Now Reading
Jurucakap Hamas, Abu Ubaidah Disahkan Meninggal Dunia

Jurucakap Hamas, Abu Ubaidah Disahkan Meninggal Dunia

Memetik Arab News, Israel sebelum ini mendakwa Abu Ubaidah terbunuh dalam satu serangan udara di Gaza pada 30 Ogos lalu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (29 Disember), Briged Al-Qassam mengesahkan bahawa jurucakap mereka yang dikenali sebagai Abu Ubaidah telah terkorban akibat serangan udara di Gaza yang berlaku beberapa bulan lalu.

Pengesahan itu dibuat menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di saluran Telegram rasmi Briged Al-Qassam.

Dalam kenyataan tersebut, Hamas menggambarkan Abu Ubaidah sebagai tokoh bertopeng yang menjadi simbol perjuangan dan disanjung oleh jutaan penyokong di seluruh dunia.

Memetik Arab News, Israel sebelum ini mendakwa Abu Ubaidah terbunuh dalam satu serangan udara di Gaza pada 30 Ogos lalu.

Abu Ubaidah jadi figura penting dalam menyampaikan kenyataan

Sepanjang peperangan di antara rejim Zionis dan pejuang Hamas, Abu Ubaidah muncul sebagai figura penting dan sentiasa dinantikan kemunculannya, bukan sahaja oleh penduduk di Gaza malah media-media antarabangsa.

Kenyataan beliau sering menjadi rujukan utama, khususnya berkaitan operasi ketenteraan Hamas dan rundingan pertukaran tahanan.

Abu Ubaidah sertai Hamas sejak usia muda, jadi jurucakap dengan identiti misteri

Abu Ubaidah atau nama sebenarnya Hudhayfa (Huthaifa) Samir Al-Kahlout dilahirkan pada 11 Februari 1985 dan dibesarkan di kem pelarian Jabalia di utara Gaza. Beliau menyertai Hamas sejak usia muda sebelum menjadi anggota Briged Al-Qassam.

Abu Ubaidah kemudiannya dilantik sebagai satu-satunya jurucakap sayap ketenteraan Hamas.

Setiap kali muncul dalam kenyataan video, beliau sentiasa mengenakan pakaian seragam tentera dan menutup wajah dengan keffiyeh merah, menjadikan identitinya satu misteri selama bertahun-tahun.

Hanya segelintir pemimpin tertinggi ketahui identiti sebenar Abu Ubaidah

Menurut pegawai Hamas, hanya segelintir pemimpin tertinggi sahaja yang mengetahui identiti sebenar Abu Ubaidah. Beliau juga dipercayai menjadi sasaran beberapa cubaan pembunuhan oleh Israel sebelum ini.

Video yang mengumumkan kematiannya disampaikan oleh seorang lelaki bertopeng yang berpakaian menyerupai Abu Ubaidah.

Nama Abu Ubaidah akan terus digunakan sebagai ‘jurucakap’

Individu itu turut mengumumkan bahawa dia akan menggunakan nama Abu Ubaidah sebagai jurucakap baharu Briged Al-Qassam untuk kenyataan akan datang.

Dalam video sama, Hamas turut mengesahkan kematian empat lagi komander mereka yang didakwa terbunuh dalam serangan Israel sepanjang konflik berlangsung.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd