Now Reading
Sabah & Sarawak Memperkasa Pembangunan Pendidikan Demi Masa Depan Generasi Muda

Sabah & Sarawak Memperkasa Pembangunan Pendidikan Demi Masa Depan Generasi Muda

Malaysia Timur semakin pesat membangun sebagai hab pendidikan dan peluang, hasil daripada agenda pembaharuan kerajaan, inisiatif kerajaan negeri, dan kerjasama awam-swasta yang sedang mengubah landskap pembelajaran.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Musim peperiksaan kembali lagi, di mana lebih 400,000 pelajar sedang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dari 25 November hingga 23 Disember, manakala pelajar tingkatan 6 pula akan berdepan peperiksaan STPM dari 9 hingga 18 Disember.

Ini memang saat genting untuk calon (dan ibu bapa!), tambahan pula dengan situasi banjir yang melanda beberapa kawasan di negara ini. Namun, di sebalik dugaan ini, anak-anak muda di negara kita tetap tampil bersemangat menjawab peperiksaan demi masa depan mereka.

Bagi ramai pelajar, SPM ialah “checkpoint” terakhir sebelum melangkah ke alam kolej, universiti, atau latihan vokasional — satu langkah penting ke arah kerjaya dan kehidupan yang diimpikan.

Perjalanan ini sememangnya mencabar, namun tiada yang lebih mengujakan daripada kisah para pelajar di Malaysia Timur.

Cabaran Demi Cabaran

(Kredit: jcomp)

Di Sabah dan Sarawak, pelajar sering berdepan halangan yang lebih mencabar berbanding rakan-rakan di Semenanjung. Faktor bentuk muka bumi, penempatan di luar bandar yang berselerak, serta perjalanan panjang ke sekolah menjadikan pendidikan satu perjuangan harian.

Ada pelajar yang terpaksa menyeberangi sungai, merentas hutan, malah berjauhan dari keluarga selama berbulan-bulan demi menuntut ilmu.

Hampir satu daripada lima isi rumah di Sabah dan Sarawak tidak mempunyai akses kepada sekolah menengah dalam jarak lingkungan lima kilometer dan kadar itu kira-kira lima kali ganda lebih tinggi daripada nilai purata kebangsaan.

Halangan bahasa turut menjadi cabaran tambahan. Ramai pelajar luar bandar membesar dengan bahasa etnik masing-masing, sedangkan sistem pembelajaran menggunakan Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Para guru sedaya upaya membantu, tetapi tanpa latihan kepelbagaian bahasa yang mencukupi, jurang ini sukar dirapatkan.

Faktor ekonomi juga memberi tekanan. Kos pakaian seragam, pengangkutan, dan kelengkapan sekolah bukanlah sedikit, menyebabkan ada pelajar terpaksa berhenti sekolah lebih awal.

Akses internet dan teknologi yang terhad di kawasan pedalaman juga menyukarkan sesetengah pelajar untuk mengikuti pembelajaran digital.

Arus Perubahan Semakin Deras

(Kredit: jcomp)

Meskipun berdepan pelbagai cabaran, Malaysia Timur telah muncul sebagai pusat pendidikan dan peluang. Agenda pembaharuan kerajaan, inisiatif kerajaan negeri, serta kerjasama awam-swasta kini sedang mengubah landskap pembelajaran, membantu generasi muda melangkah ke masa depan dengan lebih yakin.

Secara amnya, pendidikan sentiasa menjadi keutamaan negara. Sejak 2016, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara konsisten menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan Negara.

Untuk Belanjawan 2026, kerajaan telah memperuntukkan RM66.2 bilion yakni jumlah tertinggi setakat ini termasuk hampir RM2 bilion khas untuk menaik taraf sekolah daif serta menyediakan kemudahan teknologi di Sabah dan Sarawak.

Kerajaan negeri juga tidak ketinggalan. Sabah telah melaburkan lebih RM1.3 bilion sejak empat tahun lalu untuk biasiswa, subsidi, bantuan tunai, dan pelbagai program sokongan pendidikan. Sarawak pula dijangka membelanjakan lebih RM1 bilion pada tahun hadapan bagi menyediakan pendidikan tinggi percuma di institusi milik kerajaan negeri serta pelbagai program bantuan lain.

Semua ini merupakan sebahagian daripada usaha nasional yang telah digerakkan lebih sedekad untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan meningkatkan penglibatan negara dalam bidang baharu seperti AI dan sistem digital.

Selain kerajaan, syarikat swasta dan NGO turut memainkan peranan penting dalam menjadikan pendidikan lebih mudah diakses dan relevan untuk masa depan, khususnya bagi belia di Malaysia Timur. Antara penyumbang utama adalah:

Sarawak Energy
Menawarkan biasiswa penuh untuk pelajar Pra-U dan ijazah dalam bidang STEM. Pada 2025, 140 pelajar cemerlang Sarawak telah menerima manfaat di bawah Program Biasiswa Sarawak Energy.

PETRONAS
Sejak dilancarkan pada 1975, program tajaan PETRONAS, Powering Knowledge terus membantu pelajar seluruh negara. Untuk tahun 2025, program ini telah memberi manfaat buat lebih 200 pelajar dari Sabah dan Sarawak.

Yayasan Gamuda
Sejak 2016, yayasan ini menyalurkan dana untuk biasiswa, bimbingan, penempatan pekerjaan termasuk latihan AI buat pelajar di Sabah. Pada 2025, lebih 183 pelajar Malaysia yang layak telah menerima sokongan mereka.

Yayasan Sarawak
Sejak 1971, Yayasan Sarawak telah membantu pelajar luar bandar dan kurang berkemampuan melalui biasiswa, pengangkutan percuma, serta bantuan kewangan.

Petanda Masa Depan Lebih Cerah

(Kredit: jcomp)

Hasilnya amat memberangsangkan. Sarawak telah mencatat keputusan SPM terbaik mereka setakat ini pada 2024 dengan purata gred 4.84, manakala Sabah menunjukkan peningkatan daripada 5.35 pada 2021 kepada 5.00 pada 2024.

Kadar tamat persekolahan juga semakin meningkat, dengan lebih ramai pelajar di Sabah dan Sarawak berjaya menamatkan pengajian di sekolah rendah dan menengah berbanding sebelum ini.

Kita juga melihat lebih ramai anak muda melangkah ke pendidikan tinggi dan seterusnya ke alam kerjaya. Pada 2024, Malaysia merekodkan hampir enam juta graduan diploma dan ijazah, dengan lebih lima juta daripadanya sudah pun aktif dalam pasaran kerja.

Dengan sokongan berterusan dan program yang inovatif, Malaysia Timur semakin pesat membangun sebagai pusat peluang, potensi, dan tempat lahirnya pemimpin masa depan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd