup macam itu. Tapi saya berdoa agar terus kuat sebab bagi saya hidup di dunia ini sementara sahaja.

“Saya pun fikir emak juga. Kalau dia meninggal, tak sempat tengok saya kembali ke fitrah kalau tak bertaubat. Dia tak pernah tegur atau luahkan tapi perkara itu saya sedar sendiri.

“Saya kongsi pengalaman ini bukan untuk hina sesiapa. Kita jangan fikir hidayah akan datang sendiri, kadang-kadang kita kena cari dan pastikan niat tu betul,” jelasnya.

Sebelum ini, Yusazlinda berkongsi perubahannya itu di Threads dan mendapat perhatian pengguna media sosial.

Ramai yang memberi kata-kata positif dan mendoakan agar dia terus istiqamah dengan perubahan yang dibuat.

View on Threads

Baca Artikel Berkaitan: “Selamat Jadi Seorang Muslim” – Atuk 89 Tahun Terima Hidayah Peluk Agama Islam

Baca Artikel Berkaitan: “Hikmah Kepadaku Untuk Berhijrah” – Penjaga Blake Peluk Islam


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm FacebookTwitterThreads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd