Didakwa Gunting Tudung Pelajar, Guru Dipindahkan Ke Sekolah Lain
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, guru terbabit juga telah memohon maaf kepada ibu bapa murid terbabit.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Seorang pendidik yang terlibat dalam dakwaan memotong tudung beberapa pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Lahad Datu, Sabah pada Jumaat lalu, 16 Januari, telah dipindahkan ke sekolah lain.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, tindakan tersebut diambil melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lahad Datu.
“Guru tersebut telah memohon maaf kepada ibu bapa murid berkenaan dan PPD Lahad Datu mengambil tindakan menukarkan cikgu berkenaan ke sekolah lain manakala murid kekal di sekolah tersebut.
“Guru tersebut juga telah menggantikan tudung murid yang digunting,” katanya dipetik Sinar Harian.
Guru perlu berhemah dalam tindakan – Pengarah Pendidikan Negeri Sabah
Dalam pada itu, Raisin menyeru agar golongan pendidik sentiasa berhemah dalam tindakan dengan mempertimbangkan pelbagai faktor seperti kemampuan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
Pada masa yang sama saya juga menasihatkan pelajar supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan oleh pihak sekolah. Semua peraturan yang dilaksanakan berdasarkan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertujuan untuk memberi kebaikan kepada murid. Saya juga berharap perkara ini tidak berlaku di sekolah lain.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin
Ibu bapa luah rasa tak puas hati, dakwa guru gunting tudung anak kerana tidak labuh
Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran mengenai dakwaan sebahagian ibu bapa yang meluahkan rasa tidak puas hati mengenai tindakan seorang guru yang mengunting tudung sekolah anak-anak mereka.


Guru berkenaan didakwa bertindak menggunting tudung beberapa pelajar perempuan atas alasan ia tidak labuh.
Tindakan itu bagaimanapun disifatkan sebagai memalukan dan memberi kesan emosi terhadap pelajar-pelajar terlibat.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



